Bahan-bahan masakan yang sering digunakan seperti cili, serai, ketumbar, santan kelapa, rempah ratus dan sebagainya dilihat terus kekal hingga hari ini membuatkan rasa dan keenakan tidak banyak berubah.
Walau apa cara sekali pun, masakan Melayu tetap dilihat sebagai antara masakan yang unik dan enak dengan gabungan rasa manis, pedas, masin dan masam.
Untuk itu, pelbagai cara dilakukan bagi memartabatkan masakan Melayu agar terus dikenali termasuk bagi pengusaha Restoran Rumah Melaka, Fawziah Mohd. Kassim, 56, yang mengambil inisiatif mengetengahkan masakan Melayu terutama kepada pelancong yang datang ke Melaka.
Beliau yang juga pemilik syarikat katering berkata, sejak mengambil alih restoran
tersebut, beliau sering memikirkan jenis masakan yang bersesuaian dengan selera masyarakat di Melaka, selain mewujudkan persekitaran restoran yang selesa.
Selepas berbincang dengan suami dan ahli keluarga, Fawziah mengambil keputusan untuk mempromosikan masakan tradisional Melayu.
Antara juadah yang terdapat di Restoran Rumah Melaka adalah asam pedas yang merupakan identiti negeri Melaka iaitu asam pedas pari, kembung, cencaru, ayam dan yang menjadi pilihan ramai iaitu asam pedas tetel.
Resipi asam pedas yang disediakan adalah turun temurun yang diajar ibunya dan Fawziah mengekalkan bahan-bahan tersebut sehingga hari ini bagi mengekalkan rasa asli asam pedas tetel.
Restoran Rumah Melaka yang terletak di Bukit Katil, Melaka bukan sahaja dikunjungi oleh orang ramai tidak kira Melayu, Cina atau India, malah turut menerima kunjungan pelancong dari luar negara.
Senarai menu yang panjang dan pelbagai rupa serta rasa, sudah cukup menggamit selera.
Suasana dekorasi ala desa bagaikan memberi suasana santai yang cukup selesa untuk menjamu selera lantas mengimbau kenangan silam setiap kali katering ini diberi tugasan menyediakan makanan.
“Antara juadah yang mendapat permintaan tinggi di restoran ini adalah masak lemak siput sedut. Ramai pelanggan kami datang kerana ingin menikmati masakan ini. Ada di antara mereka akan membuat tempahan terlebih dahulu agar kehadiran mereka ke Restoran Rumah Melaka tidak sia-sia,” kata pengurus restoran Rumah Melaka itu.
Menurut Fawziah, asam pedas dan masak lemak siput sedut dijual panas-panas agar pelanggan rasa lebih berbaloi untuk menikmati masakan tersebut.
Katanya, restoran itu turut mengamalkan konsep layan diri di mana para pelanggan boleh menikmati makanan yang disediakan mengikut kuantiti dan kehendak mereka.
Tambah Fawziah, pihaknya turut menyediakan juadah lain seperti masak lemak nangka, masak lemak pucuk ubi, masak lemak pisang, ayam masak merah, ayam rendang, ayam kari dan lain-lain.
Di samping itu, dia turut menyediakan masak pindang ikan kembung, asam rebus dan masak lemak udang cili padi serta cencaluk, sambal belacan, air asam sambal kicap untuk dinikmati bersama juadah lain.
“Kami juga menyediakan makanan harian seperti ikan goreng berlada, masak lemak kobis, masak lemak cili padi, kari ikan, sambal tumis ikan bilis, gulai daging salai, gulai telur itik, patin tempoyak dan lain-lain.
“Pelanggan yang datang ke restoran Rumah Melaka untuk menikmati masakan tradisional Melayu dan mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang keturunan. Makanan Melayu ibarat platform untuk menyatukan rakyat negara yang berbilang kaum,” katanya.
Pelancong yang datang ke restoran ini boleh menikmati makanan tradisional Melayu dengan santai sambil menambah pengetahuan tentang jenis-jenis kayu yang terdapat di negara ini kerana bersebelahan Restoran Rumah Melaka terdapat bilik pameran Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).
Rumah Melaka akan menjadi pusat promosi dan pameran bagi produk-produk yang dihasilkan di Melaka. Ia dijangka mampu menjadi tumpuan pembeli-pembeli produk perkayuan dan perabot dari seluruh negara serta para pelancong domestik dan antarabangsa.
Menurut Fawziah, syarikat katering miliknya turut menjadi pilihan untuk pelbagai majlis.
Bermula daripada perniagaan makanan secara kecil-kecilan sejak tahun 1990, katering yang diusahakannya kini semakin dikenali khususnya di Melaka.
Restoran itu tidak putus menerima tempahan daripada pelanggan untuk majlis perkahwinan dan tempahan daripada Jabatan Ketua Menteri, Jabatan Imigresen, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Apa yang menarik, syarikat katering Fawziah menawarkan pakej serendah RM8 untuk majlis perkahwinan di sekitar negeri ini.
Pelanggan juga boleh memilih pelbagai pakej lain yang lebih berbaloi dan lengkap dengan harga bermula RM14 termasuk makanan, minuman, kelengkapan pinggan mangkuk, perkhidmatan kanopi dan sistem PA, kompang dan lain-lain bergantung kepada terma dan syarat.
Tambah Fawziah, bagi pakej perkahwinan dia menyediakan pelbagai pilihan makanan Melayu termasuk rendang, daging kurma, ayam percik, gulai nangka, kari daging tetel, rebung madu, kari ikan dan banyak lagi.
Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan Restoran Rumah Melaka boleh terus menghubungi talian 013-6005017 atau 019-6858111 atau boleh melayari Facebook Fawziahmohdkassim@yahoo.com serta istagram: fawziahweddingplanner.