Monday, September 28, 2015

STIK & SALMON SETIAP HARI


KANDUNGAN asid amino dalam ikan salmon baik untuk kesihatan jantung. 


MEMAKAN sekeping daging stik atau ikan salmon dalam kuantiti yang kecil setiap hari baik untuk kesihatan jantung.
Sekumpulan penyelidik dari Universiti Timur Anglia di England mendapati amalan memakan hidangan itu disifatkan sama baik dengan kebaikan meninggalkan tabiat merokok.
Menurut ketua penyelidik, Dr. Amy Jennings, individu yang mengambil kedua-dua bentuk protein itu secara konsisten mempunyai tekanan darah yang lebih rendah, mempunyai arteri lebih sihat dan kurang berisiko terkena serangan jantung.
Katanya, kandungan asid amino yang tinggi dalam kumpulan makanan itu membantu menguatkan sel-sel, tisu dan otot badan.
“Apabila anda menikmati 75 gram (g) stik atau 100g isi ikan salmon sehari bersama segelas susu skim, ia boleh menghalang anda daripada terkena strok dan serangan jantung,” katanya sambil memberitahu, asid amino turut didapati dalam makanan seperti ikan, tenusu, kekacang dan sayur seperti brokoli dan bayam.
Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Nutrition dijalankan berdasarkan penelitian ke atas data kesihatan kira-kira 2,000 wanita Britain.

Sunday, September 27, 2015

MAKAN IKAN ATASI TEKANAN














IKAN mengandungi asid lemak omega-3 yang bagus untuk meredakan stres.


PENYELIDIK dari Kolej Perubatan Universiti Qingdao di Shandong, China mendapati, individu yang gemar memakan ikan kurang berasa tertekan berbanding mereka yang tidak gemar makanan laut itu.
Penyelidikan tersebut mendapati, kandungan asid lemak omega-3 pada ikan mampu merangsang mikrostruktur sel-sel otak dan meredakan tekanan pada individu yang mengamalkan pemakanan tersebut.
Melalui kajian dibuat, golongan lelaki yang mengamalkan diet dengan memakan ikan menunjukkan penurunan tekanan sebanyak 20 peratus berbanding wanita iaitu sebanyak 16 peratus.
Kandungan asid lemak omega-3 pada ikan membantu mempengaruhi aktiviti neurotransmitter, dopamin dan serotonin yang mempunyai hubung kait dengan masalah tekanan.
Kebaikan protein, vitamin dan mineral yang terdapat pada ikan juga membantu mencegah kemurungan, malah diet ikan juga bagus untuk badan lebih sihat.

Saturday, September 26, 2015

CHAWAN-KL

CUBA mencari kelainan daripada kafe-kafe yang sedia ada di sekitar ibu kota dan pada masa yang sama ingin mengimbau kembali nostalgia lama mengenai warisan sajian asli Melayu, Ahmad Farid Yahaya telah membuka Chawan.
Menawarkan pelbagai sajian asli Melayu, antaranya ubi rebus, nasi lemak, nasi putih masak lemak daging salai serta mi rebus, kafe tersebut tidak ketinggalan menyajikan 11 jenis kopi tempatan yang pasti memikat selera setiap pengunjung.
Terletak di Publika, Solaris, Kuala Lumpur, Chawan juga mempunyai cawangannya di Citta Mall, Petaling Jaya, Selangor, Bangsar, dan The Weld, Kuala Lumpur.
Sememangnya sebuah kafe yang santai, Chawan pastinya menarik minat orang ramai untuk mengunjunginya kerana bukan sahaja namanya yang dilihat unik, tetapi dekorasi yang ditampilkan juga mampu mendamaikan sesiapa sahaja yang menikmati hidangan di situ.
Selain menarik untuk memperkatakan mengenai minuman kopi yang disediakan, apa yang istimewa mengenai kesemua cawangan kafe tersebut ialah sajian yang disediakan merupakan menu sama dan dimasak dari satu dapur yang sama.
Kata Ahmad Farid, penghasilan masakan daripada satu dapur yang sama bertujuan untuk menjaga kualiti serta rasa yang sama bagi setiap masakan yang disediakan di semua cawangan.
“Ketika mula-mula terfikir untuk membuka kafe ini, selain ingin menyediakan sajian asli Melayu saya juga ingin memberikan rasa asli masakan itu sendiri.
“Dan apabila sudah membuka cawangan, saya ingin mengekalkan setiap masakan dengan rasa yang sama dan untuk itu tiada cara lain kecuali dengan memasak menggunakan dapur yang sama.
“Daripada situlah timbul idea itu dan kini semua masakan yang disediakan dimasak di dapur pusat yang terletak di Ara Damansara,” ujarnya yang juga Pengarah Urusan Impak Gemilang Sdn. Bhd.
Menyambung bicara mengenai masakan yang dimasak di dapur pusat itu, Ahmad Farid menjelaskan, apabila kesemua makanan sampai ke cawangan-cawangan Chawan, makanan tersebut akan dimasak semula apabila dipesan oleh pelanggan.
Katanya, istilah dimasak semula di sini ialah bukannya dipanaskan menggunakan ketuhar gelombang mikro, tetapi masak di dalam periuk.
Semestinya menggunakan bahan-bahan segar serta berkualiti, Ahmad Farid menambah, adalah salah satu matlamat mereka menyajikan sajian yang terbaik buat pelanggan.
Menghasilkan satu tan masakan setiap hari, kesemua masakan disediakan oleh chef-chef berpengalaman dan berkemahiran.
Bercerita pula mengenai 11 jenis minuman kopi yang disajikan, Ahmad Farid memberitahu kopi tempatan yang disediakan adalah daripada kualiti yang terbaik.
Diambil dari seluruh negara, Chawan dilihat cukup bersedia, bukan satu, bukan dua tetapi 11 jenis kopi tersedia untuk dipilih oleh setiap pelanggannya.
Dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 1 pagi, operasi dilanjutkan sehingga pukul 2 pagi untuk hari Jumaat dan Sabtu. Kafe tersebut menyediakan pelbagai hidangan bermula dari sarapan pagi hinggalah makan tengah malam.
“Dalam setahun Chawan hanya menutup operasinya sekali sahaja iaitu pada Hari Raya Aidilfitri dan untuk Hari Raya Aildiladha pula Chawan akan memulakan operasinya lewat sedikit, 11 pagi.
“Apa yang penting bagi kami di Chawan ialah bukan sahaja menyediakan hidangan yang enak tetapi turut menitikberatkan perkhidmatan terbaik yang diberikan kepada pelanggan,” tuturnya lanjut.
Dibantu seramai 130 orang pekerja, Ahad Farid menjelaskan apa yang diharapkan pihaknya ialah memberikan yang terbaik buat kesemua pelanggannya selain mampu dikenali ramai seperti kafe-kafe kopi yang sedia ada hari ini.

Saturday, September 19, 2015

RESTORAN NANA-DAPUR MELAYU & CINA MUSLIM-SERI KEMBANGAN

Mengetengahkan konsep Melayu dan Cina dalam masakannya, Restoran Nana (Dapur Melayu & Cina Muslim) yang terletak di Jalan PUJ 3/2, Taman Puncak Jalil, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor, menjanjikan sajian yang segar dan panas kepada pelanggannya.
Terletak di kawasan strategik dan mampu menampung seramai 40 orang pada satu-satu masa, restoran ini pastinya dapat memenuhi selera sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa serta umur.
Boleh memilih sama ada ingin menikmati sepinggan nasi campur bersama pilihan lauk-pauk yang lebih daripada 50 jenis atau makanan berasaskan mi seperti mi kari atau pun laksa, pelbagai jenis bubur, nasi ayam serta nasi lemak, pasti membuatkan anda rambang mata untuk memilih yang mana satu untuk memenuhi selera.
Menyediakan pelbagai pilihan masakan lauk pauk panas, Restoran Nana mampu menggamit para pelanggan untuk singgah menjamu selera di situ.
Tidak lokek untuk memberikan yang terbaik buat para pelanggannya, pemilik restoran tersebut, Suzana Mohd. Nasir, 33, sanggup berulang alik ke pasar borong empat kali sehari semata-mata untuk membeli bahan-bahan segar.
Katanya, senario tersebut berlaku sejak mereka ditipu pembekal yang membekalkan barang-barang tidak segar dan busuk.
“Restoran ini menawarkan sajian daripada sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang, dan makan malam jadi apa jua yang kami sediakan merupakan sajian panas.
“Dan sudah pasti kami ingin menyajikan hidangan yang enak dan berkualiti agar pelanggan yang datang makan berpuas hati seterusnya mengunjungi lagi restoran ini.
“Disebabkan alasan ini jugalah membuatkan kami mengambil keputusan untuk membeli sendiri bahan-bahan mentah dan basah kerana kami pernah ditipu pembekal dengan membekalkan bahan-bahan yang lama dan busuk dan bagi memastikan bahan-bahan yang dibeli adalah segar dan berkualiti kami berulang alik empat kali sehari ke pasar borong untuk membeli bahan-bahan keperluan harian,” ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya, baru-baru ini.
Memberitahu akan ke pasar borong seawal 4 pagi untuk membeli sayur, kunjungan kali kedua Suzana ke pasar borong adalah sekitar pukul 11 pagi untuk membeli ikan.
Seterusnya Suzana akan pergi semula pada pukul 2 petang untuk membeli ayam sebelum yang terakhirnya pada pukul 9 malam untuk membeli pelbagai jenis mi.
Begitulah rutin harian Suzana dan juga suami, Nur Firdaus Beh Abdullah dalam usaha memberikan yang terbaik kepada para pelanggan mereka.
Memulakan operasi pada 6 Oktober 2013, Suzana menambah restorannya dibuka setiap hari kecuali Jumaat dari pukul 9.30 pagi hingga 9.30 malam.
Apa yang menarik dan boleh diperkatakan mengenai Restoran Nana ini, lauk-pauk untuk sajian nasi putih yang dimasak selain kuantitinya sedikit, kebanyakkannya adalah gabungan antara masakan Melayu dan Cina.
Ingin memberikan kelainan kepada para pengunjung, Suzana sanggup ‘mengembara’ mendapatkan resipi serta bagaimana satu-satu makanan itu dimasak terutama sekali masakan Cina.
Turut dibantu oleh suami tercinta, Suzana bertuah kerana suaminya merupakan seorang mualaf dan disebabkan itu jugalah antara alasan kenapa dia membuka restoran yang menyajikan masakan Melayu dan Cina.
“Kami berdua suka makan dan suami pula apabila memeluk agama Islam masih ingin menikmati hidangan Cina dan sudah pasti masakan Cina yang halal susah untuk diperoleh.
“Jadi mahu atau tidak saya ‘terpaksa’ belajar memasak masakan Cina dan dari situ jugalah kami dapat idea untuk membuka restoran yang menawarkan masakan Cina halal.
“Nampaknya usaha kami tidak sia-sia dan setakat ini sambutan yang diterima cukup menggalakkan malah kami juga mempunyai pelanggan tetap,” tuturnya.
Bercerita pula mengenai masakan yang dimasak hanya dalam kuantiti yang sedikit, ulas Suzana, ini kerana mereka ingin memberikan masakan segar kepada pengunjung.
Ini dimana apabila lauk yang dimasak awal habis, pihaknya akan memasak semula masakan yang sama untuk para pengunjung yang seterusnya dan ia bermakna para pengunjung akan sentiasa disajikan dengan masakan panas dan segar

Wednesday, September 16, 2015

HOT NASI AYAM KUKUS-MELAKA

Letak harga mampu bayar

DALAM keadaan ekonomi tidak menentu masa kini, masih ada peniaga makanan tidak mengambil kesempatan sebaliknya menawarkan nasi kukus berserta ayam goreng berempah dan sayur, hanya pada harga RM4.

Pembukaan Hot Nasi Kukus yang terletak di Jalan Graha Maju, Melaka, sejak dua bulan lalu, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai, khususnya pelajar institut pengajian tinggi awam di kawasan berkenaan menikmati makanan pada harga mampu bayar.

Pengurus kedai berkenaan, Shaharuddin Ibrahim, 53, berkata sebagai peniaga bukan saja perlu memikirkan kualiti makanan dihidangkan, malah perlu mengambil kira harga makanan yang dijual sama ada ia mampu dibayar pengguna ataupun tidak.

Menurutnya, bukan tidak mendapat untung sekiranya makanan dijual pada harga rendah, tetapi perlu beranggapan ia dapat memberi keuntungan kepada dua belah pihak.

“Kami menganggap jualan ini sebahagian daripada sedekah kepada pelanggan. Memandangkan 80 peratus pelanggan kami ialah pelajar, tidak salah mengenakan harga mengikut kemampuan mereka.

“Harga ditawarkan kami sudah cukup berpatutan dengan seketul ayam agak besar, nasi dan sayur ia sudah cukup mengenyangkan untuk sama ada sarapan pagi, makan tengah hari atau lewat petang,” katanya.

Shahruddin berkata, premis yang dibuka bermula jam 9.30 pagi hingga 6.30 petang itu hanya menawarkan nasi kukus bersama ayam goreng berempah serta pelbagai minuman.

Menurutnya, setakat ini pelanggan memberikan pelbagai reaksi positif terhadap makanan dijual termasuk harga ditawarkan kepada mereka.

“Jika di congak secara kasar, kami menawarkan harga berpatutan dengan nilai yang akan dibayar pelanggan kerana mengikut harga semasa ketika ini ayam goreng saja dijual di antara RM3.50 dan RM5.

“Cukup berbaloi menikmati juadah disediakan kami bersama sayur dan dua sos bercili untuk nasi dan ayam yang pasti membuka selera sesiapa saja,” katanya.

Katanya, harga jualan ditawarkan sebenarnya bukan saja untuk kebaikan pelanggan, tetapi mencerminkan di negeri ini masih ada makanan yang murah bagi tujuan menjadi buah mulut pelancong yang datang ke negeri ini.

“Apabila ada pelanggan dari luar datang ke sini, mereka pasti akan bercerita mengenai harga yang ditawarkan kami. Kebetulan Melaka ialah negeri pelancongan tidak salah kita membantu kerajaan negeri untuk meningkatkan sektor itu.

“Saya ada pelanggan tetap seorang guru yang sering membawa rombongan dari utara ke negeri ini dan dia pasti membawa kumpulannya datang ke premis kami kerana memberitahu harga ditawarkan kami murah,” katanya.

Friday, September 11, 2015

AL KHANZ HADRAMAWT: KULIM HIGH TECH KULIM

Selepas 12 tahun berkecimpung dalam industri minuman kesihatan terutama kopi, Abdul Halim Shareff mula memikirkan cabang baharu perniagaannya. Beliau cuba mencari sesuatu yang mendapat permintaan tinggi dan akhirnya, restoran Arab menjadi pilihan memandangkan sambutan yang diterima untuk makanan dari Asia Barat itu semakin meningkat di sekitar utara Semenanjung.
Peluang memiliki premis di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah juga membuka ruang kepadanya membuka restoran Al Khanz Hadramawt (Al Khanz) pada Julai 2013. Dibuka setiap hari dari pukul 11.30 pagi hingga 11.30 malam, restoran itu sememangnya menjadi tumpuan pelanggan terutama pekerja di kawasan perindustrian berkenaan.
Menurut Abdul Halim, biarpun menu utama di Al Khanz adalah makanan Arab, namun beliau juga menjadikan restoran itu sebagai pusat sehenti untuk seisi keluarga dengan turut menawarkan makanan Barat dan Asia.
Menceritakan tentang restorannya, katanya, hidangan utama di restoran itu berasal dari Yemen seperti nasi mendi, hummus, shawarma, zoorbiyan dan khabsa.
“Selama lebih 12 tahun saya mengusahakan produk kesihatan berasaskan kopi dan mula terfikir untuk menceburi cabang perniagaan baharu.
“Dari situlah timbul idea untuk membuka restoran Al Khanz ini yang menawarkan hidangan makanan Arab dan mendapat permintaan tinggi di sekitar Kulim dan utara Semenanjung,” katanya kepada S2 baru-baru ini.
Abdul Halim menambah, berbeza dengan restoran lain yang menggunakan chef dari negara luar, tukang masak di Al Khanz adalah anak tempatan yang dilatih khusus serta menggunakan resipi mereka sendiri.
Ini kerana menurutnya, beliau belajar daripada kesilapan apabila chef yang dipertanggungjawabkan menyediakan hidangan di situ cuba ‘mencuri’ resipi yang diberi dan membawanya ke restoran lain.
“Kini chef di Al Khanz adalah anak tempatan yang dilatih khusus dan menggunakan resipi yang disediakan sendiri agar cita rasa hidangan kami memenuhi selera tempatan.
“Selain makanan Arab yang sering dipesan pelanggan, hidangan makanan Barat seperti chicken chop, lamb chop, bebola daging dan spageti turut menjadi pilihan,” ujarnya.
Al Khanz turut menyediakan hidangan ringan seperti kebab dan sandwic bagi memenuhi selera mereka yang ingin bersantai pada waktu petang sambil berborak bersama rakan-rakan.
Ditanya mengenai kemudahan lain di Al Khanz, Abdul Halim berkata, selain ruang makan bawah yang mampu memuatkan 80 pelanggan pada satu-satu masa, mereka juga memiliki dewan untuk 120 orang.
Selain itu, mereka menawarkan perkhidmatan penghantaran di sekitar lima kilometer dari restoran bagi kemudahan penduduk di sekitar Kulim.
“Kalau ada rezeki, kami merancang untuk memperluaskan lagi perniagaan ini dengan membuka cawangan Al Khanz di kawasan lain.
“Restoran ini juga menyediakan pakej khas untuk majlis perkahwinan atau kenduri-kendara lain,” tambahnya.

Thursday, September 10, 2015

COCONUT SHAKE KAFE MINI KRUMBA: CITTA MALL KL

LEBIH pekat dan berkrim, terasa kerangupan kelapa dalam sebatian yang sempurna hidangan air “coconut shake” di kafe mini Krumba yang baru dibuka di Citta Mall, Petaling Jaya, Selangor. Boleh dikatakan ia merupakan hidangan seumpamanya yang paling sedap dan menyegarkan pernah penulis rasa setakat ini.
Mengorek rahsia kehebatan hidangan yang menjadi kegemaran ramai itu, ujar pemilik Krumba, Fiona Chaniago, banyak perbezaan dari segi bahan dan cara pembuatannya yang membuatkan air goncang kelapa yang digelarnya Shaka, lain berbanding di kedai lain.
Tidak menggunakan aiskrim serta susu yang kononnya dapat menaikkan rasanya, ujar Fiona, hanya gabungan air dan isi kelapa segar bersama formula rahsia membuatkan ia tidak terlalu cair dan tidak menenggelamkan rasa kelapanya dengan bahan seperti aiskrim vanila dan susu.
Melengkapkan lagi hidangan Shaka, boleh diletakkan krim putar di atasnya serta serbuk kelapa istimewa yang sungguh rangup dan unik rasanya.
“Selain perasa original, pelbagai Shaka campuran perasa lain yang masih berasaskan kelapa turut disediakan iaitu kopi, mocha, coklat, cendol, mangga serta pisang dan coklat. Malah perasa kopi berlainan seperti latte dan espresso yang digabungkan dengan kelapa memberikan kelainan kepada Krumba.
“Shaka di Krumba juga tidak mengandungi sebarang laktosa, membuatkan ia sesuai dinikmati mereka yang alergik kepada laktosa dan yang mementingkan kesihatan,” tambahnya yang turut menguruskan kafe mini Krumba bersama rakan kongsinya iaitu Sabrina Aquarissa dan Rizawati Pa’wan.
Istimewa lagi di Krumba, turut disediakan gelato kelapa, jauh beza dengan aiskrim kerana terang Sabrina, jumlah kandungan air antara aiskrim dan gelato amat berbeza.
Ujarnya, aiskrim lebih banyak air membuatkan ia tidak cukup pekat selain banyak menggunakan bahan tambahan lain seperti lemak sawit, soya, lesitin soya dan bahan tiruan lain.
Manakala gelato di Krumba yang merupakan formula mereka sendiri, menggunakan krim dan buah asli bagi memastikan kualiti terbaik untuk pelanggannya selain mendidik mereka untuk menikmati pilihan makanan yang lebih menyihatkan.
“Formula gelato membuatkan ia lebih berkrim dan manis, serta halus kerana kandungan air dan udara yang kurang berbanding aiskrim,” terang Sabrina yang turut merancang membuka beberapa mini kafe Krumba di lokasi lain selain membuka peluang francais di sekitar Lembah Klang dalam waktu terdekat.
Terdapat enam jenis gelato yang berasaskan kelapa berbeza setiap hari seperti kelapa original, coklat, kopi, mangga dan nanas. Pelanggan turut diberi pilihan cara hidangan sama ada kon, cawan atau signatur istimewa yang dihidangkan di dalam tempurung kelapa.
Akhir sekali, mini kafe Krumba turut menyediakan pilihan air detoks yang masih berasaskan air kelapa.
Jika biasanya air detoks menggunakan air kosong untuk rendaman pelbagai buah-buahan segar, bezanya Krumba, mereka menggunakan air kelapa bersama madu membuatkan air detoks mereka lebih seronok dihabiskan.
Ujar Fiona, air kelapa itu sendiri sememangnya baik untuk penghadaman dan kesihatan, membuatkan ia campuran yang sesuai bagi mereka yang mementingkan kesihatan tubuh badan.
Antara pilihan air detoks yang disediakan ialah Oremon Vit C, Refreshing Rainforest, Citrus Power of Three dan Berry Mint.
Setiap jenis detoks mempunyai bahan dan fungsi tersendiri seperti tambahan tenaga dan proses pembuangan toksik.

Wednesday, September 9, 2015

AGORA & H&M LODGE & FORK N DAGGER: KEMPAS JB

Bagi mereka yang ingin menikmati makanan barat dan tempatan tetapi pada masa sama ingin mencuba makanan unik seperti ‘karipap dinosaur’, premis di nombor 29, Jalan Dataran 4/7, Taman Kempas, Johor Bahru adalah tempatnya.
Menggabungkan tiga premis iaitu Agora, H&M Lodge dan Fork N Dagger, pengunjung akan disaji dengan pelbagai menu yang pastinya akan menambat selera dengan aneka pilihan makanan yang disediakan di warung berkonsepkan pusat sehenti itu.
Pemilik Agora, Suzzanna Zainal Abidin, 29, berkata, dia dan suami, Noor Hafiz Afifi Al-Azros Noor Azman, 29, menyediakan pelbagai makanan tempatan seperti laksa Johor, laksa Penang, nasi goreng istimewa Malaysia, ayam penyet, mee kari dan bakso.
“Kami turut menyediakan aneka minuman yang kami reka sendiri seperti Agora’s Bittersweet Herba Soda, Agora’s Limau Asam Asin, Mocha Frapp, Cappucino Frapp, Vanilla Blue Frapp, Lemonade dan Coke Float.
“Bagi memastikan makanan dan minuman yang sedap, kami hanya menggunakan bahan-bahan berkualiti dan segar bagi mengekalkan keaslian rasanya,” katanya baru-baru ini.
Bagi pemilik H&M Lodge, Mokhtar Affendi Mansor, 29, pula, katanya, dia dan rakannya, Mohamad Hizwan Ramli, 29, menyediakan pelbagai makanan barat dengan sos yang dihasilkan sendiri oleh mereka.
Antara makanan yang disediakan adalah ayam dan daging panggang, fish and chip, ikan panggang, dan salad segar.
“Kami amat menjaga kualiti masakan yang disediakan kerana mahu pelanggan menikmati makanan bertaraf hotel lima bintang yang boleh dinikmati pada harga warung.
“Sebab itulah, kami menghasilkan sendiri sos lada hitam, cendawan dan BBQ kerana ia lebih sedap jika dibandingkan dengan sos segera yang dijual di pasaran,” katanya.
Sementara itu, pengunjung yang ingin menikmati makanan unik seperti karipap dinosaur dan popia pisang coklat, bolehlah mencuba di gerai Fork N Dagger yang diusahakan Suziemah Zainal Abidin, 26, dan suami, Ahmad Azree Ashar, 27.
Menurut Suziemah, karipap dinosaur bersaiz separuh pinggan itu merupakan resipi keluarganya sejak dahulu lagi dan ia ternyata mampu menarik selera orang ramai yang inginkan kelainan.
“Sebiji karipap dinosaur berintikan isi ayam, lada hitam dan daun kucai ini boleh dimakan dua atau tiga orang kerana saiznya agak besar.
“Selain karipap dinosaur, popia pisang yang disiram dengan coklat juga menjadi menu pilihan pengunjung sebagai pencuci mulut,” katanya.
Orang ramai yang ingin menikmati makanan di premis berkenaan bolehlah datang pada waktu operasi setiap hari kecuali Ahad bermula pukul 6 petang hingga 1 pagi.

Sunday, September 6, 2015

RESTORAN HUNGARY "SECRET 009 KALACS"-DUTAMAS KL


Salah satu makanan Hungary yang popular di sini ialah kalacs, sejenis pastri roti dan kek. Makanan ini sudah wujud sejak kurun ke-19 lagi dan pada awalnya kalacs hanya dibuat khusus ketika perayaan. Kini kalacs menjadi makanan harian di Hungary.
Roti ini memiliki tekstur yang garing di luar dan lembut di dalam. Menariknya, roti ini mempunyai sos istimewa dan pelbagai perisa.
Menurut Pengurus Secret 009, Siti Mariana Sirun, roti ini mengambil masa 40 minit untuk dibakar sebelum sedia dimakan.
“Kami akan menambah pelbagai perisa seperti kacang, coklat, badam, kelapa, bijan dan sebagainya.
“Ramai yang gemar memakan roti ini ketika panas dan baharu dibakar daripada oven. Kebiasaannya, roti ini lazat dimakan bersama teh organik atau kopi Hungary pada sebelah petang. Pun begitu, ada juga yang memakannya untuk makanan tengah hari,” katanya.
Kalacs dihasilkan menggunakan bahan asli, tiada pengawet dan tanpa bahan tiruan.
Selain kalacs, Secret 009 turut menghidangkan menu lain seperti mutton gulyas iaitu daging kambing atau ayam gulyas yang dimakan bersama nokedli iaitu nasi Hungary.
Asli
Terdapat juga menu lain seperti ayam gril minyak zaitun, kobis masam dan pemanis mulut.
“Kami menghasilkan makanan ini menggunakan 100 peratus resepi daripada Piroska. Beliau akan memastikan makanan yang dihasilkan asli dan menggunakan bahan-bahan yang betul. Bahkan mi dan nokedli yang dimasak, kami buat sendiri,” ujarnya.
Tambah Siti Mariana, kafe ini merupakan yang pertama menampilkan makanan asli Hungary di negara ini.
Bercerita lanjut tentang konsep kafenya, Siti Mariana memberitahu, Secret 009 menampilkan konsep kiosk. Kafe ini turut menampilkan ciri hiasan dinding, kerusi dan meja artistik untuk memastikan pelanggan menikmati makanan seperti berada di Hungary.
Dalam pada itu, Siti Mariana turut mempelawa mereka yang berminat menjadi rakan perniagaan untuk membuka cawangan lain Secret 009.

INFO
Secret 009,
UG Level Lot 26,
Block C, Solaris Dutamas,
No 1, Jalan Dutamas 1, 50480, Kuala Lumpur, WP
Telefon: 03-62065105/012-6077846
secret009kalacs@gmail.com
www.secret009kalacs.com

Friday, September 4, 2015

CYBERKNIFE BANTU RAWAT PESAKIT KANSER

Hanya berbaring santai antara dua hingga tiga jam, pesakit yang menghidap kanser atau ketumbuhan boleh pulih sepenuhnya tanpa melalui proses pembedahan yang menyakitkan.
Bunyinya agak mustahil, namun kecanggihan teknologi sedemikian bukan lagi sekadar imaginasi.
Rawatan CyberKnife melalui teknologi Terapi Stereotaktik Radiasi Badan (SBRT), sel-sel barah boleh dimatikan dalam tempoh berkenaan tanpa melakukan pembedahan ke atas pesakit, tanpa sebarang pemotongan, tidak sakit, tidak luka, dan tidak memerlukan bius.
Teknologi yang diperkenalkan sejak 10 tahun lalu di negara ini, berjaya merawat lebih 1,000 pesakit yang menghidap ketumbuhan kecil daripada jenis kanser serta masalah saraf bukan kanser.
Menurut Pengarah Perubatan dan Konsultan Klinikal Onkologis Hospital Beacon,Datuk Dr. Mohamed Ibrahim A.Wahid, rawatan CyberKnife boleh dianggap sebagai teknologi terkini dalam sejarah perubatan negara, namun masih belum berkembang sepenuhnya kerana kurang kepakaran dalam bidang ini berbanding rawatan GammaKnife atau X-Knife.
“CyberKnife merupakan robot pembedahan berkomputer yang dikawal secara automatik dengan menggunakan sistem pemanduan imej. Sinaran radiasi ditujukan pada sasaran, iaitu kurang daripada 1 milimeter untuk mematikan sel ketumbuhan.
“Ketepatannya boleh disahkan sepanjang rawatan dilakukan walaupun ketika tubuh bergerak, bagi memastikan ia tidak menjejaskan tisu-tisu sihat di sekitar organ yang terjejas akibat ketumbuhan atau kanser.
“Kadar pemulihan menerusi kaedah tersebut juga tinggi berbanding prosedur biasa yang melibatkan beberapa siri pembedahan yang lazimnya mengambil masa berjam-jam dan memerlukan rawatan susulan dalam tempoh yang agak lama,” katanya.
Ujarnya, masih ramai yang tidak tahu tentang kewujudan rawatan ini sedangkan sesetengah penyakit yang selama ini dianggap tidak boleh dirawat atau mempunyai risiko tinggi jika dibedah kini sudah pun boleh dirawat dengan adanya Cyberknife.
Dengan kadar ketepatan mencapai satu milimeter, Cyberknife juga boleh digunakan untuk merawat tumor pada organ lain badan seperti spina, prostat, paru-paru, hati dan pankreas.
Cyberknife juga merupakan satu-satunya sistem seumpamanya yang berupaya mengimbangi pergerakan pesakit iaitu pergerakan dada semasa pernafasan demi memastikan penghantaran yang tepat sinaran radiasi semasa menerima rawatan.
Cepat dan tidak menyakitkan
Menurut Dr. Mohamed Ibrahim, semasa rawatan dilakukan, pesakit berada dalam keadaan yang sedar sepenuhnya sepanjang prosedur yang lazimnya memakan masa di antara 30 hingga 60 minit, bergantung kepada kerumitan kedudukan sel dan tumor yang ingin dihapuskan.
“Sistem pemanduan imej akan mengambil imej sinar X dari semasa ke semasa dan membandingkannya dengan data daripada imbasan CT (CT scan) untuk memastikan radiasi disasarkan dengan tepat ke arah tumor.
“Pesakit diminta untuk tidak bergerak dan mereka tidak memerlukan sebarang suntikan bius dan potongan pembedahan. Pesakit biasanya dibenarkan meninggalkan pusat rawatan sejurus rawatan selesai dan boleh terus memulakan rutin harian mereka seperti biasa.
“Sekiranya doktor mengambil keputusan untuk melakukan beberapa sesi rawatan, pesakit perlu kembali semula untuk rawatan tambahan harian, tetapi biasanya tidak lebih daripada lima kali.
“Selepas rawatan radiosurgeri, susulan dengan imbasan CT dan MRI akan dilakukan dalam tempoh dua hingga enam bulan yang akan diterangkan kepada pesakit tentang prosedur berkenaan pada akhir rawatan,” ujarnya.
Tambahnya, disebabkan Cyberknife menggunakan pancaran berganda radiasi yang bertenaga tinggi dan disasarkan pada kedudukan tumor, proses ini berjaya meminimumkan pendedahan radiasi terhadap tisu-tisu normal yang sihat di sekeliling tumor yang dirawat.
Oleh itu, boleh dikatakan pesakit hampir tidak mempunyai kesan sampingan selepas rawatan.
Katanya, keputusan keberkesanan rawatan tidak boleh dilihat serta merta kerana objektif rawatan dijalankan adalah untuk mengawal pertumbuhan tumor.
Kesannya boleh dilihat seawal beberapa minggu sehinggalah kepada beberapa bulan bergantung kepada keadaan semula jadi tumor sama ada terus musnah atau mengecil.
Memahami rawatan kanser boleh memberi tekanan yang berat kepada pesakit dan keluarga, kesedaran kepada rawatan yang lebih mudah dan cepat perlu diberi perhatian agar pesakit dapat dirawat dalam keadaan yang lebih selesa sekali gus mengurangkan bebanan yang ditanggung.
“Walaupun CyberKnife boleh dilaksanakan pada peringkat kritikal kanser namun pesakit digalakkan untuk melakukan pengesanan awal dan mendapatkan rawatan segera kerana mencegah adalah lebih baik daripada merawati.
“Apa pun, pilihan rawatan bergantung kepada pesakit dan perlulah disyorkan daripada pakar perubatan mereka,” katanya.
Hospital Beacon, yang beroperasi sebagai pusat rawatan kanser, merupakan satu-satunya institusi perubatan yang menyediakan kemudahan Cyberknife di rantau Asia Pasifik, sejak tahun 2005 lagi.

Thursday, September 3, 2015

SINGKIR TOKSIN UNTUK KULIT SIHAT

Sesetengah orang mempunyai kulit kusam dan ada juga yang mempunyai kedutan, pigmentasi, lingkaran gelap pada mata, mata bengkak, bintik-bintik hitam dan sebagainya.
Tahukah anda, pendedahan kepada cahaya matahari ialah salah satu penyebab masalah dan proses penuaan kulit berlaku? Selain itu, pengambilan ubat-ubatan yang diambil secara kumulatif juga boleh menyebabkan masalah kulit.
Hakikatnya, kecantikan datang dari dalam dan jika anda mahu mencapai kulit yang cantik, anda perlu untuk merawat permasalahan yang ada dalam badan anda. Misalnya detoksifikasi, menyingkir pemgumpulan air berlebihan daripada badan.
Kita boleh mula kaedah rawatan dalaman bagi mencapai kulit yang lebih baik dan sempurna. Langkah pertama ialah mendapatkan diagnosis, pemeriksaan air kencing, permeriksaan darah dan kemudian kita boleh mendapat tahu dengan tepat berapa banyak toksin di dalam badan pesakit dan sekuat mana sel badan kita.
Kadang-kadang pepijat yang menggigit, akan meninggalkan tanda gelap yang kekal di badan selama-lamanya. Pemeriksaan ini perlu bagi orang yang lebih tua dan mempunyai toksin, mereka berisiko kerana terdedah kepada barang yang terpakai seharian tanpa mengetahui ia selamat atau tidak seperti deodoran, syampu, dan produk penjagaan kulit.
Akhirnya, toksin tersebut kekal di dalam badan. Selain itu, segalanya yang kita sedut atau sapu pada badan kita boleh menukarkan sel-sel dan menyebabkan masalah kepada individu tersebut contohnya organ hati berlemak, menaikkan berat badan, kulit kelihatan semakin kusam dan pengumpulan air berlebihan di dalam badan.
Perundingan secara individu digalakkan kepada pesakit. Ini kerana keadaan setiap badan individu adalah berbeza. Kebiasaannya, pakar estetik akan mendapatkan latar belakang pesakit dan menasihatkan jenis rawatan yang sesuai untuk mereka.
Mekanisma penjagaan untuk kulit yang baik untuk mengekalkan kesihatan adalah perlu seperti:
1. Menggunakan ubat untuk mengusir keluar toksin dari dalam darah. Melalui proses ini tahap toksin dapat dikurangkan dengan serta-merta.
2. Rawatan spa – Rawatan di rumah seperti ozonomatik hidro terapi dan oksigen hiperbarik.
3. Cahaya infra merah
Ozonomatik Hidroterapi
Mandi ozon ialah salah satu rawatan yang paling baik untuk mengembalikan badan anda kepada keadaan yang ideal. Sistem semula jadi anti tekanan dapat mengimbangi semula badan anda. Rawatan ini dapat merangsang oksigen di dalam darah dan membaik pulih sistem peredaran limfa serta memudahkan pengeluaran toksin supaya kulit pulih berkilau, kekal anjal dan lembut.
Oksigen Hiperbarik
Terapi oksigen hiperbarik melibatkan pernafasan oksigen tulen di dalam bilik bertekanan atau tiub. Terapi oksigen hiperbarik ialah rawatan untuk kesihatan dan kecantikan kulit dan anti penuaan badan, kehilangan berat badan, tona kulit cantik, menghalang selulit, mengurangkan kedutan , detoksifikasi, merangsang sistem imun, mengekalkan umur selain bertujuan anti penuaan yang mantap.
Rawatan ini juga dapat mening­katkan anti oksida, pengeluaran kolagen dan penghasilan elastik, menghilangkan radikal bebas dan mengurangkan bengkak.Terapi oksigen hiperbarik akan meningkatkan tekanan udara kepada tiga kali lebih tinggi daripada tekanan udara biasa. Dalam keadaan ini, paru-paru anda boleh mengumpul lebih banyak oksigen daripada yang biasa. Anda mampu bernafas melalui oksigen tulen pada tekanan udara biasa.
Darah anda membawa oksigen ke seluruh badan. Ini membantu melawan bakteria dan merangsang pengeluaran bahan-bahan yang dipanggil faktor pertumbuhan sel-sel dan stem sel untuk membantu proses pemulihan.
Cahaya infra merah
Sebahagian besar daripada bahan kimia merupakan toksin yang boleh menyebabkan kanser, kecacatan kelahiran, kerosakan kepada saraf dan sistem imunisasi, kerosakan pada hati, sum-sum tulang dan lain-lain.
Cahaya infra merah merupakan sumber tenaga utama yang datang daripada matahari dan bertangungjawab memanaskan kulit kita apabila duduk di bawah sinaran matahari. Sinaran matahari yang cukup pada kulit akan menyebabkan perpeluhan dan secara tidak langsung menyingkirkan toksin.
Tubuh yang menyerap mineral seperti boron dan silika baik untuk aktifkan fungsi otak dan badan selain sulfur dalam air memerangkap toksin disingkirkan melalui peluh dan sistem pencernaan.
Ada juga pusat kecantikan spa yang menawarkan rawatan sauna infra merah. Sauna infra merah ini meliputi penjagaan kesihatan berbentuk pencegahan, rawatan kecantikan dan penjagaan kulit. Dengan hanya 30 minit sehari, duduk di dalam kubikel tanpa pakaian atau berpakaian minimum, pengguna akan menuju ke arah pemulihan dan pemuliharaan. Kaedah itu membantu membakar sekitar 600 hingga 900 kalori setiap 30 minit sesi sauna.
Rod seramik infra merah ini diselaputi 24 bahan mineral dan dikeluarkan dalam bentuk gelombang kepada pengguna. Haba yang dikeluarkan daripada rod seramik ini adalah sama seperti haba matahari. Pengguna disyorkan menggunakan suhu melebihi 44 darjah Celsius.