KETIKA musim panas di bulan Ramadan ini, manfaatkan minum air kelapa muda ketika berbuka untuk mengembalikan suhu badan ke paras normal, kata Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Kuala Lumpur (HKL), Ridzoni Sulaiman.
Ridzoni berkata, air kelapa muda sangat tinggi dengan kandungan potassium, klorida, magnesium, kalsium, sodium serta vitamin B komplek (riboflavin) yang bertujuan mengawal tekanan darah, meredakan kekejangan otot serta menaikkan selera makan dan minum ketika musim panas.
Katanya, air kelapa muda juga mengandung elektrolit yang membantu mengembalikan ion tubuh yang hilang setelah seharian berpuasa.
"Selain air kelapa muda bertindak melegakan dahaga pada bulan puasa ini, air kelapa tersebut juga memberi manfaat sendiri bagi tubuh kita.
"Lagi bagus, elak daripada mengambil air kelapa yang dicampur dengan gula, beli sebiji kelapa yang belum dipotong dan minum air kelapa yang segar," katanya kepada Bernama, hari ini.
Ridzoni turut menjelaskan di samping meminum air kelapa ketika berbuka, minum air buah semasa bersahur adalah antara tindakan yang baik untuk kekal bertenaga dan sihat sepanjang hari pada bulan Ramadan ini.
Katanya, air buah-buahan ini mengandungi pelbagai jenis nutrien seperti vitamin, potasium dan fruktosa (gula semula jadi buah), berperanan sebagai bekalan tenaga di dalam badan.
"Sebenarnya rasa letih, penat dan mengantuk bukannya disebabkan kekurangan makanan tetapi ia adalah disebabkan kuantiti air di dalam badan berada pada tahap rendah," katanya.
Memandangkan bulan Ramadan kali ini jatuh pada musim Monsun Barat Daya dengan cuaca yang panas dan kering, Ridzoni turut menasihatkan orang ramai agar menjaga kesihatan diri dengan baik kerana kekurangan air ini boleh menyebabkan tubuh badan menghadapi
masalah ekoran 70 peratus daripada komposisi tubuh terdiri daripada air.
Di samping itu, Ridzoni turut menegaskan agar orang ramai perlu mengelak daripada meminum kopi, teh ataupun minuman yang mengandungi kafeina yang tinggi pada bulan puasa kerana minuman itu memberi kesan diuretik.
“Kopi dan teh akan merangsang pengeluaran air kencing, dan akibatnya, badan akan mengalami dehidrasi dan tekak menjadi sangat haus,” katanya.
No comments:
Post a Comment