UNTUNGNYA apabila pemilik sebuah kafe juga merupakan seorang pereka fesyen. Ini kerana pelanggannya dapat menikmati pengalaman menjamu selera seperti di dalam sebuah butik. Itulah kelainan yang ditawarkan AB Cafe yang terletak di Jalan Agryll, Pulau Pinang.
Menjadikan restoran yang baru dibuka tahun ini lebih istimewa adalah pengusahanya, Aini Bakker turut menyelitkan elemen-elemen yang menjadi minatnya termasuk seni dan muzik. Kesemua elemen itu bersatu di dalam kafe ini sekali gus menjanjikan pengalaman menjamu selera yang unik dan berbeza dalam kalangan pelanggannya.
Kelainan seperti ini sangat penting, apatah lagi di negeri ini yang menyaksikan hampir setiap bulan kafe baharu dibuka memandangkan adanya sambutan menggalakkan daripada orang tempatan dan pelancong asing.
Namun lebih menjadikan AB Cafe ini istimewa adalah ia milik usahawan bumiputera, justeru tidak timbul isu status halal makanan yang disaji.
Bagi yang pernah ke negeri ini, pastinya cukup menyedari bagaimana sukarnya untuk mencari kafe yang halal kerana kebanyakannya diusahakan bukan Islam. Berikutan itu, kewujudan AB Cafe betul-betul di jantung bandar raya Georgetown memberi alternatif kepada pelancong Muslim untuk menikmati makanan dalam suasana santai tetapi eksklusif.
Berkecimpung lebih 15 tahun dalam dunia peragaan fesyen di bawah jenama Aini Bakker, memiliki kafe sendiri adalah impian yang tidak pernah terpadam dalam diri Aini. Rasa ingin berkongsi selera dan kecintaannya terhadap dunia masakan semakin tinggi apabila disahkan menghidap kanser payu dara kira-kira tujuh tahun lalu.
Katanya, dugaan itu mengajarnya untuk lebih mengambil berat soal pemakanan iaitu yang menekankan aspek kesihatan selari dengan keadaan dirinya sebagai penghidap kanser.
“Sebab itulah menu makanan yang ditawarkan di kafe ini adalah cetusan idea saya sendiri dan berdasarkan pengalaman saya sebagai penghidap kanser.
“Namun, itu tidaklah bermakna menu yang saya tawarkan kurang dari segi rasa, sebaliknya pelanggan mendapat kelebihan dari segi makanan yang lebih sihat,” katanya kepada S2 baru-baru ini.
Meskipun berstatus kafe yang menawarkan menu istimewa dari barat, namun harga yang ditawarkan AB Cafe adalah sangat berpatutan iaitu antara RM7 hingga RM25.
Setakat ini, terdapat kira-kira 15 menu ditawarkan AB Cafe dengan yang paling mendapat sambutan pelanggan adalah Smokey Meatball Bolognese (With Wedges). Turut menjadi pilihan pelanggan adalah dua jenis spageti iaitu bolognese dan meatball, selain lasagna dan pizza.
Menariknya, kesemua menu ini adalah hasil gabungan idea dan cita rasa Aini dan Cef Nazri Satari yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam dunia kulinari.
Menu Barat itu disajikan bermula pukul 6 petang hingga 11 malam, manakala antara pukul 3 petang hingga 6 petang pula, pelanggan boleh memilih pelbagai jenis kek dan kopi.
No comments:
Post a Comment