KONSEP yang ideal dan unik merupakan tarikan utama kepada orang ramai untuk berkunjung ke sesebuah kafe. Di negara kita, perniagaan kafe dengan idea baharu dan unik semakin banyak diwujudkan untuk memberi lebih pilihan kepada orang ramai.
Bagi penggemar haiwan peliharaan seperti kucing, konsep kafe yang menampilkan suasana santai bersama haiwan tersebut mungkin satu idea baharu dan menggembirakan. Di sekitar Lembah Kelang sahaja, sudah terdapat dua perniagaan kafe yang membolehkan pengunjung menjamu selera dan dalam masa sama bermain dengan kucing.
Coffee Cottage Cat Cafe yang beroperasi di SS15 Subang Jaya mempunyai kelainan tersendiri. Selain menempatkan kucing-kucing yang comel, kafe ini menyediakan makanan dan minuman yang cukup menyelerakan dan istimewa.
Pengusahanya, Ryan Leong Kwong, memberitahu perusahaan kafe kucing ini merupakan buah fikiran yang tercipta semasa rangka lawatannya ke negara matahari terbit beberapa tahun lalu. Katanya, dia cukup tertarik dengan konsep tersebut yang cukup popular dalam kalangan masyarakat Jepun.
“Semasa berkunjung ke sebuah kafe kucing di Jepun, saya amat tertarik dengan suasananya yang membolehkan pelanggan bermesra dengan kucing-kucing yang ditempatkan di situ sambil menjamu selera. Sebagai penggemar kucing, idea tersebut cukup mengujakan.
“Sekembalinya ke Malaysia, saya terus berjumpa rakan kongsi perniagaan untuk berbincang bagi mewujudkan kafe seumpama itu di sekitar ibu kota. Ternyata, idea tersebut diterima baik dan cukup ideal.
“Dengan kemahiran dan pengalaman yang saya ada dalam mengendalikan perniagaan haiwan peliharaan selama 10 tahun, saya bawakan idea ini dan gabungkan dengan kebolehan rakan kongsi saya yang sememangnya arif dalam bisnes makanan dan minuman,” katanya.
Tidak seperti kafe kucing yang lain, Coffee Cottage Cat Cafe yang sudah beroperasi selama setahun lebih ini mempunyai kelainan dan keunikan tersendiri, baik dari sudut rekaan dalaman sehingga makanan serta minuman yang disediakan.
Menurut Ryan, dia ingin memberi keselesaan kepada semua pengunjung yang mempunyai minat dan kegemaran berbeza. Oleh kerana itu, konsep seni bina yang ditampilkan masih mengekalkan identiti dan konsep asal tetapi tidak mengabaikan keselesaan pengunjung pelbagai latar agama dan bangsa.
“Kafe ini terbahagi kepada dua ruang di mana terdapat ruang khas dengan konsep asas sesebuah kafe dan pada masa sama terdapat ruang lain yang menempatkan kucing-kucing untuk bermain. Ini memberi keselesaan kepada pengunjung yang bukan semua gemarkan kucing.
“Jika pengunjung ingin bermain dengan kucing, mereka boleh masuk ke ruang khas tersebut. Kepada yang hanya ingin makan dan minum sambil menikmati suasana sekeliling tanpa dikerumuni kucing, mereka boleh bersantai di ruang utama kafe sambil menikmati suasana cukup menenangkan,” jelasnya.
Antara menu yang dihidangkan di kafe itu adalah spageti, lasagna, sup dan croissant Perancis serta banyak lagi.
Dalam pada itu, mereka yang ingin menghilangkan tekanan kerja atau mahu bermain bersama kucing-kucing yang comel, bolehlah singgah di Coffee Cottage Cat Cafe yang dibuka setiap hari bermula pukul 1.00 petang sehingga 11.00 malam. Selain itu, mereka yang berminat untuk menganjurkan majlis-majlis khas di kafe tersebut boleh membuat pertanyaan di talian 03-5613-0078
No comments:
Post a Comment