Monday, September 22, 2014

AZIE KITCHEN KONGSI RESEPI

cara-cara membuat assam guppa mengikut turutan.

BIDANG masakan yang cukup sinonim dalam kalangan wanita hari ini secara tidak langsung menjadikan mereka seorang individu yang cukup kreatif dalam menghasilkan setiap jenis hidangan.
Masakan yang dimasak bukan sahaja sajian untuk dinikmati bersama ahli keluarga, tetapi dengan adanya media sosial hari ini, segala hidangan yang dibuat akan dikongsi bersama-sama di alam maya.
Jika dilihat hari ini, ramai penulis blog yang memuat naik resipi dan juga gambar masakan masing-masing dalam blog mereka dengan tujuan untuk dikongsi faedahnya bersama.
Salah satu blog yang cukup dikenali ramai dalam kalangan peminat masakan ialah Azie Kitchen.
Dengan pautan laman sesawang www.aziejaya.blogspot.com, pemilik blog tersebut Haziah Jaya, menjadikan blog tersebut sebagai tempat untuk peminat-peminat masakan tempatan mahupun luar negara mengunjunginya untuk mendapatkan resipi masakan.
Dibuka pada Ogos 2011, Haziah sememangnya meminati bidang masakan sejak dari kecil lagi.
Menjadikan kakaknya sebagai idola, Haziah memberitahu, dia tidak pernah mengikuti mana-mana kelas masakan, malah mempelajarinya sendiri melalui pemerhatian dan pembacaan di majalah serta tidak ketinggalan di internet.
Mempunyai seramai 1,787 pengikut, blognya telah mencatatkan lebih 23 juta pelawat.
Ketika ditemui di kediamannya di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini, ibu kepada lima cahaya mata ini menyatakan apa yang dikongsi melalui blognya hari ini adalah sekadar suka-suka.
“Saya ni tidaklah pandai sangat memasak tetapi saya suka mencuba setiap resipi yang saya peroleh. Bukan itu sahaja, setiap resipi tersebut akan saya olah kembali untuk mendapatkan rasa yang lebih sedap.
“Jadi apa yang dikongsi di blog adalah masakan yang telah dicuba dan resipi yang turut dikongsi adalah juga bertujuan untuk simpanan anak-anak pada masa akan datang.
“Hanya melalui ini sahaja saya dapat turunkan kesemua resipi kepada anak-anak perempuan saya," ujarnya lagi.
Jika dilihat dalam blognya, Haziah banyak berkongsi resipi masakan Kelantan, negeri kelahirannya.
Tidak hanya terhad kepada sejenis masakan sahaja, blog Haziah menampilkan pelbagai jenis masakan beserta dengan cara-caranya sekali.
Pasti akan mengemaskini blognya setiap hari ataupun setiap dua hari, kepada mereka yang belum mengunjungi blog Haziah bolehlah layari hari ini.
Anda pastinya tidak akan kecewa dengan apa juga jenis masakan yang telah dimuat naik ke dalam blognya.

No comments:

Post a Comment