Variasi makanan yang disediakan bermula daripada kopi, ais kacang, nasi kukus, kacang pool hinggalah makanan barat menjadikan Cupchai Cafe & Resto (Cupchai) sebagai sebuah lagi lokasi menarik untuk dikunjungi remaja.
Pendek kata, Cupchai merupakan tempat yang wajib dikunjungi oleh penggemar makanan tempatan dan barat, selain menjadi lokasi persinggahan bagi remaja yang menggelarkan diri mereka ‘hipster’ untuk bersantai dan melahirkan kreativiti mengambil gambar makanan dan kopi seperti trend terkini.
Menggunakan konsep ‘Good Stuff Eatery’, Cupchai mahukan para pelanggannya yang terdiri daripada semua golongan termasuk pelajar, eksekutif atau sesiapa sahaja yang mahu datang dan bersantai sambil menikmati pelbagai hidangan yang enak.
Terletak di Jalan Padi Emas, Uda Business Centre, Johor Bahru dan berdekatan dengan gedung kain Jakel memudahkan lokasi ini dikunjungi. Selain menjadikan hidangan kacang pool yang diadun khas bersama rempah ratus sebagai menu istimewa, Cupchai boleh dikatakan antara kafe dan restoran yang memahami kehendak serta cita rasa pelanggan hari ini.
Menurut pemiliknya, Safarizul Azhar Saparuddin, dekorasi Cupchai mengekalkan elemen semula jadi seperti penggunaan batu dan kayu. Rekaan dalaman tidak menggunakan perkhidmatan pereka dalaman, malah pemiliknya sendiri mengilhamkan rekaan dan tema kafe tersebut.
“Hanya kerja-kerja pembinaan dilakukan oleh tenaga kerja asing. Saya juga menghasilkan sendiri meja dan kerusi yang diperbuat daripada kayu-kayu pallet terbuang. Kebanyakan perabot juga dihasilkan sendiri bersama adik saya.
“Tidak dinafikan bahawa kami memang tiada pengalaman dan kemahiran dalam bidang pertukangan, tetapi kami sangat menggemari konsep DIY. Malah perkara ini merupakan satu kepuasan buat kami kerana dapat menghasilkan sendiri hiasan untuk Cupchai,” katanya.
Istimewanya juga, kafe dan restoran ini menggunakan konsep layan diri di mana reka bentuk kaunter minuman dan makanan seperti di kantin. Para pelanggan dapat melihat sendiri bagaimana kakitangan Cupchai menyediakan makanan dan minuman sehinggalah nama mereka dipanggil apabila hidangan sudah tersedia.
Selain daripada hidangan yang menyelerakan, ditambah dengan suasana dan persekitaran yang cukup selesa, harga makanan dan minuman yang ditawarkan juga sangat berpatutan serta cukup berbaloi untuk dinikmati.
Di samping itu, terdapat juga kemudahan-kemudahan lain yang disediakan untuk para pelanggan seperti WiFi, Astro serta permainan kad.
Waktu operasi Cupchai bermula dari pukul 10 pagi hingga 12 malam. Bagi anda yang mahu mendapatkan segala informasi mengenai Cupchai, boleh ikuti mereka di Facebook dan Instagram, Cupchai Cafe & Resto.
Selain itu, jika anda berminat untuk membuat tempahan, hubungi Cupchai di talian 072446165 atau emel, cupchai.caferesto@gmail.com. – FATIEHAH
No comments:
Post a Comment