‘KAJANG Pak Malau kajang berlipat, kajang hamba mengkuang layu, dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang hamba menumpang lalu'. Demikian dialog klasik dari filem popular tahun 60-an, Sri Mersing yang terpampang di atas sekeping papan tanda berlatar belakangkan lukisan kedai makan Pak Malau Nasi Dagang di Jalan Makam Mahsuri, Pulau Langkawi, Kedah.
Bagi penduduk Langkawi, kedai makan Pak Malau Nasi Dagang sudah tidak asing lagi dengan masakan popular Pantai Timur. Malah setiap kali berkunjung ke situ, mereka bukan sahaja dihidangkan dengan keenakan sajian tersebut, tetapi juga pemandangan sekitarnya yang indah dan penuh kehijauan.
Melihat keindahan pemandangan dari kedai makan itu sambil menikmati sepinggan nasi dagang yang sedap, tentulah suasana itu dapat menenangkan fikiran terutamanya dalam kalangan pelancong yang berkunjung ke pulau peranginan terkenal itu.
Pemiliknya yang terkenal dengan jolokan nama Pak Malau dalam kalangan orang kampung, Jamaludin Hashim, 61, serta isteri yang mesra disapa Mak Malau, Zuhariyah Daud, 56, memulakan perniagaan itu sejak dua tahun lalu. Mereka sentiasa memberi layanan istimewa kepada setiap pelanggan yang datang menjamu selera seperti ahli keluarga sendiri.
Antara masakan tradisional Melayu di kedai itu adalah nasi dagang yang disediakan daripada air tangan isterinya yang berasal dari Kelantan dan dibesarkan di Terengganu.
Kata Jamaludin, dia mahu memperkenalkan masakan tradisional dari Pantai Timur itu kepada penduduk tempatan dengan membuka gerai tersebut. Antara lauk pauk yang disajikan adalah gulai ikan, gulai daging, gulai ayam dan acar sayur.
“Saya juga menawarkan harga berpatutan iaitu M5 hingga RM8 bagi setiap seorang dan makanan yang tidak terlalu pedas pula amat bersesuaian untuk kanak-kanak,” ujarnya kepada S2.
Melihat telatah Jamaludin yang sibuk melayan pelanggan dengan beberapa aksinya membuat silap mata, ia sangat menarik perhatian dan sememangnya menjadi kebiasaan baginya untuk memberi layanan istimewa seperti itu kepada pelanggan terutama kanak-kanak.
Dalam pada itu, sentuhan unik dengan menggunakan barangan antik sebagai hiasan dalaman menjadi salah satu tarikan di kedai makan tersebut dan Jamaludin juga berjaya menerapkan nilai-nilai asli Melayu Langkawi di kedai makannya.
Jamaludin yang berasal dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur serta isteri berhijrah ke Langkawi pada 2008 dan sebagai seorang yang gemar berkebun pada waktu lapang, dia mula mendapat idea untuk membuka kedai makan yang mempunyai hiasan bertemakan Melayu asli.
Berbekalkan pengalaman sebagai Pegawai Perhubungan Awam di syarikat Malaysia Airlines (MAS) pada 1976 sehingga 1995, tidak hairanlah dia sangat ramah melayan pelanggan.
Dengan modal sendiri sebanyak RM20,000, Jamaludin berjaya menjadikan kedainya sebagai salah satu tarikan pelancong dan warga tempatan untuk mencuba masakan isterinya yang mahir menyediakan nasi dagang.
Sesuatu yang menarik mengenai kedai itu adalah ia sudah menjadi perbualan hangat di sekitar Langkawi dan juga pelancong luar terutama mereka yang melawat kawasan sekitar seperti Makam Mahsuri yang terletak berdekatan dengan kedai Pak Malau.
Kedai makan yang dibuka dari pukul 8 pagi sehingga 2 petang itu sentiasa menerima kunjungan ramai dan ekoran itu, Jamaludin merancang untuk membuka cawangan keduanya di Kampung Bayas yang terletak lapan kilometer dari pekan Kuah tidak lama lagi.
Salah seorang pelanggan tetapnya, Mahamad Johari Hashim, 45, berkata, dia tidak akan melepaskan peluang untuk menjamah nasi dagang yang rasanya berbeza berbanding dengan nasi dagang lain yang terdapat di Langkawi.
“Masakan ini menepati cita rasa saya, selain kawasan kedai yang tidak sibuk dan pemandangan yang begitu cantik,” katanya.
Begitu juga dengan pelanggan lain, Ameerul Abd. Latif, 30. Baginya harga yang berpatutan dan layanan yang diberi membuatkan dia tidak kekok untuk menjadikan gerai ini sebagai salah satu tempat kegemarannya untuk bersarapan dan juga makan tengah hari.
No comments:
Post a Comment