Cheesesteak bukan hidangan yang baharu di negara kita kerana ia sudah terdapat dalam menu masakan Barat di restoran-restoran tempatan, namun selalunya ia hanya dijadikan sebagai menu sampingan.
Jarang sekali pelanggan mahu mencuba rasa hidangan authentic asal dari Philadelphia, Amerika Syarikat, itu kerana merasakan lebih baik mencuba hidangan popular yang dicadangkan oleh pihak restoran berbanding memesan cheesesteak.
Namun, ada segelintir pihak yang mahu mempopularkanya kerana ingin mempelbagaikan hidangan ringan yang menjadi kegemaran anak-anak muda selain piza, burger atau kentang goreng.
Berpeluang merasai sendiri hidangan cheesesteak di Restoran Grease, Presint Alami, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor, ternyata ia bukanlah lokasi buat mereka yang menjaga badan.
Ini kerana di restoran tersebut pengunjung tidak akan dapat mengawal nafsu selera daripada menikmati pelbagai hidangan Barat yang dilimpahi oleh keju yang dicipta sendiri khas dari dapur Grease.
Pemiliknya, Hafiz Asbi, 30, berkata, idea penubuhan restoran tersebut timbul daripada rakan-rakan kongsinya yang gemarkan dengan hidangan ruji Amerika Syarikat itu ketika melanjutkan pengajian di sana.
Mereka lalu mencadangkan untuk membawa hidangan jalanan cheesesteak ke pasaran tempatan.
“Cheesesteak adalah hidangan ringan sama seperti burger tetapi menggunakan roti roll yang panjang, kepingan daging stik yang dicincang segar, serta digaul bersama campuran bawang karamel, garam, lada benggala dan dilimpahi dengan hirisan keju serta sos keju istimewa.
“Cita rasa rakyat Malaysia tidak terlepas daripada mahukan sesuatu yang berempah dan pedas, jadi kami mengolah sedikit resepi asal supaya ia tidak terlalu kering dan membangkitkan lagi rasa supaya sesuai dengan lidah orang kita,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Baru lima bulan beroperasi, menu paling popular di sini tentulah hidangan Texas Chili Cheesesteak, yang disertakan dengan hidangan sampingan jejari kentang dibuat sendiri.
Tidak terlalu berat rasanya, ia sesuai dinikmati oleh semua peringkat umur dan boleh memilih tahap kepedasan yang dimahukan.
Menggunakan perapan daging lembu cincang yang diadun bersama serbuk lada, lada benggala dan ramuan lain yang dimasak bersama cili dan tomato, kemudian dituang ke atas hidangan cheesesteak bersama dengan hirisan keju di atasnya.
Sajian ini enak dimakan dalam keadaan panas kerana mencetuskan rasa unik dan tersendiri.
Memang ada yang mengira kandungan kalorinya, namun nama Grease sendiri membawa maksud berminyak dan berlemak, jadi ia mungkin bukan tempat bagi mereka yang sedang berusaha menurunkan berat badan.
“Terserah kepada mereka, pelanggan-pelanggan tetap di sini pun tahu menilai apa yang kami hidangkan.
“Apa yang penting, kebersihan di dapur amat dititiberatkan selain turut memastikan status halal daging serta ramuan-ramuan lain. Pelanggan tidak perlu gusar tentang perkara ini,” kata Hafiz.
Turut menggunakan konsep sama, mereka yang lebih gemar menikmati kepingan daging yang tebal boleh mencuba Greasy Messy Burger yang menggunakan daging lembu Australia seberat 200 gram.
Menghasilkan sendiri patty, gabungan sos keju istimewa yang sebati dalam roti burger akan mengingatkan anda uuntuk kembali lagi ke Grease Cheesteak.
Sekadar mahu melepak bersama teman-teman tanpa hidangan yang berat, Nachos Chilli Cheese merupakan pilihan yang tepat.
Kepingan jagung tortilla yang dibuat sendiri dan daging cincang yang digaul bersama, cukup menyelerakan.
Kebiasaannya nachos dihidangkan bersama sos tomato yang masam tetapi tidak di Grease kerana mereka mengutamakan rasa Malaysia iaitu berempah dan pedas dalam hidangan tersebut.
“Selain hidangan utama Texas Chili Cheesesteak, pengunjung juga memilih Hot Chicken Wing yang disalut dengan campuran minyak zaitun, paprika dan ramuan istimewa bersama sos mayonis pedas yang dicipta sendiri oleh tukang masak,” kata Hafiz.
Hidangan jalanan ini berharga antara RM10 hingga RM25 dan kenikmatan setiap hidangan yang ditawarkan di Grease pastinya membuatkan anda seakan-akan berada di negara asal hidangan itu.
No comments:
Post a Comment