Sementara 20 peratus kes serangan jantung di kalangan muda mempunyai sebab lain seperti struktur saluran darah yang tidak normal yang biasanya berlaku sejak lahir dan apabila besar struktur saluran darah semakin tidak elok. Darah beku masuk ke bahagian salur darah yang sempit dan ada juga disebabkan masalah jenis darahnya sendiri yang senang pekat dan beku.
Selain itu ada juga berpunca akibat saluran darah mengecut secara tiba-tiba, contohnya mereka yang mengambil dadah secara berlebihan yang boleh menyebabkan kematian mengejut.
“Punca sebenar berlakunya serangan jantung tidak diketahui tetapi selalunya atas gabungan beberapa faktor seperti sejarah keluarga, gaya hidup tidak aktif dan merokok. Gabungan tiga faktor risiko itu akan menambahkan kemungkinan serangan kerana semakin banyak risiko, makin tinggi untuk mendapat serangan jantung.
“Jika orang tua, risiko usia merupakan faktor risiko yang ketara. Bagi golongan muda, gaya hidup merupakan penyumbang utama faktor risiko itu. Jika kita lihat kajian yang dilakukan, tahap kege­mukan dunia 2015 adalah dua kali ganda peratusnya berbanding 1980-an.
“Masih saya ingat jika di sekolah zaman dahulu, tidak ramai pelajar yang gemuk kerana masing-masing aktif bermain terutama pada waktu rehat dan habis sesi sekolah. Apabila obesiti berlaku dari kecil, mereka akan lebih cenderung menghidap penyakit kardiovaskular pada usia lebih muda kerana jika tidak bersenam, tahap kolesterol dan darah akan meningkat, ditambah pula dengan gaya hidup, pema­kanan dan merokok,” terangnya.
Simptom
Simptom penyakit jantung ini berbeza bagi setiap individu, ada yang merasainya berminggu-minggu sebelum serangan dan ada yang tidak merasa sebarang simptom sehinggalah mendapat serangan jantung.
Ujar Dr. Haizal, ramai yang kurang tahu simptom penyakit jantung malah salah faham simptom tersebut dengan penyakit yang lain. Simptom yang sering disalah-tafsir lalu menyebabkan tidak diambil berat ialah sakit di tengah bahagian abdomen kerana memikirkan sakit jantung adalah di bahagian kiri sahaja.
“Simptom yang selalu dikaitkan dengan jantung ialah sakit dada, kadang-kadang rasa ketat, berat atau tekanan di dada dan biasanya sakit bermula di bahagian tengah sebab jantung kita berada di tengah, bukan di kiri cuma hujungnya menghala sedikit kebahagian kiri dada.
“Ramai yang salah faham sakit di bahagian tengah dada yang sering disebut pedih ulu hati itu disebabkan perkara lain seperti gastrik dan angin lalu memilih untuk menjalani rawatan sendiri tanpa ke hospital. Ini semua berlaku kerana ramai yang memikirkan sakit jantung adalah apabila sakit di bahagian kiri dada sahaja.
“Simptom lain ialah sakit tersebut boleh merebak ke leher atau bahagian rahang dan juga ke lengan di sebelah kiri malah kadang-kadang di sebelah kanan. Selain itu, pesakit juga mungkin berasa peluh sejuk, pening dan susah bernafas.
“Namun tidak semua mengalami simptom yang sama kerana ada yang rasa sakit di bahagian tertentu sahaja seperti mungkin pada bahagian rahang dan lengan sahaja. Apa pun jika anda merasa kelainan dan ada simptom penyakit jantung, segera bertemu dengan doktor,” tegasnya.
Tambah Dr. Haizal, sesetengah pesakit yang ditemuinya tidak mendapat sebarang simptom langsung sebelum serangan membuatkan mereka keliru. Dr. Haizal menekankan kepentingan melakukan pemeriksaan kesihatan berkala bagi mereka yang berusia 30 tahun ke atas.
“Saya sarankan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala di klinik atau hospital bagi memeriksa paras kolesterol dan tekanan darah tinggi kerana kedua-dua ini tidak ada simptom dan tidak diketahui melainkan anda melakukan pemeriksaan.
“Tidak semestinya badan yang tidak gemuk itu sihat, mungkin paras kolestrol dan tekanan darah anda tinggi lalu boleh menyebabkan serangan jantung yang mengejut,” ujarnya.
Aspirin
“Sentiasa bersedia dengan ubat aspirin iaitu sejenis ubat mencairkan darah terutama bagi mereka yang berisiko mendapat serangan jantung. Berdasarkan kajian, ia dapat mengurangkan 20 hingga 25 peratus kematian akibat serangan jantung,” nasihat Dr. Haizal.
Perkara kedua yang perlu dilakukan ialah segera ke hospital untuk rawatan lanjut jika mengalami simptom serangan jantung, bukannya ke klinik kerana tiada apa yang boleh dilakukan di klinik jika mencapai keadaan tersebut.
Terangnya, teruslah ke bahagian kecemasan dan memberitahu simptom yang dihidapi ada kemungkinan serangan jantung, dan perhatian akan diberikan dengan segera. Rawatannya mungkin akan pesakit akan diberikan ubat bagi memecah gumpalan darah beku dan mungkin juga angiogram terus dilakukan, ujar Dr. Haizal.
Tambahnya, ilmu bantuan kecemasan asas terutama  rawatan awal pemulihan kardiopulmonari (CPR) amat penting bagi setiap individu kerana ia boleh menye­lamatkan nyawa jika berdepan dengan situasi ada ahli keluarga, rakan atau orang di sekeliling yang tiba-tiba tidak sedarkan diri akibat serangan jantung.
Ini kerana serangan jantung boleh menyebabkan maut dengan sekelip mata sahaja apabila jantung berhenti dan CPR mungkin boleh menyelamatkan nyawa mereka.