DAPAT menikmati sekeping daging lembu yang dimasak sama ada separa masak atau masak sepenuhnya pasti memberi kepuasan kepada mereka yang meminati sajian Barat.
Ditambah pula dengan sos barbeku, yang begitu sinonim dengan sajian stik, manakala daging yang dimasak pilihan daripada daging segar.
Hari ini, ramai dalam kalangan masyarakat tempatan gemar untuk menikmati sajian Barat tetapi sukar membuat pilihan kerana tidak mengetahui restoran mana yang menyajikan hidangan yang sedap dengan harga berpatutan.
Untuk itu apa kata kunjungi NY Steak Shack dan pilih apa juga hidangan Barat yang menjadi kesukaan anda.
Menurut Pengurus Besarnya, Rayyan Irwan, restoran tersebut yang mula beroperasi Julai tahun lalu menawarkan pelbagai hidangan enak yang boleh dinikmati seisi keluarga.
Tambahnya lagi, dalam usaha menjadikan restoran tersebut sebuah restoran keluarga, pihaknya telah menampilkan pelbagai jenis menu dengan pelbagai jenis masakan termasuklah pencuci mulut.
“Restoran ini sememangnya dibuka sebagai sebuah restoran keluarga dan semua peringkat umur boleh menikmati pelbagai hidangan yang disediakan seperti stik, burger, dan juga pasta.
“Kelebihan yang ditampilkan ialah kepelbagaian cara masakan yang pasti memenuhi cita rasa masyarakat tempatan.
“Selain itu, kami turut mengolah kembali resipi-resipi sedia ada untuk disesuaikan dengan selera rakyat Malaysia,” ujarnya ketika ditemui di NY Steak Shack Midvalley Megamall, Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut mengenai restoran tersebut, kata Rayyan, pihaknya kini sedang menunggu sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menawarkan 12 pilihan masakan yang berbeza,, harga yang ditawarkan adalah serendah RM12.90 hingga RM35.90.
Dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam, NY Steak Shack, Midvalley Megamall boleh memuatkan seramai 110 pelanggan pada satu-satu masa.
Memberitahu bahan-bahan mentah ada yang diimport dan juga tempatan, Rayyan menjelaskan kesemua hidangan dimasak oleh chef yang cukup berpengalaman dalam masakan Barat.
Selain menyediakan hidangan daging segar, restorannya turut mengamalkan penelitian kualiti masakan di peringkat maksimum supaya pelanggan dapat menikmati kelazatan sebenar hidangan.
“Kesemua bahan mentah daging kami diimport dari Australia, ayam pula diperoleh daripada pengedar tempatan manakala ikan pula dari Vietnam.
“Yang pasti kesemua bahan-bahan ini terutama sekali yang diimport adalah halal dan sudah pasti kami amat menitikberatkan soal tersebut,” katanya lagi.
Oleh yang demikian, baik kepada mereka yang meminati daging lembu atau pun daging ayam, di sinilah tempatnya untuk anda mencuba sesuatu yang baharu.
Pastinya tidak mengecewakan, NY Steak Shack menyajikan sajian yang terbaik buat para pelanggannya dengan pelbagai jenis hidangan.
No comments:
Post a Comment