TIDAK dinafikan, masakan Cina hari ini menjadi pilihan ramai untuk dinikmati. Selain rasanya yang enak, turut memenuhi cita rasa masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
Disebabkan banyak permintaan dalam kalangan masyarakat hari ini terutama sekali orang Melayu yang beragama Islam, maka tidak hairanlah banyak restoran berasaskan masakan Cina yang diusahakan oleh Cina mualaf.
Salah sebuah restoran masakan Cina halal yang cukup popular hari ini ialah Restoran Haslinda Sim Abdullah.
Berasal dari Kuala Lumpur, Haslinda telah membuka restoran pertamanya di Desa Petaling, pada tahun 2001.
Setelah beroperasi sekian lama, akhirnya Haslinda bersama suami membuat keputusan menutup restoran tersebut dan membukanya semula pada sekitar Jun 2010 di Bangi, Selangor.
Sejak itu, restoran tersebut beroperasi sehingga ke hari ini dengan menyajikan pelbagai jenis hidangan masakan Cina yang menjadi pilihan ramai.
Haslinda membuat keputusan menguruskan restoran makan berasaskan masakan Cina tetapi halal apabila dia sendiri susah untuk menikmati sajian Cina setelah memeluk agama Islam.
Disebabkan alasan tersebutlah, Haslinda terfikir untuk membuka sebuah restoran dan pada masa yang sama ingin berkongsi keenakan masakan Cina dengan mereka yang gemar akan masakan tersebut.
Ternyata percaturannya tepat kerana sambutan yang diterima cukup baik dan menurut ibu kepada tiga orang cahaya mata ini kesemua bahan-bahan yang digunakan di restorannya merupakan bahan-bahan segar dan semestinya halal.
Bukan itu sahaja, kesemua sajian yang ditawarkan di restoran tersebut merupakan resipi Haslinda sendiri.
Dia sendiri yang mengajar tukang masak di restoran miliknya itu cara-cara menyediakan sesuatu hidangan, bagaimanapun Haslinda memberitahu dia juga mempunyai dua orang chef yang cukup berpengalaman.
“Di restoran ini, kami menawarkan 14 jenis kategori makanan di mana setiap kategori mengandungi antara lapan hingga 10 jenis masakan,” ujarnya ketika ditemui di restorannya yang terletak di No. 48, Jalan Medan Pusat 2C, Seksyen 9, Pusat Bandar Baru Bangi, Selangor.
Beroperasi setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 11 malam, manakala Sabtu, Ahad serta hari cuti umum pada pukul 9 pagi, restoran ini mampu memuatkan sehingga 200 pelanggan pada satu-satu masa.
Menawarkan masakan panas yang hanya dimasak apabila menerima tempahan, Haslinda berkata, dia turut menyediakan dim sum, sajian yang cukup popular untuk pelanggannya.
Berbicara lebih lanjut, kebanyakan sos-sos yang disediakan dibuat sendiri dan tidak terkecuali pes-pes masakan yang lain.
Bukan tidak mempercayai kewibawaan chef serta tukang masaknya untuk menghasilkan setiap masakan yang ditempah pelanggan, menurut Haslinda, ia bertujuan menjaga kualiti serta rasa masakan di situ.
“Konsep yang ada di sini ialah menyediakan pes untuk setiap jenis masakan yang ditawarkan selain bahan-bahan basah yang lain diperoleh daripada pembekal tempatan.
“Ini adalah kerana saya ingin menjaga kualiti serta rasa setiap jenis masakan yang dihasilkan agar tidak lari,” tuturnya.
Ternyata sambutan yang diterima Restoran Haslinda Sim Abdullah di Bangi adalah di luar jangkaan. Disebabkan itu Haslinda bersama suami telah melebarkan lagi sayap perniagaan mereka dengan membuka cawangan di Bahau, Negeri Sembilan.
Telah beroperasi pada 28 April tahun lalu, waktu operasinya adalah sama seperti di Bangi tetapi restoran ini akan menutup operasinya setiap bulan pada minggu kedua dan ketiga hari Rabu.
Jadi kepada mereka yang berhajat untuk menikmati hidangan atau pun berbuka puasa di Restoran Haslinda Sim Abdullah, apa kata anda kunjunginya hari ini atau pun membuat tempahan terlebih dahulu terutama di hujung minggu di talian 012-9206983
No comments:
Post a Comment