Saturday, August 22, 2015
RESTORAN RIZQ NASI KUKUS-SEKSYEN 7 SHAH ALAM
RESTORAN RizQ Nasi Kukus mula jadi sebutan. Penangan nasi kukus ayam goreng berempahnya memang menjadi! Orang ramai makin hari makin ramai. Memang terbaik hidangan yang disediakan oleh tukang masak, Haniza Mohd Noor, 50 bersama krewnya.
Pemilik restoran, Rosilawati Yaacob, 39, sangat gembira apabila RizQ Nasi Kukus diterima ramai. Walaupun tidak sampai setahun beroperasi, namun sambutan memang di luar dugaan.
Rosilawati yang mesra dipanggil Shiela berkata, kejayaan nasi kukus di restorannya itu bukan hanya terletak pada kepakaran tukang masaknya sahaja malah ada beberapa faktor lain yang membuatkan RizQ Nasi Kukus meriah dengan pelanggan.
Menurut Sheila, nasi kukus dimasak menggunakan resipi asli turun temurun keluarga manakala rempah ratus dan bahan-bahan masakan didatangkan khas dari Kelantan.
Untuk perapan ayam pula, bahan-bahan seperti halia, serai, serbuk kari (dari Kelantan), bawang merah, bawang putih, rempah ketumbar dan daun kari digaul sekali dan diperap selama dua hingga tiga jam untuk memastikan semua bahan sebati sebelum digoreng.
Sheila berkata, ayam goreng berempah digoreng ketika pelanggan tiba di restoran. Ini kerana, pihaknya mahu sajian itu dihidangkan 'panas-panas' untuk pelanggan.
Nasi kukusnya pula akan dihidangkan di atas daun pisang. Selain nasi kukus dan ayam goreng berempah, gabungan lauk lain seperti kerutuk, gulai kawah, kuah kari daging, kuah kari ayam, sambal garam, sambal ikan bilis dan ulam timun akan diletakkan dalam sepinggan nasi kukus.
Harganya pula cukup berpatutan. Sepinggan nasi kukus dan pilihan variasi air sirap hanya RM6.50 manakala ala carte RM6.
No comments:
Post a Comment