|
PENGENDALI laman web makanan pertama di Malaysia, FriedChillies Media Sdn. Bhd. (Friedchillies) sekali lagi akan menganjurkan acara I Eat Nasi Lemak bertempat di TM Covention Centre, Jalan Bangsar, Kuala Lumpur.
Acara yang dijadualkan berlangsung pada 2 November 2014 dari pukul 10 pagi hingga 5 petang itu bakal mengumpulkan 20 penjual nasi lemak terbaik dari seluruh negara.
Acara I Eat Nasi Lemak 2014 merupakan penganjuran kali kedua selepas kejayaan pada tahun 2013 apabila berjaya menarik 5,000 orang pengunjung dalam tempoh lima jam.
Pengurus acara Friedchillies, Hafeez Izwan berkata, pihaknya menjemput penjual-penjual nasi lemak yang baharu pada tahun ini selain mengekal beberapa penjual pada tahun lalu.
Antara yang menarik ialah nasi lemak ikan keli dan nasi lemak kukus goreng. Pihak penganjur juga menjemput penjual nasi lemak vegetarian dari Kepong, Kuala Lumpur dan penjual nasi lemak organik bagi mereka yang mementingkan kesihatan.
“Acara tahun lalu berjaya mengeratkan hubungan antara penjual dengan penggemar nasi lemak.
“Pengunjung pada hari tersebut tidak perlu masak di rumah kerana semua berpeluang membungkus lauk dan nasi untuk dibawa pulang,” ujar Hafeez.
Acara I Eat Nasi Lemak 2014 akan berlangsung seperti Hari Kantin. Para pengunjung perlu membeli kupon terlebih dulu sebelum menukarnya dengan nasi lemak, lauk dan minuman.
Setiap kupon bernilai RM2. Pengunjung boleh membeli dalam bentuk buku kupon yang bernilai RM10.
Selain berpeluang merasai pelbagai jenis nasi lemak, pengunjung juga boleh menyertai pertandingan makan nasi lemak pada hari tersebut.
Friedchillies juga akan melancarkan kempen Hari Nasi Lemak Sedunia.
“Mereka boleh masak atau pergi ke restoran terdekat yang menjual nasi lemak bersama keluarga atau rakan-rakan,” katanya.
No comments:
Post a Comment