Restoran makanan segera, kedai mamak dan kafe antara lokasi yang digemari remaja untuk melepak kerana makanan yang dijual tidak terlalu mahal dan persekitaran juga selesa. Selain minum-minum dan makan mereka juga boleh berwifi dan boleh menggunakan komputer riba untuk membuat tugasan.
Shazlira Hamzah, 35, semasa remajanya juga suka melepak di kafe-kafe sekitar ibu kota sambil menyiapkan tugasan dan bertukar-tukar nota dengan kawan-kawan.
Ini ujarnya bagi menghilangkan stres dan mendapatkan suasana yang berbeza untuk menyiapkan tugasan selain boleh dilakukan di bilik asrama, di dalam kelas dan sebagainya.
Zaman melepak bagi Shazlira telah pun berlalu, namun masih kukuh dalam kenangan. Justeru apabila hendak memilih nama untuk kafenya, dengan segera dia teringat tentang zaman lepaknya dahulu dan mungkin nama kafenya boleh dikaitkan dengan waktu itu.
Baru dibuka tiga bulan lalu di Bandar Baru Selayang (berhadapan dengan Stadium Majlis Perbandaran Selayang), asal pembukaan kafe ini kata Shazlira, adalah bagi mereka yang mencari tempat makan yang selesa dan moden untuk berjumpa kawan-kawan atau mahu mengadakan perbincangan.

Menurut bekas penerbit dan penyelaras di Grand Brilliance ini, semasa hendak membuka kafe ini dahulu dia ada bertanya kepada kawan-kawan nama yang sesuai hendak diberikan.
Kawan-kawannya lantas menyarankan supaya dia memberikan nama ‘Nota’ kerana sesuai dengan kafe tersebut yang santai, nama yang menarik dan mudah diingat.
Shazlira juga banyak membuat kajian mengenai konsep kafe dan makanan yang orang suka dengan pergi ke banyak kafe yang ada di Kuala Lumpur dan apa yang disukai penduduk di kawasan kejiranan tersebut.
“Dahulu saya suka melepak di Coffee Beans, Starbuck dan beberapa buah kafe lagi. Saya ambil sedikit idea dan persekitaran kafe-kafe yang ada dan terkenal di sini.
“Bagaimanapun idea keseluruhan adalah daripada suami dan saya sendiri. Bukan sahaja daripada soal hiasan dalaman malahan menu yang kami sediakan juga adalah gabungan makanan Barat dan Melayu serta fusion.
“Menu yang disediakan tidak terlalu banyak sesuai dengan saiz kafe ini. Terdapat sembilan menu utama. Makanan yang paling laris dan disukai oleh pelanggan ialah bebola daging lembu dan sos perang, Pasta oglio olio ayam panggang, Nasi goreng mentega Nota Noti (campuran makanan laut).

“Pelanggan yang menyukai makanan yang manis-manis pula boleh mencuba beberapa pilihan kek seperti kek lobak merah, kek coklat, kek keju mangga, penkek aiskrim skon serta makanan minum petang yang popular di Malaysia, iaitu keropok lekor.
“Kek-kek di sini saya buat sendiri dan diambil daripada kawan-kawan yang membuat kek di rumah. Paling disukai oleh pelanggan ialah kek keju mangga, butter scotch salted caramel dan blueberry cheese cake. Pelanggan sanggup datang dari jauh untuk makan kek ini. Harga untuk sepotong kek juga tidak mahal, di antara RM4 hingga RM15.
“Semuanya terdapat sebanyak 20 jenis makanan pencuci mulut yang disukai oleh semua peringkat umur pelanggan daripada dewasa hingga kanak-kanak.
“Bersama-sama dengan kakitangan di bahagian dapur, kami akan berbincang dan olah semula menu kesukaan ramai mengikut selera orang tempatan. Contohnya, bebola daging yang cukup disukai pelanggan ini kami tambahkan dengan salad dan jejari kentang goreng.
“Biasanya orang ramai akan pergi ke pasar raya perabot terkenal di Damansara untuk makan bebola daging tetapi kini mereka boleh menikmatinya di sini dan ada yang memberi komen rasa bebola daging di Nota lebih sedap,” kata Shazlira yang kini bertugas sebagai pensyarah sambilan di beberapa buah kolej dan universiti di ibu negara.
Tambahnya, menu yang baru diperkenalkan pula ialah pasta makanan laut pedas yang lemak berkrim. Rasa pasta ini sedikit pedas kerana dimasak bersama cili api, ditabur dengan serbuk cili dan dimakan bersama krim yang telah diolah.
Dia berkata, ramai pelanggan yang menyukai pasta pedas ini dan setelah berasa sekali mereka akan datang lagi kerana mungkin pasta yang dijual di restoran-restoran lain tidak pedas.

Jelas Shazlira lagi, ramai juga pelanggan yang berkeluarga datang ke kafe bersama anak-anak terutamanya pada hujung minggu.
Sambil ibu bapa menikmati makanan yang dipesan, anak-anak pula boleh bermain di pentas mainan yang disediakan di bahagian tepi dalam kafe. Banyak permainan yang disediakan dan mereka juga boleh mewarna dan melukis. Lukisan yang cantik ditampal ke dinding kafe bagi tontonan pelanggan.
Setelah anak-anak lapar, mereka boleh pula membuat pesanan menu untuk kanak-kanak seperti bebola daging, pasta dan nasi goreng dalam kuantiti kecil. Menu untuk kanak-kanak disediakan bersama jus dan pencuci mulut.
Kafe yang boleh memuatkan seramai 40 orang pelanggan pada satu masa ini dibuka setiap hari bermula pukul 12 tengah hari hingga 10 malam, kecuali Jumaat dibuka pada pukul 5 petang.
Kafe Nota turut menerima tempahan mengadakan majlis hari jadi, pelancaran produk, perjumpaan rakan lama dan sebagainya. Ingin lebih maklumat layari Facebook: notacafe.my.