BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, September 2, 2015

KTMB LANCAR TREN EKSPRESS JB-HATYAI

Edzuar Zar Ayob Azari (tiga dari kanan) membunyikan  loceng tanda
JOHOR BAHRU 1 Sept. – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan perkhidmatan ba­haru iaitu Tren Ekspres Peninsular mulai hari ini bersempena dengan penstrukturan jadual waktu bagi perkhidmatan tren antara bandar dan perkhidmatan tren elektrik (ETS).
Presidennya, Lt. Kol. (B) Sarbini Tijan berkata, Tren Ekspres Peninsular itu akan bermula dari Johor Bahru hingga ke Hatyai dengan melalui 34 buah stesen, kecuali stesen Bukit Mertajam dan Stesen Butterworth.
Beliau berkata, Peninsular mengambil nama daripada perkataan asal Semenanjung Malaysia kerana perkhidmatan tren itu merentasi negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia.
“Tren Ekspres Peninsular menawarkan perkhidmatan sebanyak dua kali sehari iaitu bermula di Stesen JB Sentral pada pukul 5 petang dan tiba di Stesen Hatyai pada pukul 11.40 pagi keesokan harinya.
“Sementara itu bagi perjalanan dari Stesen Hat Yai pula, ia bermula 6.45 petang dan dijangka tiba di Stesen JB Sentral pada pukul 4.25 petang keesokan harinya,” katanya kepada pemberita sempena Prapelancaran laluan berkenaan di sini hari ini.
Majlis pelepasan tren laluan berkenaan disempurnakan oleh Pengarah Tourism Malaysia Johor, Edzuar Zar Ayob Azari dan turut dihadiri Pengurus Kanan Pemasaran KTMB Antara Bandar, Mohd. Noordin Kimi.
Menurut Sarbini, Tren Ekspres Peninsular mampu menampung jumlah penumpang antara 600 hingga 1,000 di dalam 10 koc yang selesa dan canggih.
Tambahnya, KTMB menjangka perkhidmatan itu mendapat sam­butan yang baik daripada pelanggan domestik serta pelancong asing yang ingin melihat keindahan alam semula jadi negara di sepanjang perjalanan.
“Dengan pengenalan tren berke­naan, ia dijangka memberi impak positif kepada pelancongan negara. Tiket bagi laluan berkenaan ialah RM100 dan sangat berpatut­an,” katanya.

Monday, August 31, 2015

KAYANGAN GRILL BBQ: SEKSYEN 13 SHAH ALAM

MELIHAT kepada namanya, pasti ramai yang beranggapan restoran ini hanya menyediakan makanan berkonsepkan gril, stimbot, BBQ dan buffet. Tetapi yang menjadi kelainan dan membuatkan Restoran D’ Kayangan Grill BBQ Steamboat Buffet ini istimewa adalah kambing panggangnya yang turut disenaraikan dalam menu buffet dan dihidangkan pada setiap hari.
Beroperasi untuk setiap hari dari 5 petang hingga 2 pagi, harga yang ditawarkan adalah hanya RM35 bagi dewasa dan RM18 bagi kanak-kanak yang berusia 5 hingga 12 tahun.
Keistimewaan yang terdapat di restoran ini ialah setiap sos dan juga bahan-bahan perapan yang digunakan adalah hasil daripada air tangan chefnya sendiri iaitu Chef Shanizam. Beliau mempunyai pengalaman selama lebih 15 tahun dalam bidang perhotelan dan kulinari bertaraf antarabangsa.
Menu kambing panggangnya menjadi sebutan bagi pengunjung-pengunjung setia restoran ini kerana bahan-bahan utama perapan yang digunakan adalah berkualiti tinggi, rempah ratus asli dan ia diperap semalaman bagi menaikan lagi perasa dan aroma daging kambing tersebut. Daging kambing ini dipanggang menggunakan arang BBQ yang mampu membangkitkan lagi aroma dan rasa kambing panggang tersebut.
Yang menariknya lagi, daging kambing ini disediakan bersama-sama sos lada hitam dan sos cendawan, resepi yang disediakan khas oleh Chef bagi menambahkan lagi kelazatan daging kambing panggang tersebut.
Pengunjung juga sangat berpuas hati dengan cara mereka memanggang daging kambing secara terbuka kerana pengunjung boleh melihat sendiri tahap kebersihan yang diterapkan oleh Chef dan keharuman daging kambing panggang tersebut di hadapan mereka.
Dengan penyediaannya yang begitu rumit, pengunjung boleh menikmati menu kambing panggang ini tanpa sebarang caj tambahan. Ini bermakna hanya membayar dengan harga serendah RM35, anda dapat menikmatinya secara buffet.
Antara keistimewaan yang lain pula, restoran ini menyediakan gril perapan istimewa ayam, daging, udang, sosej, ketam, ikan dan sotong. Antara menu untuk gril yang disediakan adalah seperti Chicken Mozza, Chicken Castello, The Toretto Meat, Cappucino Meat, The Krusty Crab, Super Prawn, Squidward, Keli Yolanda, Dory Drive, Patin Annabel, Pari Perry, Buggati Pedal, Sausage Mocca dan macam-macam lagi.
Bagi stimbot pula, pengunjung diberi pilihan antara sup ayam atau tomyam sebagai kuah rebusan untuk mereka nikmati bersama-sama aneka makanan laut yang segar-segar. Pilihan yang tersedia tentunya udang besar, ketam, kupang, kepah, kerang, sotong, isi ikan, bamboo lala dan banyak lagi.
Pelbagai bebola, sayur-sayuran, aneka mi dan juga fucuk turut disediakan untuk pilihan pelanggan. Lebih enak jika dimakan bersama pelbagai sos yang dibuat sendiri oleh chef seperti sos cili pedas, sos cili Thai, sos manis, sos bawang putih, sos lada hitam, sos Yong Tau Foo dan macam-macam lagi.
Selain itu, pelbagai masakan panas turut disediakan seperti nasi lemak, mi goreng, kueytiau goreng dan bihun goreng. Masakan panas ini turut dihidangkan bersama lauk seperti rendang ayam, ayam lada hitam, ayam masak kari, ayam masak merah, kerutub daging, daging rendang dan macam-macam lagi yang disediakan mengikut hari.
D’Kayangan Grill BBQ Steamboat Buffet menawarkan lebih 200 jenis hidangan bagi pengunjung setiap hari. Mempunyai ruang makan yang santai, restoran ini boleh menampung sehingga 400 orang dalam satu masa iaitu seramai 180 orang di bahagian berpenyaman udara dan 220 orang di bahagian ruang terbuka. Terdapat juga kemudahan seperti surau perempuan dan lelaki yang selesa dan juga tempat letak kereta yang luas.
Untuk mengetahui lebih lanjut dan mendapat info mengenai restoran ini, boleh layari laman Facebook di https://ms-my.facebook.com/pages/Steamboat-BBQ-Buffet-DKayangan/203237499742318 dan laman Instagram @dkayangansteamboat dan twitter @dkygnsteamboat. Anda boleh berkunjung ke restoran ini yang bertempat di No 1, Apartment Servis Sri Acapella, Jalan Lompat Tinggi 13/33, Seksyen 13, Shah Alam.
Para pengunjung juga boleh membuat tempahan terus di restoran dengan menghubungi talian 012-2971091 / 012-5335119/ 03-55125091.

Saturday, August 29, 2015

COFFEE COTTAGE CAT CAFE: SS15 SUBANG JAYA

KONSEP yang ideal dan unik merupakan tarikan utama kepada orang ramai untuk berkunjung ke sesebuah kafe. Di negara kita, perniagaan kafe dengan idea baharu dan unik semakin banyak diwujudkan untuk memberi lebih pilihan kepada orang ramai.
Bagi penggemar haiwan peliharaan seperti kucing, konsep kafe yang menampilkan suasana santai bersama haiwan tersebut mungkin satu idea baharu dan menggembirakan. Di sekitar Lembah Kelang sahaja, sudah terdapat dua perniagaan kafe yang membolehkan pengunjung menjamu selera dan dalam masa sama bermain dengan kucing.
Coffee Cottage Cat Cafe yang beroperasi di SS15 Subang Jaya mempunyai kelainan tersendiri. Selain menempatkan kucing-kucing yang comel, kafe ini menyediakan makanan dan minuman yang cukup menyelerakan dan istimewa.
Pengusahanya, Ryan Leong Kwong, memberitahu perusahaan kafe kucing ini merupakan buah fikiran yang tercipta semasa rangka lawatannya ke negara matahari terbit beberapa tahun lalu. Katanya, dia cukup tertarik dengan konsep tersebut yang cukup popular dalam kalangan masyarakat Jepun.
“Semasa berkunjung ke sebuah kafe kucing di Jepun, saya amat tertarik dengan suasananya yang membolehkan pelanggan bermesra dengan kucing-kucing yang ditempatkan di situ sambil menjamu selera. Sebagai penggemar kucing, idea tersebut cukup mengujakan.
“Sekembalinya ke Malaysia, saya terus berjumpa rakan kongsi perniagaan untuk berbincang bagi mewujudkan kafe seumpama itu di sekitar ibu kota. Ternyata, idea tersebut diterima baik dan cukup ideal.
“Dengan kemahiran dan pengalaman yang saya ada dalam mengendalikan perniagaan haiwan peliharaan selama 10 tahun, saya bawakan idea ini dan gabungkan dengan kebolehan rakan kongsi saya yang sememangnya arif dalam bisnes makanan dan minuman,” katanya.
Tidak seperti kafe kucing yang lain, Coffee Cottage Cat Cafe yang sudah beroperasi selama setahun lebih ini mempunyai kelainan dan keunikan tersendiri, baik dari sudut rekaan dalaman sehingga makanan serta minuman yang disediakan.
Menurut Ryan, dia ingin memberi keselesaan kepada semua pengunjung yang mempunyai minat dan kegemaran berbeza. Oleh kerana itu, konsep seni bina yang ditampilkan masih mengekalkan identiti dan konsep asal tetapi tidak mengabaikan keselesaan pengunjung pelbagai latar agama dan bangsa.
“Kafe ini terbahagi kepada dua ruang di mana terdapat ruang khas dengan konsep asas sesebuah kafe dan pada masa sama terdapat ruang lain yang menempatkan kucing-kucing untuk bermain. Ini memberi keselesaan kepada pengunjung yang bukan semua gemarkan kucing.
“Jika pengunjung ingin bermain dengan kucing, mereka boleh masuk ke ruang khas tersebut. Kepada yang hanya ingin makan dan minum sambil menikmati suasana sekeliling tanpa dikerumuni kucing, mereka boleh bersantai di ruang utama kafe sambil menikmati suasana cukup menenangkan,” jelasnya.
Antara menu yang dihidangkan di kafe itu adalah spageti, lasagna, sup dan croissant Perancis serta banyak lagi.
Dalam pada itu, mereka yang ingin menghilangkan tekanan kerja atau mahu bermain bersama kucing-kucing yang comel, bolehlah singgah di Coffee Cottage Cat Cafe yang dibuka setiap hari bermula pukul 1.00 petang sehingga 11.00 malam. Selain itu, mereka yang berminat untuk menganjurkan majlis-majlis khas di kafe tersebut boleh membuat pertanyaan di talian 03-5613-0078

RESTORAN TRIBAL STOVE: KUCHING SARAWAK

Bagi mereka yang pertama kali datang ke Sarawak sudah tentu tidak sah kedatangan jika tidak mencuba makanan masyarakat tempatan di Bumi Kenyalang ini. Adalah ‘wajib’ bagi orang luar menikmati makanan tradisional Sarawak sepanjang berada di negeri ini.
Antara tempat makan yang boleh disinggahi bagi tujuan tersebut adalah Restoran Tribal Stove yang terletak di Kuching, Sarawak. Restoran itu menyajikan makanan tradisional masyarakat Kelabit atau Orang Ulu. Namun begitu, menu popular milik negeri Sarawak yang lain seperti umai, ayam pansuh iaitu ayam yang dimasak di dalam buluh turut ditawarkan kepada pelanggan.
Restoran ini juga masih mengekalkan cara dan masakan masyarakat Kelabit dengan hanya menggunakan garam bukit dalam kesemua masakan tanpa bahan perasa, monosodium glutamat (MSG).
Menurut pemiliknya, Esther Balan-Gala, restoran tersebut telah beroperasi kira-kira lima tahun lalu dan mendapat sambutan baik terutama daripada mereka yang mahu merasai keenakan masakan tradisional orang Sarawak.
Katanya, restoran itu boleh menampung lebih kurang 60 orang dalam satu-satu masa.
“Masakan yang disediakan hanya dimasak apabila diminta pelanggan. Jadi, proses penyediaannya akan mengambil masa sedikit. Cara ini dilakukan bagi memastikan kesegaran juadah yang diminta.
“Antara makanan yang menjadi pilihan ramai adalah Nubaq Layaq (nasi yang dilenyek) yang dimakan dengan sayuran dan Udung Ubih (daun ubi kayu) bersama A'beng (ikan tidak bertulang),” katanya.
Tambahnya, para pelanggan boleh memakannya dengan menggunakan tangan iaitu cara biasa masyarakat di sini menikmati makanan atau menggunakan sudu dan garfu.
“Kami juga menggunakan beras bario merah dan putih mengikut pilihan pelanggan. Masakan masyarakat Kelabit mengutamakan kesihatan, jadi kami banyak menggunakan sayur-sayuran. Justeru, menu ini boleh dimakan oleh golongan yang mengamalkan diet sayur yang ketat,” jelasnya.
Beliau berkata, pihaknya juga menyediakan set juadah dengan empat pilihan utama iaitu Labo Senutuq (serunding daging), A'beng (ikan tidak berulang), Labo La'al Senutung (ayam dalam buluh) dan Kari Buaq Kabar bersama sup, pilihan nasi stim beras bario merah atau putih atau Nubaq Layaq yang mengandungi dua jenis masakan sayur serta air teh kayu manis lemon (sejuk/panas).
“Selain itu, kami juga menerima tempahan bagi bufet dan majlis keramaian dengan caj RM25 seorang termasuk pencuci mulut,” katanya.
Sementara itu, Esther memberitahu, pada tahun ini mereka ‘dikejutkan’ dengan pengiktirafan yang diterima daripada laman pelancongan, TripAdvisor.
“Kami tidak mengetahui pun bahawa restoran ini telah dinilai dan menjadi topik perbualan pelancong asing.
Mengakhiri pertemuan, Esther memberitahu, beliau juga ada merancang untuk menjadikan francais restoran ini pada masa hadapan, namun perlu menumpukan kepada juadah yang popular.
“Saya mahu memastikan bahan-bahan mentah bagi masakan tradisional ini dapat disediakan di tempat lain kerana ada sesetengah bahan mentah adalah bermusim,” katanya.

Tuesday, August 25, 2015

RESTORAN BISIK-BISIK-SEKSYEN 7 SHAH ALAM



Restoran Bisik-Bisik yang menawarkan menu istimewanya, mi bandung udang galah yakin pelanggan yang menikmati variasi mi bandung Muar di situ puas hati dengan apa yang terhidang.

Menggunakan pes (perencah) buatan sendiri yang mengandungi pelbagai ramuan serta rasa pedas, manis, lemak, masin dengan aroma yang mendatangkan selera kepada peminatnya, tentunya mi bandung di Restoran Bisik-Bisik akan menjadi bualan ramai.

Udang galah pengikat selera

Bisik-bisik hanya hidang makanan yang terbaik untuk pelanggan setia

Hidangan yang masih panas itu menandakan ia baru sahaja dimasak. Kecur air liur dibuatnya pabila diberi peluang mencuba sendiri keenakan mi bandung udang galah di Restoran Bisik-Bisik.

Udang galah yang bersaiz XXL mengejutkan penulis. Begitu besar dan sangat sedap bila dimakan. Memang meletoplah makanan yang dihidangkan.

Pemilik Bisik-Bisik, Norhaliza Md Yusof, 31 berkata, mi bandung udang galah adalah menu istimewa yang ada di restoran ini. Terdapat dua set mi bandung udang galah yang boleh dipilih pelanggan, set pertama berharga RM29.90 (gred A) dan set kedua RM15.90 (gred B).

Gred A merujuk kepada berat udang galah sekitar 300 - 400 gram untuk seekor manakala gred B sekitar 200 - 250 gram seekor.

Norhaliza berkata, kelazatan mi bandung udang galah ini bukan sahaja terletak pada makanan laut itu sahaja tetapi rasa kuahnya yang pekat, pedas dan manis.

"Kita guna pes (perencah) yang dibuat sendiri untuk hasilkan kuah mi bandung ini. Bahan-bahan seperti cili, udang kering, bawang besar, bawang putih, kacang tanah, gula dan garam digunakan untuk buat pes. Setakat ini, sambutan cukup meriah dan ramai pelanggan yang menyukai kuah pekat yang Bisik-Bisik hasilkan,"
katanya kepada Citra.

Mi bandung ketam berharga RM15 sepinggan juga turut menarik perhatian pelanggan bila berkunjung ke Bisik-Bisik. Turut menggunakan kuah yang sama seperti mi bandung udang galah, mi bandung ketam memang mencuri tumpuan juga.

Uniknya lagi, variasi mi bandung di Restoran Bisik-Bisik menggunakan mi yang dihasilkan sendiri oleh seorang bumiputera dari Kampung Jawa, Klang.

"Beliau seorang yang pakar dalam bab pembuatan mi kuning ini. Saya tempah hampir 50 kilo sehari dengannya. Memang mi kuning dia cukup berkualiti dan bermutu tinggi.

Mungkin dek kualiti tersebut, mi bandung di Bisik-Bisik jadi siulan," ujarnya dengan menambah mi bandung Muar RM5, mi bandung udang RM8 dan mi bandung tulang RM7.50 turut dijual.

Selain sajian mi bandung, Bisik-Bisik turut menghidangkan asam pedas Mak Kiah yang memang sedap dan terbaik. Menawarkan beberapa jenis ikan seperti ikan pari, kembong, tenggiri, merah, jenahak dan patin untuk dimasakkan asam pedas. Harga sepinggan sekitar RM8 - RM25 sepinggan, bergantung kepada jenis ikan yang dipilih.

Dalam pada itu, menu lain yang tidak boleh diketepikan adalah kacang pol (roti dan kuah kacang pol) RM6, laksa Johor, sotong kangkung, tauhu bakar, nasi ayam warisan, mi rebus Johor, mi rebus tulang, makanan barat dan masakan panas.

Minuman istimewa

Untuk menghilangkan dahaga, jangan lupa mencuba air kathira JDT dan bandung soda yang masing-masing berharga RM3.50 untuk segelas.

Kedua-dua minuman tersebut mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan pelanggan pastinya berpuas hati.

Norhaliza berkata, air kathira JDT begitu istimewa di Bisik-Bisik kerana ia adalah campuran kurma, barli, kembang semangkuk, badam, susu cair dan pandan.

"Warna minumannya hijau dan rasanya seakan daun pandan. Ia bertambah sedap jika dimakan bersama mi bandung udang galah," katanya.

Sementara itu, Norhaliza yang berasal dari Muar, Johor mengharapkan agar Bisik-Bisik menjadi pilihan seisi keluarga dan pelanggan akan gembira dan puas hati dengan segala hidangan dan perkhidmatan yang diberikan oleh kru Bisik-Bisik.

Monday, August 24, 2015

SAIZO CAFE-KOTA BHARU



SEWAKTU memasang angan-angan ke negeri Cik Siti Wan Kembang, perkara utama yang akan disenaraikan adalah lokasi terbaik untuk mengisi perut.

Sama ada sekadar ingin mencuba atau sememangnya anda kenal, negeri Kelantan kaya dengan pelbagai juadah menarik, tanpa mengira waktu. Pendek kata, ke mana sahaja haluan, anda melangkah dengan senang hati.

Boleh cuba kelainan rasa yang ditawarkan di Saizo Cafe, yang kedudukannya tidak jauh dari pusat bandar Kota Bharu memudahkan anda mencarinya. Jika kurang arif guna sahaja kepintaran aplikasi bantuan pandu arah GPS, pasti anda selamat sampai ke kafe ini.

Koleksi menu terlaris diolah daripada resipi keluarga yang juga berkemahiran tinggi mencipta masakan hebat! Sebut sahaja ikan bakar, ikan berempah, makanan eksotik seperti belut, maggi ketam, dan masakan panas semuanya sedia dihidangkan.

Begitu juga roti kuali yang jarang-jarang anda jumpa, pasti teruja untuk menjamah semua hidangan ini!

Mencipta kelainan tersendiri terutama dari segi hiasan dalaman, Saizo Cafe adalah salah satu port makan yang mampu penuhi selera anda. Melangkah masuk ke ruang makan, anda seolah-olah berada di restoran mewah.

Hiasan lampu menjadi pembuka selera, ditambah pula elemen klasik yang digantung di bahagian  dinding, melengkapkan kekemasan kafe milik Liyana Che Mohd Noor, 27, atau mesra membahasakan dirinya, Nana.

Dari hiasan hingga ke menunya, ditambah pula keramahan pemiliknya, nampak gayanya langkah kedua pasti menyusul. Ibu kepada dua cahaya mata ini, sememangnya wanita yang fokus dalam menyediakan sesuatu istimewa buat pelanggannya.

Memulakan perbualan, Nana menyenaraikan hidangan untuk sarapan pagi. Begitu meriah sekali, hidangan sarapan pagi hingga ke lewat malam, pelanggan dari pelbagai kategori pasti berpuas hati.

Katanya, menu sarapan pagi, disediakan mengikut pilihan pelanggan, dan sebagai anak jati Kelantan, tumpuan pasti kepada sajian seperti nasi berlauk, nasi kerabu serta kuih-muih tradisional, sedia dihidangkan sewal jam 7 pagi.

Anda penggemar gulai ayam kampung? Di sinilah salah satu lokasi yang boleh dipertimbangkan. Menu ini disediakan setiap hari, begitu juga kari kepala ikan, sup ayam kampung, dan ayam kampung goreng. Memang menggugat nafsu lebih-lebih lagi sedia dihidangkan bersama nasi panas.


Ayam kampung tarikan utama  

"Masyarakat Kelantan lebih sinonim dengan sarapan bersama nasi berlauk, jadi kelainnya, kami menggunakan ayam kampung dan sajian segar setiap hari," katanya.

"Tarikan utama juga adalah roti kuali, cara penyediaannya adalah dengan membakar di belakang kuali. cara ini seakan-akan sama dengan kemahiran orang timur tengah membuat roti tempayang," katanya.

Beralih kepada menu tengah hari, pelanggan boleh memilih untuk menjamah nasi campur atau aneka pesanan seperti sup tulang, sup belut, maggi ketam, dan istimewa juga maggi belut.

"Kami cuba pelbagaikan cita rasa agar pelanggan dapat nikmati hidangan dalam suasana yang berselera. Mungkin ada yang sedang mencari menu makanan eksotik seperti belut, jadi kepada yang baru ingin mencuba, menu kami pasti berbaloi," katanya.

Menurutnya, ikan bakar berempah juga tidak kurang hebatnya. Pilihan ikan segar jenis kerapu, pari, bawal, siakap, dan pelbagai lagi termasuk belut.

"Kami tawarkan pada harga RM5 untuk 100 gram siakap, dan paling rendah RM4 untuk 100 gram kembung. Boleh juga cuba menu untuk kesihatan, seperti ikan bakar yang dihidangkan bersama air asam, sebagai pencicah," jelasnya.

Katanya, menu-menu biasa seperti siakap masak stim, tiga rasa dan belut disediakan mengikut pesanan.

Menurut Nana juga, kebanyakan sajian adalah dari resipi diilhamkan sendiri oleh keluarganya yang sememangnya suka berniaga.

"Saya banyak didedahkan dengan selok-belok perniagaan, jadi tidak kekok menguruskan kafe ini tambahan pula, disokong penuh suami tercinta, Datuk Saizo Abdul Ghani.

"Kepakaran ibu bapa menguruskan perniagaan yang juga dalam bidang makanan menjadi inspirasi saya untuk terus mencari ilham mencipta resipi-resipi baru," katanya.

Di samping resipi tersendiri,  jelas Nana, Saizo Cafe juga dibantu tukang masak yang pakar dalam penyediaan selera Thai.

Melengkapkan hidangan, boleh cuba, pemanis mulut seperti ABC istimewa yang sememangnya kena dengan selera masyarakat kita. Disediakan juga menu masakan barat bagi yang ingin memilih makanan bergoreng untuk kudapan. Pulut bakar dan ais krim juga tidak dilupakan.

Melihat sambutan hebat setiap hari, perancangan untuk membuka cawangan baru sedang dalam proses pembinaan.

"Kami memilih satu lagi lokasi strategik iaitu di Wakaf Che Yeh sebagai cawangan seterusnya yang bakal dibuka awal tahun depan," katanya.


INFO 

Lokasi: Saizo Cafe, cabang Tiga Pasir Hor, Kota Bharu, Kelantan.
Sajian: masakan pantai timur dan Thai
Konsep: Moden dan klasik
Instagram: @nana_nurgaya #saizocafe
Waktu operasi: Sabtu-Khamis (7 pagi hingga 12 tengah malam Jumaat (4 petang-12 tengah malam)

Sunday, August 23, 2015

D'LAILA MEE UDANG@ MMA SANTAI CORNER-NILAI, N.SEMBILAN



BAGI penggemar makanan, saya ingin mencadangkan anda untuk singgah di gerai D'Laila Mee Udang @ MMA Santai Corner yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan.

Di kedai ini, terdapat pelbagai makanan yang sangat sedap untuk dicuba, antaranya mee udang L, mee udang galah, mee udang + ketam, mee udang + kupang, mee ketam, mee udang M dan mee kupang. Harga bagi sepinggan hidangan sekitar RM7 hingga RM12.

Bagi peminat masakan asam pedas pula, anda sememangnya sudah memilih lokasi tepat untuk menjamu selera. D'Laila Mee Udang sedia menawarkan semua dengan variasi asam pedas claypot seperti asam pedas telur ikan mayong yang boleh dinikmati sebagai menu makan malam.

Selain asam pedas, kedai yang dimiliki oleh Norlaila Dollah Ahmed itu turut menyediakan menu lazat seperti asam tempoyak, lemak cili api dan kari.

Setiap set hidangan di atas telah disertakan sekali dengan nasi putih, telur masin, ulam-ulaman dan sambal belacan.

Saya bersama rakan-rakan blogger lain seperti Firdaus Azizi, Hafiz Rahim dan Hisyamudin Fadzil sudah mencuba semua menu dan ternyata memang sedap mengikut deria rasa dan selera makan kami.

Saya yakin, bagi yang baru kali pertama mencuba hidangan di sini, anda tentunya akan ke sini lagi untuk masa-masa akan datang.

Bagi anda yang ingin mencuba keenakan asam pedas claypot ini boleh pergi ke alamat berikut:

D'Laila Mee Udang @ MMA Santai Corner,  Jalan BBN 1/1F, Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai, Negeri Sembilan.

Facebook: https://www.facebook.com/dlaila.suppower atau blog http://hazmanfadzil.com
Waktu operasi: 6 petang - 12 tengah malam