Tuesday, August 18, 2015

IKAN LUMBA LUMBA DITEMUI MATI

PONTIAN - Penemuan ‎seekor anak ikan lumba-lumba yang tersangkut di jaring nelayan berdekatan dengan pesisir pantai Tanjung Piai, menggemparkan kerana mamalia itu sangat asing di negara ini.Disangka kayu rupanya ikan lumba-lumba

‎Nelayan, Jemadin Atan, 53 yang menemui ikan lumba-lumba itu berkata, dia terkejut melihat satu objek besar berbentuk pelik terapung berhampiran jaring yang dipasang ketika berada di laut kira-kira 11.00 pagi, semalam.

‎"Saya sangka kayu pada mulanya kerana ia berwarna hitam tetapi bentuknya agak pelik kerana mempunyai sirip. Selepas didekati rupanya seekor ikan lumba-lumba yang telah mati.

"‎‎‎Ketika itu air laut sedang pasang, jadi saya dan seorang lagi rakan hanya menolak bangkai ikan lumba-lumba itu untuk dibawa ke jeti," katanya.

Namun tidak lama kemudian, dia melihat seekor lagi ikan lumba-lumba yang masih bernyawa berhampiran jaring tidak jauh dari lokasi bangkai ikan lumba-lumba ditemui. ‎

"Setelah didekati rupanya sirip ikan itu tersangkut pada jaring menyebabkan ikan lumba-lumba itu tidak mampu bergerak.

"Selepas jaring yang tersangkut itu dilepaskan, ikan itu bergerak ke laut dan kelibatnya hilang daripada pandangan,"katanya.

‎Dia yang sudah 53 tahun menjadi nelayan mengangap kejadian itu sebagai sesuatu luar biasa kerana belum pernah terjadi ikan lumba-lumba terdampar di kawasan pesisir pantai Tanjung Piai.

"Bangkai ‎ikan lumba-lumba dengan anggaran berat 130kilogram dan sepanjang 2 meter itu diangkat menggunakan bantuan kren daripada bot ke jeti.

"Penemuan bangkai ikan ini amat pelik kerana sebelum ini bangkai ikan dugong‎ sahaja yang sering dilaporkan ditemui di perairan selatan Johor," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perikanan Daerah Pontian, Abdul Taib Japar berkata, bangkai ikan lumba-lumba itu telah dihantar ke Pusat Penyelidikan Ternakan Ikan Air Payau di Gelang Patah untuk tindakan selanjutnya.

Jelasnya, pihaknya dimaklumkan oleh nelayan tempatan mengenai penemuan bangkai seekor ikan lumba-lumba ‎yang terdampar di jaring nelayan berhampiran pesisir laut Tanjung Piai.



No comments:

Post a Comment