Restoran berkonsep bar mungkin bukan pilihan masyarakat beragama Islam kerana menu dihidangkan kadangkala kurang bersesuaian dengan cita rasa mereka.
Namun, pada masa kini, terdapat bar bercirikan mesra Muslim yang menghidangkan makanan halal dan bebas daripada minuman keras seperti bar Jibril (Jibril) yang beroperasi di SS15, Subang Jaya, Selangor.
Pertama kali berkunjung ke bar tersebut, penulis terpegun dengan persekitaran dan hiasan dalamannya yang klasik dan selesa. Menariknya, bar ini dibina secara tertutup menepati konsep speak easy yang banyak diketengahkan di negara-negara Barat.
Jibril diusahakan empat anak muda, Akmyr Ahmad Azwan Abdul Kadir, 23, Nurin Hasanah Abdul Rahim, 27, Muhammad Atiqurrahman Sulaiman, 26, dan Imran Sheik Muhamed, 26. Kesemua mereka bekerjasama dalam satu syarikat dinamakan Pronomy P.L.T.
Akmyr ketika ditemui .com memberitahu, Jibril dibina untuk memberi peluang kepada masyarakat Islam, khususnya generasi muda yang ingin merasai pengalaman bersantai di restoran berkonsepkan bar.
“Boleh dikatakan, Jibril adalah bar mesra Muslim pertama diwujudkan di Malaysia. Makanan dan minuman halal dihidangkan dan tiada minuman keras dijual,” katanya.
Bagi pengunjung, ciri-ciri utama diberi tumpuan ketika berkunjung ke premis makanan adalah hidangan bersih, menyelerakan dan murah. Di Jibril, pelbagai makanan dan minuman khususnya ala barat dihidangkan sempurna dengan harga berpatutan.
“Makanan tempatan juga dihidangkan seperti Pineapple Fried Rice dan Golden Singaporean Murtabak. Pada masa sama, pengunjung pasti tidak mahu lepaskan peluang menikmati menu istimewa iaitu Salted Egg Butter Chicken yang dijual pada harga RM14.50.
“Selain itu, minuman dihidangkan di sini adalah unik kerana tidak terdapat di restoran atau kafe lain. Contohnya, minuman Potter yang manis berkrim berharga RM7.50,” jelas Akmyr.
Bagi pengunjung yang berminat untuk mengenali bar ini boleh mengikuti laman Facebook rasminya www.facebook.com/jibril atau Twitter dan Instagram jibrilss15
No comments:
Post a Comment