BANNER KEMANGI
FACILITIES
Tuesday, September 18, 2012
IKAN MENTAH MELANAU
JIKA sudah mendarat di Bumi Kenyalang, rugi rasanya jika tidak mencuba kepelbagaian gastronomi yang ditawarkan oleh lebih 27 etnik di negeri itu.
Selain menikmati keenakan laksa sarawak dan mi kolok, dua sajian signatur yang popular di sana, apa kata anda mencuba pula hidangan etnik Melanau iaitu umai ikan empirang dan linut.
Namanya agak pelik namun usah gusar kerana hidangan ringkas ini rasanya cukup enak walaupun bagi yang pertama kali mencubanya.
Menurut beberapa penduduk tempatan yang ditemui, mereka mengesyorkan penulis untuk bertandang ke Restoran Barong Tinuk yang terletak di Jalan Semarak, Kuching, jika ingin menikmati keenakan makanan Melanau yang sebenar.
Beroperasi setiap hari bermula dari 9 pagi hingga 10.30 malam, pemiliknya, Hairiah Affendi, 49, memberitahu, umai merupakan menu popular di restorannya.
“Kalau di Semenanjung, hidangan ini tidak jauh bezanya dengan kerabu ikan. Makan umai seperti makan sushi kerana ia dihasilkan daripada ikan mentah.
“Bagi yang tidak pernah mencuba, usah risau. Ramuan umai itu sendiri akan ‘memasak’ isi ikan.
“Selain isi ikan, bahan utama yang digunakan ialah perahan jus limau kasturi, hirisan cili api, halia dan bawang besar. Tidak lupa, garam secukup rasa.
“Di Barong Tinuk, umai hanya akan disediakan mengikut pesanan. Sebaik sahaja pesanan sampai, barulah ikan dihiris nipis dan digaul bersama bahan-bahannya untuk rasa umai yang lebih segar dan sedap,” ujar Hairiah yang terdorong untuk membuka restoran tersebut gara-gara suaminya yang juga kaki pancing selalu membawa hasil tangkapan yang banyak sehingga tidak mampu disimpan lama di rumah.
Udang Salai
Biasa dimakan secara beramai-ramai dan dihidangkan di dalam mangkuk besar, umai boleh dimakan terus ataupun dijadikan lauk dan dimakan bersama nasi.
Selain umai, jangan lupa untuk mencuba linut yang begitu mudah dimasak tetapi memerlukan teknik mengadun yang betul.
“Untuk membuat linut, saya hanya menjiruskan air panas secara perlahan-lahan ke dalam besen yang diisi dengan sagu mentah.
“Jirusan air dan gaulan yang pantas dilakukan dengan serentak agar adunan tersebut lebih sempurna.
“Di sini, linut dihidangkan bersama kuah sambal belacan namun pelanggan masih boleh menambah lauk-pauk sampingan seperti midin goreng ataupun terung Iban.
“Linut perlu dimakan panas-panas, barulah sedap,” ujar Zaki, anak lelaki Hairiah, sambil menghulurkan sepinggan nasi goreng dabai kepada kami.
Menarik tentang nasi goreng ini, warnanya yang seakan-akan nasi dagang Kelantan itu dimasak tanpa menggunakan garam.
“Kami gunakan buah dabai yang sudah dijeruk sebagai perasa untuk nasi goreng ini. Warna nasi itu juga bukanlah pewarna tiruan sebaliknya warna yang terhasil daripada buah dabai itu sendiri,” ujar Zaki.
Buah dabai merupakan antara buah-buahan tropika yang hanya terdapat di Borneo, khususnya Sarawak.
Warna kulitnya yang ungu kehitaman memiliki isi kuning yang keras dan cukup lemak rasanya. Dek kerana rupa fizikalnya itu, dabai juga dikenali sebagai buah zaitun Borneo.
Jika inginkan manisan ataupun makanan ringan masyarakat Melanau, restoran keluarga ini turut menyediakan aneka kudapan.
Antaranya, sesar unjur atau udang salai yang dimakan bersama biji sagu.
“Kami akan salai udang hingga betul-betul kering menggunakan kayu bakau bagi mendapatkan aroma yang wangi.
“Harganya sedikit mahal memandangkan cara pembuatannya tidak mudah. Bayangkan, untuk mendapatkan sekilogram (kg) udang salai, kami perlu menyalai 12kg udang,” kata Zaki.
Pengunjung juga boleh mencuba gula batu apong, biskut lada putih atau tumpik, sejenis lempeng yang diperbuat daripada tepung sagu.
Labels:
MAKAN SPOT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment