LEBIH pekat dan berkrim, terasa kerangupan kelapa dalam sebatian yang sempurna hidangan air “coconut shake” di kafe mini Krumba yang baru dibuka di Citta Mall, Petaling Jaya, Selangor. Boleh dikatakan ia merupakan hidangan seumpamanya yang paling sedap dan menyegarkan pernah penulis rasa setakat ini.
Mengorek rahsia kehebatan hidangan yang menjadi kegemaran ramai itu, ujar pemilik Krumba, Fiona Chaniago, banyak perbezaan dari segi bahan dan cara pembuatannya yang membuatkan air goncang kelapa yang digelarnya Shaka, lain berbanding di kedai lain.
Tidak menggunakan aiskrim serta susu yang kononnya dapat menaikkan rasanya, ujar Fiona, hanya gabungan air dan isi kelapa segar bersama formula rahsia membuatkan ia tidak terlalu cair dan tidak menenggelamkan rasa kelapanya dengan bahan seperti aiskrim vanila dan susu.
Melengkapkan lagi hidangan Shaka, boleh diletakkan krim putar di atasnya serta serbuk kelapa istimewa yang sungguh rangup dan unik rasanya.
“Selain perasa original, pelbagai Shaka campuran perasa lain yang masih berasaskan kelapa turut disediakan iaitu kopi, mocha, coklat, cendol, mangga serta pisang dan coklat. Malah perasa kopi berlainan seperti latte dan espresso yang digabungkan dengan kelapa memberikan kelainan kepada Krumba.
“Shaka di Krumba juga tidak mengandungi sebarang laktosa, membuatkan ia sesuai dinikmati mereka yang alergik kepada laktosa dan yang mementingkan kesihatan,” tambahnya yang turut menguruskan kafe mini Krumba bersama rakan kongsinya iaitu Sabrina Aquarissa dan Rizawati Pa’wan.
Istimewa lagi di Krumba, turut disediakan gelato kelapa, jauh beza dengan aiskrim kerana terang Sabrina, jumlah kandungan air antara aiskrim dan gelato amat berbeza.
Ujarnya, aiskrim lebih banyak air membuatkan ia tidak cukup pekat selain banyak menggunakan bahan tambahan lain seperti lemak sawit, soya, lesitin soya dan bahan tiruan lain.
Manakala gelato di Krumba yang merupakan formula mereka sendiri, menggunakan krim dan buah asli bagi memastikan kualiti terbaik untuk pelanggannya selain mendidik mereka untuk menikmati pilihan makanan yang lebih menyihatkan.
“Formula gelato membuatkan ia lebih berkrim dan manis, serta halus kerana kandungan air dan udara yang kurang berbanding aiskrim,” terang Sabrina yang turut merancang membuka beberapa mini kafe Krumba di lokasi lain selain membuka peluang francais di sekitar Lembah Klang dalam waktu terdekat.
Terdapat enam jenis gelato yang berasaskan kelapa berbeza setiap hari seperti kelapa original, coklat, kopi, mangga dan nanas. Pelanggan turut diberi pilihan cara hidangan sama ada kon, cawan atau signatur istimewa yang dihidangkan di dalam tempurung kelapa.
Akhir sekali, mini kafe Krumba turut menyediakan pilihan air detoks yang masih berasaskan air kelapa.
Jika biasanya air detoks menggunakan air kosong untuk rendaman pelbagai buah-buahan segar, bezanya Krumba, mereka menggunakan air kelapa bersama madu membuatkan air detoks mereka lebih seronok dihabiskan.
Ujar Fiona, air kelapa itu sendiri sememangnya baik untuk penghadaman dan kesihatan, membuatkan ia campuran yang sesuai bagi mereka yang mementingkan kesihatan tubuh badan.
Antara pilihan air detoks yang disediakan ialah Oremon Vit C, Refreshing Rainforest, Citrus Power of Three dan Berry Mint.
Setiap jenis detoks mempunyai bahan dan fungsi tersendiri seperti tambahan tenaga dan proses pembuangan toksik.
No comments:
Post a Comment