BANNER KEMANGI
FACILITIES
Friday, November 20, 2015
MOTO GARAGE CAFE-DENGKIL
INGINKAN kepelbagaian makanan dengan hidangan pencuci mulut yang enak? Mungkin Moto Garage Cafe atau (MG Cafe) yang terletak di Jalan Putra Perdana 2/1, Taman Putra Perdana, Dengkil ada jawapannya.
Menyediakan masakan panas dengan resipi hasil air tangan pemiliknya sendiri, bukan sahaja makan di kedai, pelanggan juga boleh membuat tempahan dan ia akan dihantar terus melalui perkhidmatan penghantaran yang disediakan.
Pemiliknya, Mohamad Nizam Mohamad Ghaus, 38, berkata, antara menu yang sering menjadi tempahan pelanggan termasuk Nasi Goreng MG, ais krim kelapa, nasi kerabu dan mi celup.
Bagi nasi kerabu, pelanggan boleh memilih dihidang bersama ayam berempah, ayam kampung goreng atau daging bakar.
Mi celup yang ditawarkan di MG Cafe pula adalah resipi isterinya, Samihah Pa’adek, 34, yang mempelajari menu itu daripada ibu mertua serta kakak ipar yang merupakan bekas tukang masak istana.
Katanya, kebanyakan bahan-bahan ‘diimport’ dari Kelantan.
“Selain masakan panas, kami juga menawarkan hidangan pencuci mulut istimewa ‘brownies ice cream’, ‘coconut shake’ dan ais krim kelapa,” katanya.
Bekas pelajar Diploma Jurusan Pengurusan Hotel Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini berkata, kepuasan makanan menjadi keutamaannya dalam perniagaan yang dikongsi bersama rakannya, Azizul Abdullah, 39.
"Prinsip saya apa yang dimasak di kedai mesti sedap, sama macam nak makan di rumah," katanya.
Dibuka sejak sebulan lalu, premis beroperasi dari jam 9.30 pagi hingga 11 malam ini menawarkan harga sederhana.
Bagi kawasan Putra Perdana, perkhidmatan penghantaran ditawar percuma manakala kawasan lain dicaj mengikut jarak lokasi, paling jauh perkhidmatan ditawar hingga ke Putrajaya.
“Kita ada sediakan ‘big screen’ bila musim bola. Segelintir pengunjung mulanya takut masuk ke dalam kedai sebab ingat ia hanya untuk penunggang motosikal berkuasa tinggi, tetapi sebenarnya ia terbuka kepada semua pelanggan," katanya.
Labels:
MAKAN SPOT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment