MUHAMAD Rafi Abdul Ghani dan Adila Zakaria menunjukkan set hidangan kegemaran pelanggan di Route 69
Cafe by The Beach, Teluk Air Tawar, Pulau Pinang
MENIKMATI hidangan sambil melihat pemandangan matahari terbenam pastinya amat mengujakan. Selain itu, hembusan angin laut menambahkan lagi keterujaan apabila berada di Route 69 Cafe by The Beach di Pantai Robina dekat Teluk Air Tawar, Pulau Pinang itu.
Berkapasiti 550 orang dalam satu-satu masa, kafe itu sering menjadi pilihan untuk pelbagai majlis termasuk perkahwinan, sambutan hari lahir, pertunjukan fesyen dan sebagainya.
Menurut Pengurus Jualan Kanannya, Muhamad Rafi Abdul Ghani, setiap hujung minggu kafe itu pasti akan dipenuhi pelanggan, malah ada yang datang dari luar Pulau Pinang semata-mata mahu menikmati hidangan berlatar belakangkan matahari terbenam.
Katanya, kafe yang dibuka pada 14 Mac tahun lalu itu juga menjadi pilihan agensi kerajaan dan syarikat swasta bagi mengadakan mesyuarat atau seminar.
“Kedudukan kafe ini yang amat strategik di Pantai Robina dan menghadap Selat Utara menjadikan ia pilihan pelanggan yang bukan sahaja datang untuk menikmati hidangan tetapi juga bersantai bersama keluarga sambil melihat pemandangan matahari terbenam.
“Malah, setiap petang pelanggan tidak akan melepaskan peluang menyaksikan panorama indah itu,” katanya.
Antara kemudahan di kafe itu adalah dewan seminar, surau, kemudahan WiFi, sistem audio dan skrin gergasi.
Ditanya mengenai hidangan yang disediakan, Muhamad Rafi yang lebih mesra dipanggil Man menjelaskan, kafe itu menawarkan pelbagai pilihan makanan daripada masakan Thai, barat, stimbot dan minum petang.
Katanya, antara masakan Thai yang sering dipesan pelanggan adalah ikan kukus, stim atau tiga rasa, selain tomyam, sup dan makanan laut seperti ketam, udang dan sotong.
Tambahnya, kafe itu juga menawarkan pelbagai jenis masakan barat seperti chicken chop, lamb chop, fish and chip, kepak ayam dan juga stik.
“Istimewanya, semua sos dan perapan untuk masakan barat ini direka sendiri oleh chef yang berpengalaman lebih 10 tahun di restoran terkemuka di negeri ini.
“Selain itu, hidangan stimbot yang kami tawarkan juga menjadi pilihan pelanggan dengan harga RM25 untuk satu set,” ujarnya.
Menurutnya, kafe itu juga menawarkan set makan tengah hari untuk dua orang iaitu ‘Couple by the beach’ dengan pilihan harga antara RM25 hingga RM47, Friendly by the beach untuk tiga dan empat orang pada harga antara RM50 hingga RM79 serta Family by the beach untuk lima dan enam orang pada harga RM110 hingga RM135.
Dalam pada itu, katanya set makan Route 69 Cafe by The Beach juga menawarkan sajian minum petang dengan pilihan pelbagai snek, ais krim dan ais kacang.
“Selain minuman biasa berasaskan kopi dan teh, kami juga menawarkan pelbagai jenis jus dan ais kisar (ice blended),” katanya.
Dalam pada itu, katanya, pihak kafe sering meraikan pelanggan yang menyambut hari lahir di situ dengan dekorasi bertema serta hadiah khas kepada mereka.
No comments:
Post a Comment