Saturday, December 26, 2015

RAHSIA KITCHEN-KUALA TERENGGANU


Ingin memesan chicken roulade, ayam disumbat keju serta cendawan dengan kentang putar dan brokoli? Atau lebih tertarik pada minuman istimewa ‘air drebar lori’, air jahak, iron man, candy crush, android kitkat, di samping black box.
Dengan berkunjung ke Rahsia Kitchen, anda mungkin boleh melupakan restoran barat lain yang terdapat di Kuala Terengganu. Ini kerana restoran berkenaan menyediakan sehingga 30 hidangan untuk dicuba dan dinikmati oleh para pengunjung.
Terbukti, pilihan yang dibuat untuk menjamu selera di restoran ini adalah tepat, apatah lagi setiap menu yang disajikan begitu membangkitkan selera.
Kelainan dirasai sebaik sahaja sajian dihidang dengan susun atur menarik sehinggakan ada yang berpendapat berada di lokasi ini bagaikan menikmati makan malam di hotel terkemuka.
Diusahakan oleh Hadi Che Abdullah sejak Mei 2011, restoran di Jalan Budiman, Batu Buruk ini dibuka dari pukul 5 petang hingga 11 malam dan merupakan antara destinasi makanan barat paling popular di bandar raya ini.
Menurut Chef Eksekutifnya, Taufiq Maryuti, semasa awal operasi, Rahsia Kitchen yang boleh memuatkan sehingga 70 pelanggan pada satu-satu masa itu hanya menyediakan empat hidangan iaitu mi bandung Muar, nasi ayam mentega, bebola daging Swedish dan spageti carbonara yang dinamakan ‘mi jahak’.
Bagaimanapun, katanya, bermula 2013 dengan imej baharu, jumlah senarai menu dipertingkat dengan penambahan pelbagai pilihan set salad; pasta termasuk spageti bolognaise, aglio olio, dan carbonara; hidangan utama seperti chicken chop, fish & chip, Chilean salmon fillet, Australian sirloin steak, braised lamb shank dan boneless lamb chop; kentang putar, sheperd pie bagi kudapan diikuti burger serta sandwic.
“Sambutan yang diterima amat menggalakkan terutama daripada mereka yang mementingkan suasana selesa dan layanan mesra. Dengan sistem pengurusan yang cekap serta latihan kepada setiap pekerja, kami yakin pelanggan berpuas hati setiap kali berkunjung ke sini.
“Boleh dikatakan kesemua hidangan digemari pelanggan kerana rasanya yang berbeza apabila dihasilkan mengikut cita rasa tempatan oleh lima chef berpengalaman. Selain makanan, tarikan lain di Rahsia Kitchen adalah nama minumannya yang pelik,” katanya kepada S2.
Taufiq berkata, kepuasan pelanggan merupakan keutamaan di Rahsia Kitchen dengan memastikan mutu hidangan pada tahap terbaik,menggunakan bahan-bahan mentah segar, ‘persembahan’ sajian yang menarik, di samping harga berpatutan iaitu antara RM4 hingga RM25 bagi makanan, manakala air pula dari RM1 hingga RM6.
Katanya, bermula bulan lalu, konsep ‘menu hari ini’ diperkenalkan yang terdiri daripada makaroni keju, kepala ikan salmon panggang dan lain-lain bagi memberi kelainan kepada pelanggan, di samping bercadang untuk menawarkan makanan laut pada tahun depan.
“Bagi satu-satu hidangan, chef mengambil masa antara 10 hingga 15 minit untuk memasak. Bagaimanapun, tempoh itu bertambah sedikit terutama pada waktu puncak dari pukul 8 malam hingga 10 malam kerana jumlah pelanggan yang ramai.
“Bagi yang pertama kali berkunjung ke sini, adakala tidak mengetahui operasi kami direhatkan seketika selama satu jam, dari pukul 7 malam hingga 8 malam. Rasionalnya adalah untuk menghormati waktu solat Maghrib,” katanya.
Taufiq memberitahu, Rahsia Kitchen turut menerima tempahan majlis-majlis keraian dan untuk maklumat lanjut, bolehlah hubungi talian 011-11880801.

Friday, December 18, 2015

ABAI SARAPAN CENDERUNG JADI GEMUK

SARAPAN merupakan waktu makan yang paling penting bagi setiap individu tanpa mengira peringkat umur. Ini kerana, sarapan membekalkan tubuh dengan segala nutrisi yang diperlukan sepanjang hari.
Malangnya, ramai yang tidak menyedari akan kepentingan bersarapan, malah sebahagian rakyat Malaysia tidak mengambil sarapan pagi sehingga menjadi satu trend dalam kalangan masyarakat.
Lebih membimbangkan kajian oleh Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) menunjukkan, kanak-kanak yang mengabaikan sarapan pagi adalah 1.34 kali lebih cenderung mengalami berat badan berlebihan atau obesiti, selain berhadapan masalah-masalah kesihatan yang lain.
Ini kerana, mereka yang tidak mengambil sarapan akan cenderung mengambil makanan berlemak seperti nasi lemak, nasi goreng, ayam goreng dan sebagainya, berbanding makanan yang lebih berkhasiat seperti bijian penuh.
Tabiat ini sekaligus meningkatkan masalah berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.
“Kanak-kanak yang berlebihan berat badan dan obes mempunyai kemungkinan besar untuk membesar menjadi individu dewasa yang obes.
“Keadaan ini sudah tentu membawa kepada peningkatan penyakit-penyakit kronik yang berkait rapat dengan tabiat pemakanan,” kata Dr. Tee E. Siong, Presiden NSM.
Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya pada majlis mengumumkan penemuan penting hasil Kajian Sarapan bagi Kanak-Kanak Sekolah (MyBreakfast), di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kajian yang bermula sejak 2013 oleh NSM dengan kerjasama Nestle itu, bertujuan mengkaji tabiat makan dalam kalangan kanak-kanak sekolah di Malaysia dalam usaha untuk meningkatkan tahap nutrisi mereka.
Kajian MyBreakfast membabitkan seramai 8,705 murid berusia antara enam hingga 17 tahun.
Dr. E. Siong berkata, hasil kajian juga menunjukkan bahawa satu daripada empat kanak-kanak mengabaikan sarapan sekurang-kurang tiga kali dalam seminggu.
“Seperti yang diketahui, sarapan penting kerana makanan pertama selepas perut kita ‘berpuasa’ selama lapan jam sebaik sahaja tidur.
“Sebagai makanan pertama, sarapan akan membekalkan tenaga dan khasiat untuk tubuh badan memulakan hari dengan lebih sempurna.
“Selain perlu bersarapan, makanan yang diambil juga perlu seimbang dan dalam kuantiti bersesuaian. Ini penting bagi mengatasi masalah kepincangan nutrisi dalam kalangan kanak-kanak di negara ini,” katanya yang turut menyatakan satu daripada empat kanak-kanak mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti.
Beliau menambah, kajian tersebut turut menunjukkan empat daripada lima kanak-kanak didapati tidak mengambil sebarang bijian penuh dalam diet mereka dan 99 peratus kanak-kanak juga tidak memenuhi saranan pengambilan bijian penuh harian, iaitu 48 gram sehari.
Katanya, tahap pengambilan bijirin penuh yang sangat rendah ini sangat membimbangkan kerana bijian penuh merupakan sumber vitamin dan mineral yang penting.
“Melalui kajian ini kita bukan sahaja memperoleh maklumat baharu, tetapi beberapa kajian sebelum ini juga telah menunjukkan bahawa pengambilan bijian penuh turut dikaitkan dengan penurunan risiko penyakit-penyakit kronik termasuk penyakit jantung, kencing manis, dan masalah obesiti.
Sementara itu, Pengurus Perniagaan Negara Nestle (Malaysia) Berhad, Nirmalah Thurai, pihaknya gembira menyokong kajian tersebut yang menyediakan pemahaman yang lebih mendalam terhadap rutin sarapan murid-murid sekolah di negara ini.
“Ini merupakan satu sumber berharga yang boleh membawa manfaat kepada semua pihak berkepentingan dan akhirnya membantu melahirkan kanak-kanak Malaysia yang bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan.
“Sebagai sebuah syarikat pemakanan global yang bertanggungjawab, Nestle komited untuk menjadikan sarapan lebih berkhasiat,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Dr. Zaharian Zainuddin berkata, kajian tersebut telah memberi pemahaman yang mendalam mengenai status pemakanan kanak-kanak Malaysia yang boleh digunakan untuk mengukuhkan perancangan dan pelaksanaan dasar.
“Hasil kajian ini menyediakan asas untuk semua pihak berkepentingan termasuk Kementerian Pendidikan dan pihak berkaitan yang lain untuk merancang serta melaksanakan program intervensi bagi menambah baik status berat badan, pengambilan makanan, dan tahap aktiviti fizikal murid-murid sekolah di negara ini.
“Melalui kajian ini juga secara tidak langsung kerajaan akan menjayakan program-program kesedaran mengenai amalan gaya hidup sihat dalam kalangan kanak-kanak sekolah,” ujarnya.
Yang pasti, program intervensi perlu segera dilaksanakan di seluruh negara dalam usaha untuk menangani masalah berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan murid-murid sekolah hari ini.
Tidak ketinggalan menangani masalah kekurangan pemakanan yang amat jelas sekali di samping menggalakkan tabiat pemakanan yang sihat dan perlu diberikan perhatian serius termasuk memastikan murid-murid sekolah mengamalkan pengambilan sarapan berkhasiat.

Monday, December 14, 2015

TUKAR GAYA HIDUP DEMI JANTUNG

PUNCA serangan jantung dalam golongan muda, menurut Dr. Haizal, 80 peratus disebabkan ateriosklerosis iaitu terdapat pengerasan dan penebalan dinding pembuluh darah koronari.
Sementara 20 peratus kes serangan jantung di kalangan muda mempunyai sebab lain seperti struktur saluran darah yang tidak normal yang biasanya berlaku sejak lahir dan apabila besar struktur saluran darah semakin tidak elok. Darah beku masuk ke bahagian salur darah yang sempit dan ada juga disebabkan masalah jenis darahnya sendiri yang senang pekat dan beku.
Selain itu ada juga berpunca akibat saluran darah mengecut secara tiba-tiba, contohnya mereka yang mengambil dadah secara berlebihan yang boleh menyebabkan kematian mengejut.
“Punca sebenar berlakunya serangan jantung tidak diketahui tetapi selalunya atas gabungan beberapa faktor seperti sejarah keluarga, gaya hidup tidak aktif dan merokok. Gabungan tiga faktor risiko itu akan menambahkan kemungkinan serangan kerana semakin banyak risiko, makin tinggi untuk mendapat serangan jantung.
“Jika orang tua, risiko usia merupakan faktor risiko yang ketara. Bagi golongan muda, gaya hidup merupakan penyumbang utama faktor risiko itu. Jika kita lihat kajian yang dilakukan, tahap kege­mukan dunia 2015 adalah dua kali ganda peratusnya berbanding 1980-an.
“Masih saya ingat jika di sekolah zaman dahulu, tidak ramai pelajar yang gemuk kerana masing-masing aktif bermain terutama pada waktu rehat dan habis sesi sekolah. Apabila obesiti berlaku dari kecil, mereka akan lebih cenderung menghidap penyakit kardiovaskular pada usia lebih muda kerana jika tidak bersenam, tahap kolesterol dan darah akan meningkat, ditambah pula dengan gaya hidup, pema­kanan dan merokok,” terangnya.
Simptom
Simptom penyakit jantung ini berbeza bagi setiap individu, ada yang merasainya berminggu-minggu sebelum serangan dan ada yang tidak merasa sebarang simptom sehinggalah mendapat serangan jantung.
Ujar Dr. Haizal, ramai yang kurang tahu simptom penyakit jantung malah salah faham simptom tersebut dengan penyakit yang lain. Simptom yang sering disalah-tafsir lalu menyebabkan tidak diambil berat ialah sakit di tengah bahagian abdomen kerana memikirkan sakit jantung adalah di bahagian kiri sahaja.
“Simptom yang selalu dikaitkan dengan jantung ialah sakit dada, kadang-kadang rasa ketat, berat atau tekanan di dada dan biasanya sakit bermula di bahagian tengah sebab jantung kita berada di tengah, bukan di kiri cuma hujungnya menghala sedikit kebahagian kiri dada.
“Ramai yang salah faham sakit di bahagian tengah dada yang sering disebut pedih ulu hati itu disebabkan perkara lain seperti gastrik dan angin lalu memilih untuk menjalani rawatan sendiri tanpa ke hospital. Ini semua berlaku kerana ramai yang memikirkan sakit jantung adalah apabila sakit di bahagian kiri dada sahaja.
“Simptom lain ialah sakit tersebut boleh merebak ke leher atau bahagian rahang dan juga ke lengan di sebelah kiri malah kadang-kadang di sebelah kanan. Selain itu, pesakit juga mungkin berasa peluh sejuk, pening dan susah bernafas.
“Namun tidak semua mengalami simptom yang sama kerana ada yang rasa sakit di bahagian tertentu sahaja seperti mungkin pada bahagian rahang dan lengan sahaja. Apa pun jika anda merasa kelainan dan ada simptom penyakit jantung, segera bertemu dengan doktor,” tegasnya.
Tambah Dr. Haizal, sesetengah pesakit yang ditemuinya tidak mendapat sebarang simptom langsung sebelum serangan membuatkan mereka keliru. Dr. Haizal menekankan kepentingan melakukan pemeriksaan kesihatan berkala bagi mereka yang berusia 30 tahun ke atas.
“Saya sarankan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala di klinik atau hospital bagi memeriksa paras kolesterol dan tekanan darah tinggi kerana kedua-dua ini tidak ada simptom dan tidak diketahui melainkan anda melakukan pemeriksaan.
“Tidak semestinya badan yang tidak gemuk itu sihat, mungkin paras kolestrol dan tekanan darah anda tinggi lalu boleh menyebabkan serangan jantung yang mengejut,” ujarnya.
Aspirin
“Sentiasa bersedia dengan ubat aspirin iaitu sejenis ubat mencairkan darah terutama bagi mereka yang berisiko mendapat serangan jantung. Berdasarkan kajian, ia dapat mengurangkan 20 hingga 25 peratus kematian akibat serangan jantung,” nasihat Dr. Haizal.
Perkara kedua yang perlu dilakukan ialah segera ke hospital untuk rawatan lanjut jika mengalami simptom serangan jantung, bukannya ke klinik kerana tiada apa yang boleh dilakukan di klinik jika mencapai keadaan tersebut.
Terangnya, teruslah ke bahagian kecemasan dan memberitahu simptom yang dihidapi ada kemungkinan serangan jantung, dan perhatian akan diberikan dengan segera. Rawatannya mungkin akan pesakit akan diberikan ubat bagi memecah gumpalan darah beku dan mungkin juga angiogram terus dilakukan, ujar Dr. Haizal.
Tambahnya, ilmu bantuan kecemasan asas terutama  rawatan awal pemulihan kardiopulmonari (CPR) amat penting bagi setiap individu kerana ia boleh menye­lamatkan nyawa jika berdepan dengan situasi ada ahli keluarga, rakan atau orang di sekeliling yang tiba-tiba tidak sedarkan diri akibat serangan jantung.
Ini kerana serangan jantung boleh menyebabkan maut dengan sekelip mata sahaja apabila jantung berhenti dan CPR mungkin boleh menyelamatkan nyawa mereka.

Sunday, December 13, 2015

RESTORAN MAHERAN LAKSA-KOTA BHARU

NEGERI Cik Siti Wan Kembang sememangnya terkenal dengan pelbagai makanan tradisional mereka yang sedap dan unik.
Laksa, laksam, nasi dagang, nasi kerabu dan nasi tumpang, antara yang diminati ramai. Begitu juga kuih-muih yang unik seperti jala mas, buah tanjung dan akok yang agak sukar untuk ditemukan di tempat lain.
Salah satu masakan yang menjadi kegemaran ramai ialah laksa Kelantan kuah santan yang dicampur dengan isi ikan dan lada hitam. Aromanya pasti membuka selera para penggemarnya. Justeru itu, Restoran Maheran Laksa yang terletak bersebelahan pusat beli-belah Tesco Kota Bharu menjadi lokasi terbaik untuk menikmati hidangan tersebut.
Keenakan kuah dan keaslian laksanya dengan menggunakan resipi warisan keluarga serta campuran sambal daging atau serunding dan telur tentu sekali menggamit selera pengunjung termasuk beberapa selebriti terkenal seperti Wak Doyok dan Amee kumpulan Forteen.
Pemilik Restoran Maheran Laksa, Maheran Muhammad, 49, yang mesra dengan panggilan Kak Ree berkata, perniagaan laksa itu bermula pada tahun 1984 yang diasaskan oleh ibunya dan bertapak di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu.
Menurutnya, pada masa itu, dia sudah membantu ibunya mengusahakan perniagaan tersebut dan laksa ibunya cukup terkenal dengan jualan sebanyak 1,000 sehingga 1,500 kilogram sehari.
Tambahnya, selepas mewarisi perniagaan itu pada tahun 1999, dia telah melebarkan sayap perniagaan dengan membuka sebuah restoran dan dibantu oleh suaminya, Mat Nasharuddin Mokhtar, 49.
“Alhamdulillah, perniagaan kami dapat sambutan yang amat baik daripada orang ramai. Ekoran sambutan baik itu, kami buka cawangan Restoran Maheran Laksa di Medan Usahawan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
“Saya amat menitikberatkan pembuatan laksa yang menggunakan beras asli dan kuah yang enak daripada ikan-ikan segar serta, santan berkualiti supaya kelazatannya terjamin,” katanya kepada S2 baru-baru ini.
Menurut Maheran, restorannya menawarkan harga berpatutan iaitu laksa biasa berharga RM3.50 dan laksa ‘special’ RM5.
Katanya, selain hidangan laksa, restorannya turut menyediakan pelbagai masakan panas.
Tambahnya, restoran yang dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi sehingga 12 tengah malam itu turut menyediakan khidmat tempahan untuk majlis-majlis keramaian.
“Bagi yang berada di sekitar Puchong, Kuala Lumpur boleh mendapatkan laksa kami di pasar malam Putra Perdana manakala di Kajang, di pasar malam Taman Delima,” ujarnya.
Orang ramai yang berminat membuat tempahan atau maklumat lanjut boleh menghubungi Kak Ree di talian 013-9952900 atau Mohd. Nazwan (013-2982828).

Saturday, December 5, 2015

LITTLE FAT DUCK-HIGHWAY GOURMET

LFD

KINI, trak bergerak mula menjadi  pilihan peniaga makanan. Trak kecil seakan menjadi medium alternatif memperkenalkan produk makanan masing-masing. Setiap satunya mempunyai cara paling unik dan harga berpatutan. Konsepnya,  pesan, bayar dan makan. Salah satu trak bergerak menjadi pilihan kami ialah LFD Highway Gourmet.

LFD Highway Gourmet hasil cetusan idea empat sahabat karib. Menurut Idel Ishak selaku wakil pemilik, LFD diwujudkan ke pasaran makanan Malaysia terutamanya di Lembah Klang bertujuan untuk memudahkan para pencinta makanan mendapatkan makanan yang sedap, mudah dan ekonomi dari segi harganya. Walaupun premis ini diniagakan tidak khusus dalam satu lokasi seperti premis kedai, namun para peminat LFD boleh mendapatkan lokasi terkini melalui penggunaan media masa seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain. Nak tahu di mana LFD kerap berada? Ayuh ke SS15 Subang. Terbaru, kunjungi cawangan berkonsepkan kedai, LFD Express Gourmet di One Utama, Damansara.

Konsep pesan, bayar dan makan menjadikan LFD popular di kalangan warga kota yang sentiasa sibuk. Setiap hari ia akan bergerak ke lokasi yang ditunggu-tunggu pembeli. Kebiasaannya pada waktu tengah hari LFD berada di lokasi pejabat. Harga yang ditawarkan amat berpatutan. Menu ala barat seperti spaghetti carbonara, bolognese, aglio alio dijual dengan harga RM5.00. Sup cendawan pula dengan harga RM4.00. Tidak dilupakan pemanis mulut, puding susu dengan harga RM3.00 sahaja.

Tuesday, December 1, 2015

PRETZ n BEANS-MONT KIARA

JIKA anda penggemar pretzel, kini anda boleh menikmati hidangan roti berpintal ini sepanjang hari dan disediakan segar hanya di Pretz n' Beanz. Selain menikmati keenakan pretzel yang dibakar segar, Pretz n' Beanz merupakan satu-satunya kafe yang menawarkan piza pretzel di Malaysia. Cetusan idea menghasilkan piza dari doh pretzel menjadi keunikan tersendiri di Pretz n' Beanz. 

Kafe yang terletak di tengah-tengah Mont Kiara ini turut menyediakan pelbagai pilihan kopi yang enak yang semestinya memenuhi cita rasa penggemar kopi sejati. Menariknya, setiap minggu mereka turut menawarkan hidangan istimewa dalam bentuk yang cukup menarik dengan tawaran harga terbaik.


Bercerita mengenai hidangan pretzel di Pretz n' Beanz, setiap doh diadun berbeza bagi menghasilkan adunan yang kekal lembut walau selepas dibakar. Simpulan pastri Jerman ini cukup dikenali, manis dan diisi dengan pelbagai perisa untuk melengkapi rupanya.

 
Antara pretzel yang mendapat tempat di kalangan penggemar Pretz n' Beanz ialah Piza Pretzel yang diuli menggunakan doh pretzel sebagai kerak, dibakar dengan api yang sederhana supaya ia kekal lembut. "Di Pretz n' Beanz, menjadi misi kami untuk menawarkan kopi terbaik dan juga makanan terbaik," jelas Pengarah Eksekutif Pretz n' Beanz, Cik Anna Chong.


Selain menikmati kopi enak yang diperbuat daripada biji kopi panggang artisan premium, dibancuh oleh 'barista' terlatih kafe ini pelanggan juga boleh menikmati pilihan hidangan menyelerakan. Bukan sahaja pretzel dibakar segar dan piza pretzel, Pretz n' Beanz juga menawarkan menu sarapan gaya continental, pasta, burger dan pilihan salad yang dibuat sejurus selepas pesanan diterima. Menu utama dibuat segar di dapur mereka, menjadikan hidangan yang menyelerakan tanpa sebarang bahan perisa tambahan. Apa tunggu lagi, jika pretzel dan kopi kegemaran anda, makan kafe ini wajib dikunjungi.