Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa disebabkan Ramly Burger, makanan popular dari Barat itu dikenali dan sudah sebati dengan ‘tekak’ orang Melayu khususnya.
Kira-kira 40 tahun lalu tatkala orang keliling tidak percaya idea mempromosikan daging burger di negara ini kerana dikatakan bukan makanan orang Malaysia, seorang pemotong daging di sebuah kedai daging di Kuala Lumpur yakin dengan potensi makanan Barat itu.
Tekad mahu meneruskan idea itu disertakan dengan pengalaman hampir lima tahun dalam industri pemprosesan daging, akhirnya menjadikan Pengasas dan Pemilik Kumpulan Ramly, Datuk Ramly Mokni, 61, sebagai satu-satunya individu paling berjaya dalam industri itu.
Ketika ini dia mempunyai 450 vendor dan 25,000 gerai burger di 35 cawangan seluruh negara. Lebih mengujakan apabila kumpulan syarikatnya sedang dalam rancangan menyiapkan kilang memproses bernilai RM1 bilion di Taman Perindustrian Halal Hab di Pulau Indah, Klang, Selangor.
Kilang tersebut dijangka siap sepenuhnya pada 2017 dengan pengeluaran tiga kali ganda berbanding sekarang.
Menyorot perjalanan hidup anak petani kelahiran Tanjung Piandang, Parit Buntar, Perak itu, beliau berhijrah ke Sekinchan, Selangor, selepas dibawa abangnya berikutan kehidupan yang susah di kampung.
Bermula dengan bekerja sebagai buruh, Ramly kemudiannya mendapat kerja sebagai pemotong daging di Kuala Lumpur.
Beliau yang sejak kecil bercita-cita mahu menjadi seorang doktor, tidak dapat meneruskan pengajiannya kerana keluarga tidak mampu dan akhirnya ‘terjebak’ secara serius dalam bidang pemprosesan daging.
Pada awal penglibatan dalam perniagaan berkenaan, beliau hanya menjalankan perniagaan dengan isterinya, Datin Shala Siah Abdul Manap, selepas setahun mendirikan rumah tangga.
Keputusan itu diambil apabila melihat bekalan daging halal yang diproses untuk pasar raya rata-ratanya bukan milik orang Islam dan diragui status kehalalannya.
“Bermula daripada itu, saya mula mengusahakan pembuatan daging burger di rumah kami yang terletak di Flat Jalan Haji Hussien, Kampung Baru, bermodalkan RM2,000 tanpa sebarang mesin atau peralatan untuk membuat daging burger.
“Selepas berjaya menghasilkan kepingan burger sendiri, saya terus membuka gerai burger dan mula menjual daging burger siap dimasak dan mentah di semua gerai burger yang saya usahakan iaitu di sekitar Kampung Baru, Chow Kit, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut.
“Bermula daripada 200 keping, tempahan semakin meningkat sehingga 2,000 keping sehari. Bayangkan, isteri saya yang ditugaskan mencincang daging ketika itu bukan menggunakan mesin tetapi dengan pisau sahaja.
“Paling menyeronokkan, setiap kali ada perlawanan bola sepak di Stadium Merdeka, burger jenama Ramly pasti menjadi makanan wajib dibawa penonton masuk ke stadium kerana semua gerai yang ada di sekeliling stadium itu adalah milik rakan-rakan saya,” katanya ketika ditemui di kilang pemprosesan yang terletak di Taman Perindustrian Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Mukim Batu, Kuala Lumpur.
Lima prinsip kejayaan
Bergelar sebagai salah satu usahawan bumiputera yang paling berjaya dalam industri pemprosesan daging di negara ini, sedikit pun tidak menjadikan Ramly seorang yang meninggi diri, malah lelaki itu lebih gemar hidup dengan cara sederhana menyebabkan masyarakat tidak menyangka beliau adalah pemilik jenama tersohor itu.
Lebih melucukan, ramai peniaga burger yang menggunakan produk Ramly tidak mengenali siapa pemilik nama Ramly Mokni, malah sesetengah promoter di pasar raya sering mempromosikan produk dari jenama lain kepadanya.
“Saya memang tidak tonjolkan diri, mungkin sebab itu ramai orang tidak mengenali saya. Saya selalu membeli burger dengan peniaga yang menggunakan jenama kami, tetapi ada juga yang tidak mengenali saya dan buat tidak tahu sahaja dengan kehadiran saya.
“Namun, melihat produk saya sendiri laris tanpa ada orang mengenali siapa saya memberi kepuasan dan mendorong saya untuk menghasilkan lebih banyak produk-produk yang berkualiti,” katanya.
Berpegang kepada lima prinsip iaitu jujur, rajin, berusaha bersungguh-sungguh, membantu orang yang memerlukan dan membayar zakat, Ramly menitipkan pesanan buat usahawan-usahawan yang baharu berjinak dalam dunia perniagaan.
“Lima prinsip itu perlu untuk berjaya kerana walau kaya macam mana pun kita satu hari nanti, jika kita tidak berpegang teguh kepada prinsip tersebut, kita tidak akan bertahan dan nasihat itu juga saya berikan kepada anak-anak saya yang bakal mewarisi legasi Ramly nanti,” jelasnya yang mempunyai hobi memancing bersama isteri.
Jika dahulu ada yang tidak percaya hidangan burger mampu menjadi makanan yang akan digemari rakyat negara ini, nampaknya tanggapan mereka silap apabila jenama Ramly berjaya meletakkan makanan segera yang popular di jalanan itu sebagai makanan pertama yang dipilih selepas nasi.
Apa yang penting, usah menilai sesuatu produk itu sebelum mencubanya kerana siapa tahu orang Melayu tak selamanya menikmati belacan, mungkin sampai satu ketika mereka tidak lagi mengenal apa itu belacan kerana tekak terlalu biasa menelan keju bersama daging burger.
Cabaran dan kejayaan
Oleh sebab kapasiti pengeluaran produk terlalu tinggi, Ramly mengambil keputusan untuk meluaskan pengeluaran dan mewujudkan sebuah syarikat perusahaan tunggal, iaitu Ramly Burger Enterprises pada tahun 1980 dan memulakan operasi di kilang yang terletak di Kawasan Industri Bandar Tun Razak, Cheras.
Kemudian, tertubuh pula syarikat yang diberi nama Ramly Food Processing Sdn. Bhd. yang mempunyai beberapa anak syarikat, antaranya Ramly Food Marketing Sdn. Bhd., Mokni Ramly, Ramly Food Services Sdn. Bhd. Ramly Halal Mart Sdn. Bhd. dan Ramly Halal Kiosk Sdn. Bhd., bagi membantu pengeluaran jenama itu yang semakin mendapat permintaan.
Tidak hanya tertumpu kepada penghasilan daging burger, jenama itu berkembang pesat dengan menghasilkan pelbagai lagi produk makanan sejuk beku dan berasaskan daging, ayam dan hasil laut seperti nuget dan sosej.
Pun begitu, perjalanan perniagaan Ramly yang juga bapa kepada Siti Hayu, 35, Mohd. Zaharin, 34, Siti Hazura, 30, dan Siti Hazira, 22, bukanlah sentiasa cerah.
Ini kerana, syarikat yang diusahakan itu beberapa kali diduga dengan cabaran hebat dan paling yang tidak dapat dilupakan apabila produk yang dihasilkan didakwa tidak halal pada Disember 2011.
Insiden itu bukan sahaja memberi ujian hebat kepada Ramly, malah yang menyedihkan nasib pengedar, pemborong dan peniaga yang menggunakan jenama itu sebagai punca rezeki mereka kerana sudah pasti menjejaskan keseluruhan perusahaan yang diterajui oleh orang Islam.
“Memang saya akui isu tidak halal dalam produk Ramly merupakan dugaan yang sangat besar, namun saya percaya jika kita jujur dan mencari rezeki dengan halal, kita akan dilindungi Allah. Ini itu terbukti apabila isu berkenaan selesai dalam tempoh seminggu kerana produk Ramly selamat dan bersih.
“Sejujurnya saya sangat sedih apabila kejadian itu berlaku hanya disebabkan berita tanpa usul periksa. Apa yang lebih menyedihkan apabila ada segelintir peniaga yang menggunakan jenama Ramly terpaksa membuang produk-produk yang mereka miliki kerana pelanggan tidak mahu membelinya lagi,” jelas anak kelapan daripada 16 adik-beradik itu.