Saat pertama kali menjejakkan ke restoran ini, saya begitu teruja kerana restoran ini terletak di atas laut dikelilingi perkampungan atas air Kampung Tampi-Tampi, sekali gus memberikan satu pengalaman baharu.
Angin sepoi-sepoi bahasa terasa dingin apatah lagi tatkala menjamu selera di anjung restoran. Lebih seronok jika memilih sajian makanan laut yang segar membuatkan anda bagai mahu berkunjung lagi pada masa akan datang.
Pemiliknya, Abdullah Sukka, 58, yang merupakan anak jati Semporna, berkata, sambutan yang diterima dalam kalangan penduduk tempatan begitu menggalakkan, apatah lagi baru dua tahun beroperasi di lokasi atas air.
Sebelum ini, katanya, restoran terletak di atas tanah di kampung yang sama.
“Saya sudah menjalankan perniagaan restoran makanan laut sejak 12 tahun lalu dengan mengambil kira pelbagai cita rasa pengunjung yang datang.
“Bukan sahaja menawarkan sajian makanan laut cara tempatan, kami juga mempunyai kepakaran untuk menyediakan masakan ala Barat, Cina, Thailand, dan Melayu.
“Sajian tradisi Bajau sering kali menjadi pilihan kerana pengunjung dari luar mahu mencuba dan menikmati keunikan masakan asli masyarakat di sini.
“Alhamdulillah, apa yang ditawarkan di Restoran Warisan mendapat permintaan dan maklum balas yang baik daripada pelanggan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di restoran miliknya di Kampung Tampi-Tampi, Semporna, Sabah, baru-baru ini.
Istimewanya di sini, restoran dikelilingi dengan sangkar ikan yang mempunyai pelbagai spesies ikan laut dalam yang dibela oleh Abdullah.
Jika pengunjung datang pada waktu ikan diberi makan, mereka diberi peluang untuk memberi makan ikan dan melihat sendiri ikan-ikan yang tidak ada di perairan Semenanjung.
Katanya, antara menu istimewa adalah putu bersama sagol, iaitu salah satu makanan yang sangat popular dalam kalangan masyarakat Bajau di daerah Semporna.
Makanan tradisional ini adalah berasaskan ubi kayu yang diparut dan diperah airnya lalu di kukus atau dimasak stim. Lazimnya masyarakat Bajau menjadikan putu sebagai makanan ruji menggantikan nasi dan sesuai dimakan bersama sagol, iaitu isi ikan yang dimasak kunyit.
Selain itu, sajian siput kahanga turut menjadi pilihan pengunjung kerana hanya boleh dinikmati di Semporna sahaja. Turut dipanggil siput tarik oleh orang tempatan, kahanga merupakan spesies siput laut yang hidup di perairan Semporna.
Rasanya seakan-akan cendawan dan teksturnya seperti sotong. Berbanding siput yang lain, isinya lebih bersaiz besar.
“Di sini kami mencadangkan sajian kahanga masak halia kepada mereka yang baru pertama kali merasa siput laut ini. Sajian ini memberikan rasa semula jadi siput kahanga dan hirisan halia yang diperap bersama kahanga menghilangkan bau hanyir,” ujarnya yang dibantu anaknya, Nor Hayati Fazila mengetuai pasukan memasak di dapur utama.
Jika di Semenanjung terkenal dengan sajian tomyam, di Semporna mereka mengutamakan sajian sup naga iaitu sup ikan yang mempunyai campuran pelbagai hasil laut.
Sajian lain seperti, udang masak lada kering, salad udang kara, sup jagung, dan ikan bolong masak kicap.
Jika tidak mahu memesan hidangan berat, anda boleh mencuba pelbagai hidangan mi goreng atau sup yang dihidangkan bersama makanan laut. Jangan risau untuk memesan dalam jumlah yang banyak kerana harganya sangat berpatutan.
Cerita Abdullah dengan lebih lanjut, dia pernah menerima kunjungan seorang pelancong dari Jerman yang memesan sajian tradisi Bajau dan Semporna di restorannya.
“Pelancong tersebut kemudian datang semula kali kedua dengan membawa rakan-rakan dalam kumpulan yang besar, kerana kata mereka rasa makanan di restoran ini unik,” katanya.
Mengambil bekalan mentah dari pembekal dan nelayan, Abdullah akan memastikan bekalan hasil laut yang sampai adalah segar dan tidak akan disimpan lama di dalam peti sejuk.
Katanya, bekalan diambil dua hari sekali bagi mengekalkan kesegaran dan jika ada permintaan untuk hasil laut yang lebih bernilai tinggi seperti udang kara, tidak akan ditolak.
Boleh memuatkan sehingga 400 pelanggan pada satu masa, Restoran Warisan juga mempunyai dewan mini untuk sebarang majlis yang ingin diadakan.
Maklumat lanjut boleh hubungi Abdullah di talian 013-8833044 atau berkunjung terus ke restoran.