APABILA berkunjung ke sesebuah kafe atau restoran, pasti pelanggan bukan sekadar ingin menikmati makanan atau minuman, tetapi suasana persekitaran selesa dan ideal juga diambil kira.
Jika anda kunjungi Stalkers Cafe di Kota Damansara, anda akan nikmati kedua-dua elemen yang dinyatakan itu. Ini kerana, kafe tersebut bukan hanya popular dengan makanan lazat, malah sering dikunjungi kerana keunikan dekorasi dan hiasan dalaman yang meliputi setiap ruang di dalamnya.
Pemiliknya, Shamin Ahmad berkata, Stalkers Cafe mengambil inspirasi perkataan stalk us yang tanpa disedari menjadi salah satu aktiviti popular di media sosial.
“Jika diamati, setiap daripada kita mempunyai akaun media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter. Dan tanpa disedari kita sering ikuti perkembangan sama ada selebriti atau pun individu yang kita minat dengan melihat akaun mereka. Secara tidak sedar, perlakuan itu seakan stalking orang lain.
“Bermula daripada idea itu, kami wujudkan suasana santai di kafe ini dengan dekorasi urban, sentimental dan selesa supaya pelanggan bukan sahaja boleh menikmati makanan yang sedap, malah merakamkan foto untuk dimuat naik ke dalam akaun media sosial mereka,” katanya.
Mungkin ramai tertanya-tanya, apa sebenarnya keunikan pada hiasan dalaman kafe ini. Pertama kali ke sini, tidak dinafikan penulis kagum dengan konsep ditampilkan yang menepati konsep kafe terkini, khususnya pada hiasan dinding yang direka berdasarkan minat mendalam pemilik terhadap seni lukis.
“Jika dilihat, setiap dimensi di dalam kafe ini ada kelainan dan keistimewaan tersendiri. Terdapat satu bahagian kami tampilkan lukisan dinding figura pelakon Hollywood terkenal seperti Audrey Hepburn, Marilyn Monroe dan karakter dalam filem The Godfather.
“Selain hiasan dalaman, kami juga menggalakkan pelanggan untuk santai di sini. Oleh kerana itu, kami sediakan permainan menarik seperti Monopoly, Scrabble, Saidina dan banyak lagi.
“Bagi yang memerlukan ruang lebih privasi untuk urusan kerja, kami turut menyediakan kemudahan perkhidmatan jalur lebar mudah alih (WiFi) untuk keselesaan mereka,” jelasnya.
Di kafe ini, makanan dan minuman yang disediakan juga ada keistimewaan tersendiri. Chefnya, Ahmad Hasrim Samsuri berkata, pelanggan boleh menikmati makanan barat dan minuman yang sesuai dengan cita rasa masyarakat tempatan.
“Antara menu signatur pilihan ramai adalah Godfather Sandwich yang bersaiz besar dan disediakan bersama daging atau ayam. Menarik tentang menu ini adalah sosnya diadun khas untuk menimbulkan rasa manis dan masam.
“Selain itu, para pelanggan disarankan mencuba menu salmon gril. Kami menggunakan ikan salmon segar yang dicampur bersama sos mentega dan lemon,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment