Monday, August 24, 2015

SAIZO CAFE-KOTA BHARU



SEWAKTU memasang angan-angan ke negeri Cik Siti Wan Kembang, perkara utama yang akan disenaraikan adalah lokasi terbaik untuk mengisi perut.

Sama ada sekadar ingin mencuba atau sememangnya anda kenal, negeri Kelantan kaya dengan pelbagai juadah menarik, tanpa mengira waktu. Pendek kata, ke mana sahaja haluan, anda melangkah dengan senang hati.

Boleh cuba kelainan rasa yang ditawarkan di Saizo Cafe, yang kedudukannya tidak jauh dari pusat bandar Kota Bharu memudahkan anda mencarinya. Jika kurang arif guna sahaja kepintaran aplikasi bantuan pandu arah GPS, pasti anda selamat sampai ke kafe ini.

Koleksi menu terlaris diolah daripada resipi keluarga yang juga berkemahiran tinggi mencipta masakan hebat! Sebut sahaja ikan bakar, ikan berempah, makanan eksotik seperti belut, maggi ketam, dan masakan panas semuanya sedia dihidangkan.

Begitu juga roti kuali yang jarang-jarang anda jumpa, pasti teruja untuk menjamah semua hidangan ini!

Mencipta kelainan tersendiri terutama dari segi hiasan dalaman, Saizo Cafe adalah salah satu port makan yang mampu penuhi selera anda. Melangkah masuk ke ruang makan, anda seolah-olah berada di restoran mewah.

Hiasan lampu menjadi pembuka selera, ditambah pula elemen klasik yang digantung di bahagian  dinding, melengkapkan kekemasan kafe milik Liyana Che Mohd Noor, 27, atau mesra membahasakan dirinya, Nana.

Dari hiasan hingga ke menunya, ditambah pula keramahan pemiliknya, nampak gayanya langkah kedua pasti menyusul. Ibu kepada dua cahaya mata ini, sememangnya wanita yang fokus dalam menyediakan sesuatu istimewa buat pelanggannya.

Memulakan perbualan, Nana menyenaraikan hidangan untuk sarapan pagi. Begitu meriah sekali, hidangan sarapan pagi hingga ke lewat malam, pelanggan dari pelbagai kategori pasti berpuas hati.

Katanya, menu sarapan pagi, disediakan mengikut pilihan pelanggan, dan sebagai anak jati Kelantan, tumpuan pasti kepada sajian seperti nasi berlauk, nasi kerabu serta kuih-muih tradisional, sedia dihidangkan sewal jam 7 pagi.

Anda penggemar gulai ayam kampung? Di sinilah salah satu lokasi yang boleh dipertimbangkan. Menu ini disediakan setiap hari, begitu juga kari kepala ikan, sup ayam kampung, dan ayam kampung goreng. Memang menggugat nafsu lebih-lebih lagi sedia dihidangkan bersama nasi panas.


Ayam kampung tarikan utama  

"Masyarakat Kelantan lebih sinonim dengan sarapan bersama nasi berlauk, jadi kelainnya, kami menggunakan ayam kampung dan sajian segar setiap hari," katanya.

"Tarikan utama juga adalah roti kuali, cara penyediaannya adalah dengan membakar di belakang kuali. cara ini seakan-akan sama dengan kemahiran orang timur tengah membuat roti tempayang," katanya.

Beralih kepada menu tengah hari, pelanggan boleh memilih untuk menjamah nasi campur atau aneka pesanan seperti sup tulang, sup belut, maggi ketam, dan istimewa juga maggi belut.

"Kami cuba pelbagaikan cita rasa agar pelanggan dapat nikmati hidangan dalam suasana yang berselera. Mungkin ada yang sedang mencari menu makanan eksotik seperti belut, jadi kepada yang baru ingin mencuba, menu kami pasti berbaloi," katanya.

Menurutnya, ikan bakar berempah juga tidak kurang hebatnya. Pilihan ikan segar jenis kerapu, pari, bawal, siakap, dan pelbagai lagi termasuk belut.

"Kami tawarkan pada harga RM5 untuk 100 gram siakap, dan paling rendah RM4 untuk 100 gram kembung. Boleh juga cuba menu untuk kesihatan, seperti ikan bakar yang dihidangkan bersama air asam, sebagai pencicah," jelasnya.

Katanya, menu-menu biasa seperti siakap masak stim, tiga rasa dan belut disediakan mengikut pesanan.

Menurut Nana juga, kebanyakan sajian adalah dari resipi diilhamkan sendiri oleh keluarganya yang sememangnya suka berniaga.

"Saya banyak didedahkan dengan selok-belok perniagaan, jadi tidak kekok menguruskan kafe ini tambahan pula, disokong penuh suami tercinta, Datuk Saizo Abdul Ghani.

"Kepakaran ibu bapa menguruskan perniagaan yang juga dalam bidang makanan menjadi inspirasi saya untuk terus mencari ilham mencipta resipi-resipi baru," katanya.

Di samping resipi tersendiri,  jelas Nana, Saizo Cafe juga dibantu tukang masak yang pakar dalam penyediaan selera Thai.

Melengkapkan hidangan, boleh cuba, pemanis mulut seperti ABC istimewa yang sememangnya kena dengan selera masyarakat kita. Disediakan juga menu masakan barat bagi yang ingin memilih makanan bergoreng untuk kudapan. Pulut bakar dan ais krim juga tidak dilupakan.

Melihat sambutan hebat setiap hari, perancangan untuk membuka cawangan baru sedang dalam proses pembinaan.

"Kami memilih satu lagi lokasi strategik iaitu di Wakaf Che Yeh sebagai cawangan seterusnya yang bakal dibuka awal tahun depan," katanya.


INFO 

Lokasi: Saizo Cafe, cabang Tiga Pasir Hor, Kota Bharu, Kelantan.
Sajian: masakan pantai timur dan Thai
Konsep: Moden dan klasik
Instagram: @nana_nurgaya #saizocafe
Waktu operasi: Sabtu-Khamis (7 pagi hingga 12 tengah malam Jumaat (4 petang-12 tengah malam)

No comments:

Post a Comment