BANNER KEMANGI
FACILITIES
Wednesday, September 16, 2015
HOT NASI AYAM KUKUS-MELAKA
DALAM keadaan ekonomi tidak menentu masa kini, masih ada peniaga makanan tidak mengambil kesempatan sebaliknya menawarkan nasi kukus berserta ayam goreng berempah dan sayur, hanya pada harga RM4.
Pembukaan Hot Nasi Kukus yang terletak di Jalan Graha Maju, Melaka, sejak dua bulan lalu, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai, khususnya pelajar institut pengajian tinggi awam di kawasan berkenaan menikmati makanan pada harga mampu bayar.
Pengurus kedai berkenaan, Shaharuddin Ibrahim, 53, berkata sebagai peniaga bukan saja perlu memikirkan kualiti makanan dihidangkan, malah perlu mengambil kira harga makanan yang dijual sama ada ia mampu dibayar pengguna ataupun tidak.
Menurutnya, bukan tidak mendapat untung sekiranya makanan dijual pada harga rendah, tetapi perlu beranggapan ia dapat memberi keuntungan kepada dua belah pihak.
“Kami menganggap jualan ini sebahagian daripada sedekah kepada pelanggan. Memandangkan 80 peratus pelanggan kami ialah pelajar, tidak salah mengenakan harga mengikut kemampuan mereka.
“Harga ditawarkan kami sudah cukup berpatutan dengan seketul ayam agak besar, nasi dan sayur ia sudah cukup mengenyangkan untuk sama ada sarapan pagi, makan tengah hari atau lewat petang,” katanya.
Shahruddin berkata, premis yang dibuka bermula jam 9.30 pagi hingga 6.30 petang itu hanya menawarkan nasi kukus bersama ayam goreng berempah serta pelbagai minuman.
Menurutnya, setakat ini pelanggan memberikan pelbagai reaksi positif terhadap makanan dijual termasuk harga ditawarkan kepada mereka.
“Jika di congak secara kasar, kami menawarkan harga berpatutan dengan nilai yang akan dibayar pelanggan kerana mengikut harga semasa ketika ini ayam goreng saja dijual di antara RM3.50 dan RM5.
“Cukup berbaloi menikmati juadah disediakan kami bersama sayur dan dua sos bercili untuk nasi dan ayam yang pasti membuka selera sesiapa saja,” katanya.
Katanya, harga jualan ditawarkan sebenarnya bukan saja untuk kebaikan pelanggan, tetapi mencerminkan di negeri ini masih ada makanan yang murah bagi tujuan menjadi buah mulut pelancong yang datang ke negeri ini.
“Apabila ada pelanggan dari luar datang ke sini, mereka pasti akan bercerita mengenai harga yang ditawarkan kami. Kebetulan Melaka ialah negeri pelancongan tidak salah kita membantu kerajaan negeri untuk meningkatkan sektor itu.
“Saya ada pelanggan tetap seorang guru yang sering membawa rombongan dari utara ke negeri ini dan dia pasti membawa kumpulannya datang ke premis kami kerana memberitahu harga ditawarkan kami murah,” katanya.
Labels:
MAKAN SPOT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment