Pernahkah anda menonton siri televisyen terkenal Miami Vice atau CSI Miami? Jika pernah, pasti anda dapat membayangkan bagaimana gaya hidup masyarakat di bandar Miami, Florida, yang amat sinonim dengan aktiviti pantai.
Malah, paling mudah diingati, mereka sangat gemar menikmati hidangan roti panjang dengan hirisan daging panggang empuk iaitu cheesesteak. Sajian autentik berasal dari Philadelphia, Amerika Syarikat (AS).
Makanan tersebut sangat popular sebagai makanan jalanan di kebanyakan negara Barat.
Pun begitu, anda tidak perlu terbang selama 28 jam apatah lagi mengeluarkan kos tiket sehingga mencecah RM10,000 untuk ke Miami, hanya semata-mata mahu menikmati cheesesteak.
Ini kerana, sejak Januari lalu rangkaian restoran popular dari AS, Miami Grill, telah beroperasi di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor.
Lebih menarik, restoran tersebut merupakan satu-satunya cawangan Miami Grill di Asia, yang menyediakan sajian halal.
Demi mahu berkongsi keenakan rasa sajian autentik itu, pemiliknya, Izatsham Othman, berusaha membawa Miami Grill ke Malaysia walaupun bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi berdepan cabaran mencari bahan-bahan halal bermula daripada bahan utama, daging sehinggalah ke penyediaan sos.
Namun, dia yakin perniagaan francais yang dimiliki penyanyi rap popular berasal dari Miami, Pitbull, mampu memberi pengalaman berbeza dalam menikmati hidangan dari negara Uncle Sam itu.
Menjengah masuk ke Miami Grill, halwa telinga anda pasti dihidangkan dengan lagu-lagu popular Pitbull seperti I Know you want me, Timber, Rain Over Me dan sebagainya.
Malah, wajah lelaki berketurunan Cuba itu melatari skrin di restoran berkenaan.
Menghidangkan sajian popular seperti classic philly cheesesteak , philly nacho cheese, mixed wing, grilled chicken, Greek salad, big Miami burger, dan banyak lagi, penggemar makanan Barat wajib singgah dan mencuba hidangan berkenaan yang ternyata berbeza daripada restoran lain.
“Antara hidangan yang paling mendapat sambutan philly cheesesteak yang merupakan hidangan popular di restoran ini.
“Sajian philly cheesesteak di sini amat berbeza kerana menyamai rasa asli makanan itu walaupun dihasilkan oleh chef dari negara ini.
“Biarpun kita tidak menggunakan bahan-bahan yang tidak dibenarkan, rasa cheesesteak di sini tetap sedap, segar dan mampu dinikmati dengan harga yang berpatutan,” katanya.
Ujar Izatsham, ini kerana setiap rasa makanan yang dihidangkan telah melalui proses ujian rasa oleh chef dari Miami bagi menjaga kualiti sajian yang dijual di semua cawangan restoran itu.
Namun, apa yang penting kesemua bahan yang digunakan adalah halal dan menepati kehendak syariat.
“Bagi mendapatkan rasa yang asli sama seperti apa yang dihidangkan di Miami Grill di luar negara, kita telah berusaha bersungguh-sungguh mencari resipi terbaik untuk setiap hidangan.
“Istimewanya, di sini kita mempunyai satu pasukan pakar yang cukup hebat di dapur yang kita panggil The Hot Miami Grilling Team bagi menghasilkan bukan sahaja makanan yang segar dan lazat, malah mempersembahkan makanan yang cantik kepada pelanggan.
“Mereka juga merupakan pasukan yang mengendalikan pelanggan terutama pelanggan yang baharu pertama kali berkunjung ke sini agar dapat menikmati hidangan terbaik,” tambahnya.
Melihat persembahan beberapa sajian yang dihidangkan, sudah cukup menggiurkan biarpun belum menjamahnya.
Antaranya, sajian cadangan chef iaitu, classic philly cheesesteak yang dipersembahkan di atas sekeping papan, manakala kentang goreng pula diletakkan di dalam sebuah raga besi yang pasti membuatkan tangan laju memetik kamera di telefon untuk mengabdikan foto makanan itu sebagai kenang-kenangan.
Sajian ini menggunakan kepingan daging rib eye yang dihiris senipis tiga milimeter yang kemudiannya dipanggang bersama lada benggala hijau, bawang dan cendawan shitake yang dikaramelkan, serta diperasakan dengan beberapa perapan seperti lada sulah, serbuk paprika dan oregano.
Bagi memberi rasa yang mewah, sudah pasti taburan keju diletakkan ke atas hirisan daging seberat 150 gram yang kemudiannya disumbat ke dalam roti yang telah dibakar bersaiz lapan inci. Lazimnya hidangan ini dimakan bersama kentang goreng dan coleslaw.
Bagi menikmati keenakan pada tahap maksimum, sajian ini perlu dimakan ketika panas kerana anda boleh merasai tekstur keranggupan kulit roti di bahagian luar manakala kelembutan pada bahagian dalam, ditambah rasa pedas perapan daging.
Bagi menambahkan kelazatan, pelanggan boleh juga menikmati hidangan itu dengan tujuh jenis pilihan sos cicah antaranya chipotle, cayenne hot pepper, Texas petal, sos wing, sos Thai, sos cili dan sos tomato.
Selain hidangan utama, restoran tersebut turut menyediakan 30 jenis minuman termasuk tiga pilihan mocktail. Uniknya, bagi memberi kelainan serta memperkenalkan buah-buahan tempatan, terdapat hidangan pemanis mulut khas yang diperbuat daripada buah durian iaitu kek keju aiskrim buah D24.
“Kita sangat mementingkan kualiti makanan yang dihidangkan agar mempunyai cita rasa yang sama seperti restoran Miami Grill yang lain, namun dalam soal halal kita tidak abaikan sama sekali.
“Justeru, pelanggan tidak perlu bimbang kerana segala apa yang dihidangkan di restoran ini tiada unsur mencurigakan,” jelasnya.
Restoran tersebut beroperasi setiap hari bermula pukul 10 pagi sehingga 10 malam dan menyediakan hidangan utama bermula harga serendah RM19.90.
Bagi mereka yang ingin mencuba, boleh mengunjungi Miami Grill di 127 LG2 Blue Concourse, Sunway Pyramid atau menghubungi talian 03-5622 1853 atau 03-5613 3363 untuk tempahan atau pertanyaan lanjut
No comments:
Post a Comment