BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Tuesday, February 9, 2016

FZ DELICIOUS RESTAURANT-TAMAN DAYA, JB

Asam pedas kepala ikan hanya RM6

MENAWARKAN pelbagai promosi sehingga harga tiga kali lebih rendah pada setiap bulan daripada kebiasaan yang ditawarkan menjadi tarikan penggemar masakan ala Melayu dan Johor ke FZ Delicious Restaurant di Taman Daya, Johor Bahru, Johor.
Setiap pelanggan yang mengunjungi restoran yang diusahakan Faisal Hashim, 43 bersama rakan baiknya, Johan Samian, 46 turut menghidangkan secawan ais krim secara percuma sebagai juadah pencuci mulut.
Menurut Faisal, antara menu  ditawarkan dengan potongan harga menarik ialah tiga jenis ikan iaitu ikan cencaru bakar, ikan pari bakar dan ikan kembung bakar pada harga RM10 dan makanan barat iaitu kombo lamb chop dan chicken grill pada harga RM15.
“Ikan pari bakar; ikan cencaru bakar serta mi bandung pada harga RM6. Promosi bulan ini pula asam pedas kepala ikan merah dan kaci pada harga RM6 yang kebiasaannya ditawarkan pada harga dari RM12 hingga RM18.
“Setiap bulan kita adakan promosi menu berbeza yang harganya boleh mencecah tiga kali lebih rendah dari kebiasaan yang mana setiap promosi akan iklankan di facebook kami.
“Malah, sebagai menghargai pelanggan, kita turut menghidangkan secawan ais krim secara percuma yang boleh dinikmati sementara mereka sementara menunggu pesanan yang dibuat,” katanya kepada Sinar Harian.
Ujar Faisal lagi, malah hanya RM30, pelanggan turut berpeluang menikmati siakap tiga rasa, sup tulang, kailan ikan masing dan telur dadar bersama pasangan mereka dan boleh berjimat sehingga RM10.

“Pakej berkenaan kita tawarkan setiap hari yang mana pakej lain turut ditawarkan bermula dari RM10 sehingga RM110 yang harganya jauh lebih murah berbanding harga ‘ala carte’,” katanya.
Ditanya tentang kadar keuntungan yang diperoleh apabila menawarkan promosi pada menu tertentu berikutan perlu menanggung pelbagai kos, katanya, keuntungan tetap ada tetapi pada tahap minima.
“Kita sedar pelbagai kenaikan kos perlu ditanggung setiap orang dan tujuan saya membuat promosi ini sebagai memberi peluang segenap masyarakat merasai pelbagai menu pada harga yang berpatutan berbanding dari tempat lain.
“Malah, setelah saya membuat promosi seperti ini saya, restoran saya bukan sahaja menerima kedatangan pelanggan dari sekitar bandaraya Johor Bahru semata-mata bahkan turut dari luar daerah,” katanya.
Beliau berkata, dia tambah teruja apabila pelanggan sentiasa tertunggu-tunggu menjamu hidangan promosi yang ditawarkan setiap bulan.
“Saya menerima respons positif daripada para pelanggan dan mereka sentiasa bertanya untuk mengetahui promosi yang dijalankan,” katanya yang memberitahu restorannya beroperasi setiap hari dari jam 3 petang hingga 12 malam kecuali hari Sabtu minggu pertama dan ketiga.

Saturday, February 6, 2016

COSY PLACE-WANGSA MAJU KL


Memasuki ruang Restoran Cozy Place ini, pengunjung akan terpukau dengan konsep dekorasinya yang bertemakan English Tudor. Lampu cimni dan hiasan-hiasan yang mengelilinginya seumpama ruang tamu di sebuah rumah tradisional di Eropah
Apabila hiasan sudah menarik, hidangan yang disediakan juga sudah tentu mampu memukau cita rasa.
Restoran yang dibangunkan sekitar tahun 2008 ini boleh memuatkan kira-kira 150 pengunjung pada satu-satu masa.
Bukan sahaja dikunjungi sebagai restoran untuk menjamu selera, Cozy Place juga boleh disewa untuk pelbagai majlis seperti hari jadi, keraian rakan dan kenduri kecil.
Disediakan ruang yang selesa dengan lampu-lampu malap, merupakan satu kelebihan restoran ini yang sesuai dikunjungi mereka yang berkeluarga atau sedang berteman.
Tenang, tidak bingit, romantik, selesa dan nyaman menjadikan restoran ini sangat popular dalam kalangan penduduk berdekatan.
Menurut Mohd. Lutfi Yussof, 40, yang merupakan rakan kongsi perniagaan restoran berkenaan bersama Peter How, Cozy Place dibina dengan konsep sebegitu rupa hanya untuk menyediakan yang terbaik kepada setiap pelanggan yang datang.
“Apa sahaja cita rasa anda, disediakan di restoran ini yang berkonsepkan sajian Mediteranean, Continental dan makanan tempatan. Pendek kata sekiranya anda inginkan makanan yang bercorak Barat dan cita rasa Asia, boleh mendapatnya di sini.
“Pelanggan suka dengan hidangan chicken salted kami yang rangup dan sedap. Bukan itu sahaja, restoran ini turut menyediakan sambal udang petai, daging masak halia bawang besar, kailan masak bawang putih, udang segar mi wantan dan sebagainya,” jelasnya.
Dibuka setiap hari dari jam 11 pagi hingga 10 malam, harga-harga hidangannya juga adalah berpatutan dan serendah RM8.00 ke atas sahaja.
Begitupun sekiranya anda mahu mencuba pelbagai variasi kek yang terhidang di dalam almari kaca, boleh memilihnya sebagai hidangan pencuci mulut mahupun hanya makan begitu sahaja di waktu petang bersama secawan kopi.
“Restoran ini adalah halal dan menyediakan hanya barangan yang halal dan kami tidak menghidangkan alkohol.
“Di sini anda boleh makan pelbagai jenis hidangan sama seperti makan di restoran mewah lain dengan harga yang lebih rendah,” katanya.
Restoran ini yang terletak di Jalan Wangsa Delima 5, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, menyajikan makanan yang disediakan oleh chef tempatan dengan layanan yang mesra daripada pelayan restoran. Bersandarkan tagline, Your Favourite Family Restaurant, Cosy Place boleh dilayari di Facebook cosy place.

WARUNG AJA-KUANTAN



Bermula dengan menjual lima jenis lauk sahaja, kini Warung Aja terus mengorak langkah sehingga melangkau 80 jenis lauk sehari yang setiap menu adalah hasil air tangan pemiliknya Nur Hazamazlin Razali, 34, atau lebih selesa disapa Aja.
Terletak di tepi Jalan Bukit Setongkol,  serta berhadapan dengan masjid,lokasi Warung Aja ternyata menjadi pilihan pelanggan dari hari Isnin hingga Jumaat.
Antara menu pilihan pelanggan ialah ikan patin masak petai tempoyak, ikan puyu masak lemak cili api, ayam lemon, kambing bakar, seafood tauhu, ikan kerisi berlada, telur ikan masak lemak, pari stim asam mangga, ayam pandan dan ikan pekasam.
“Dulu Aja tak pandai memasak,tetapi Aja belajar  dengan pergi kelas dan bermacam-macam jenis kursus semata-mata untuk membuka kedai yang menepati citarasa semua orang.
“Walaupun pelbagai lauk,setiap lauk hanya dimasak dalam kuantiti sedikit iaitu satu tray untuk satu jenis lauk. Jika habis, akan digantikan dengan lauk yang lain pula,” katanya.
Konsep menukarkan lauk dilakukan bagi me­ngelak rasa jemu pelanggan kerana selera pelanggan tidak sama, justeru itu Warung Aja lebih suka menyediakan puluhan jenis lauk yang menepati selera dari kanak-kanak,remaja, orang dewasa sehingga warga emas.
Sajian kampung turut disediakan termasuk gulai rebung, gulai pisang muda dan gulai jantung pisang selain sup bebola ikan, sosej berlada, ayam goreng lemon, ayam goreng nestum dan ayam butter cereal cheese serta lebih 15 jenis sayur goreng.
“Aja suka mencuba pelbagai jenis masakan dan reka resepi Aja sendiri. Testimoni adalah pelanggan.Jika mereka tidak suka,Aja akan ubah sehingga menepati citarasa pelanggan.
“Selain itu, Warung Aja berkonsepkan santai. Dengan suasana kampung dan makan di bawah pokok lebih membawa ketenangan kepada pelanggan. Oleh itu, mereka tidak jemu datang setiap hari,” katanya.
Sebagai hidangan pencuci mulut, Warung Aja me­nyediakan hidangan santai jagung nyiur (kelapa), ubi rebus, ubi goreng dan pulut sambal ikan yang dijual pada harga RM4 dan RM5 setiap hidangan.
Lebih menarik setiap Rabu Warung Aja akan memberi bubur percuma kepada pelanggan seperti  bubur lambuk seafood, bubur kacang hijau atau bubur pulut hitam.
“Seronok melihat pelanggan datang dan menikmati hidangan di Warung Aja. Mungkin selepas ini ada cawangan Warung Aja di beberapa tempat lagi dan itulah harapan Aja semata-mata untuk menjamu pelanggan,” katanya.

Monday, February 1, 2016

HOUSE RESTAURANT-IPOH




JIKA anda mencari sebuah restoran selesa untuk seisi keluarga serta mementingkan cita rasa pada menu, House Restaurant patut berada dalam senarai pilihan anda.
Terletak di Jalan Sultan Iskandar, pekan lama Ipoh, Perak, restoran yang baru dibuka pada November tahun lalu ini juga memiliki dekorasi dan perincian hiasan dalaman yang tersendiri.

Berlatarbelakangkan cat dinding berwarna biru turqoise, sebuah grafiti indah yang dilakar oleh seorang artis muda, Irasdean membangkitkan lagi kehalusan seni yang turut ditampung dengan pencahayaan sesuai, menjadikan konsep ‘cozy' restoran ini kena dengan pemasangan sistem pendingin hawanya.
Pemiliknya, Raja Khairi Ehsan Raja Norddin, 28, yang berkecimpung dalam dunia pengurusan acara dan pembekalan sistem audio muzik, memilih untuk membuka restoran kerana minatnya terhadap makanan dengan rasa autentik.
Justeru, tidak hairanlah persembahan hidangan di restoran ini turut dititikberatkan. Malah, pilihan 40 menu makanan dan minumannya dibuat dengan mengambil kira cita rasa tempatan dan juga antarabangsa.
Bermula daripada hidangan pembuka selera seperti nachos, bebola daging, sup cendawan, kentang goreng dan kentang racik, restoran ini juga menyediakan menu istimewa dari negara Turki iaitu shakshouka.

Menurut Raja Khairi, shakshouka yang dihidang bersama sos bolognese, tomato dan sos buatan sendiri termasuk serbuk cili itu dimakan bersama roti dan telur separuh masak.
Dalam pada itu, katanya, antara menu istimewa lain yang disajikan di House Restaurant ialah fried soft shell crab iaitu hidangan ketam lembut goreng, Jawa spicy chicken chilli (ayam goreng kering lemak pedas) dan house seafood tom yam yang turut menghidangkan ketam, lala dan udang dengan resipi asli masakan Thailand sebenar.

“Bekalan ketam lembut segar ini diperoleh dari Pantai Remis dan Kuala Kurau,” kata Raja Khairi yang memberitahu restorannya turut dikunjungi pelancong asing dan pelanggan Cina.
Bagi mereka yang inginkan makanan bersama set nasi putih, beberapa pilihan menu ditawarkan seperti ikan pari asam pedas, kari ikan bawal goreng, sambal tumis udang petai, ketam atau udang masak lemak dan ikan dori masak masam manis.
Hidangan tersebut juga boleh dipilih secara ‘ala carte', selain sayur campur, kangkung belacan dan telur dadar bersama menu tambahan seperti tom yam ayam.

“Bagi yang gemarkan makanan bergoreng, kita juga menawarkan beberapa pilihan seperti nasi goreng Cina, nasi goreng kampung istimewa, nasi goreng Thai dan nasi goreng gunung berapi yang dihidang bersama udang harimau dan sos buatan sendiri,” katanya.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang merasai menu hidangan barat seperti chicken chop, lamb chop, grilled salmon, fish and chips, burger dan hotdog, selain pelbagai jenis pasta termasuk aglio olio, carbonara, bolognese, bebola daging dan cheezy macaroni.
Tidak ketinggalan, turut disajikan ialah minuman panas dan sejuk termasuk jus buah-buahan dan floats (Coca cola, root beer, strawberi, ice cream soda dan sprite).
Manakala di kaunter, para pelanggan boleh memilih untuk menikmati brownies, pavlova, macaroon atau cheese parfait yang diletakkan di situ untuk mudah dipilih.
“Bagi yang ingin menganjurkan parti hari jadi atau majlis pertemuan semula serta seminar, kita juga mempunyai ruang makan di tingkat atas yang boleh memuatkan sehingga 60 orang dalam satu masa,” katanya.

Saturday, January 30, 2016

KOPI SEMPURNA:GABUNGAN KETEPATAN DAN SKIL


Kopi mempunyai aroma yang menenangkan dan memberi kenikmatan apabila meminumnya. Apatah lagi bagi seorang penggemar kopi, pastinya minuman ini menjadi satu kemestian untuk mereka setiap hari.
Kopi susu, kopi ‘o’ dan kopi herba merupakan kopi-kopi yang sering disediakan di kampung-kampung sejak beratus tahun dahulu oleh nenek moyang kita sehinggalah hari ini di setiap rumah.
Namun dengan kemasukan elemen barat, kopi sudah mempunyai pelbagai jenis daripada expresso, latte, cappucino, flat black atau flat white menjadikan kopi itu mempunyai pelbagai jenis tetapi ia tetap berasal dari eleman yang sama.
Selain jenis kopi, biji kopi juga mempunyai pelbagai jenis, daripada biji inilah rasa kopi itu akan berbeza-beza dan terdapat dua jenis biji kopi yang popular digunakan di dunia iaitu dari jenis arabica dan robusta.
Arabica atau biji kopi arab ini merupakan biji kopi gred tinggi yang menjadi pilihan di kedai kopi eksklusif kerana mempunyai karektor rasa lebih lemak dan bau kuat yang menyenangkan.
Ia juga mengandungi kurang kafien berbanding robusta yang mempunyai lebih 50 peratus kafien serta kurang kandungan minyak yang membuatkan robusta lebih pahit dan berasid.
Walau bagaimanapun, biji kopi ini mempunyai perihal yang agak pelik kerana faktor tanah, ketinggian ia ditanam serta cuaca dan keadaan sekeliling turut mempengaruhi kopi.
Sebab itulah, ada sesetengah biji kopi arabica boleh mencecah harga ratusan ringgit sekilogram berbanding jenis arabica yang lain. Itulah membuatkan rasa kopi berbeza-beza.
Bukan itu sahaja, rahsia keenakan kopi ini sebenarnya terletak pada si pembuat kopi itu sendiri kerana mereka mempunyai kepakaran dalam menghasilkan kopi yang terbaik dan cukup segala perincian yang dimahukan.
Mereka ini digelar barista, pembuat kopi di kafe yang bekerja di belakang mesin kopi untuk memberi hidangan minuman yang memenuhi cita rasa penggemar kopi, tidak kira apa jua pilihan menu yang dimahukan.

Komunikasi penting untuk barista
Bagi seorang barista yang baik komunikasi adalah penting, tidak kira sesama barista mahupun pelanggan kerana setiap daripada mereka mempunyai idea masing-masing dalam menghasilkan kopi yang sedap.
Mungkin kopi terlalu pahit, tidak sedap dan apa pun jua masalah terhadap rasa kopi ini, hanya pelanggan yang tahu kerana selepas kita menyiapkan kopi itu, kita tidak dapat rasa dan terus dihidangkan kepada pelanggan.
Dari situ, maklumbalas pelanggan adalah penting dengan bertanya kepada mereka atau berbual bersama untuk mengetahui kopi yang kita hasilkan itu memenuhi cita rasa mereka atau tidak.
Selain itu, dalam menghasilkan corak pada kopi, bagi saya ia merupakan cabaran paling besar selepas proses penghasilan kopi, kerana ketepatan perincian dan juga kelembutan perlu ada dalam menghasilkannya.
Kadangkala tangan saya agak gementar ketika membuat art dari susu yang dituangkan pada kopi, membuatkan corak yang dihasilkan kurang menarik dan tidak sempurna. Namun, ia boleh diatasi dengan latihan berterusan.
Walaupun bekerja sebagai barista hanya sebagai pekerjaan sambilan kerana masih menuntut di sebuah kolej tempatan, saya melihat bidang ini mempunyai potensi yang baik dari segi kemahiran dan juga kerjaya.
Seorang barista bukan sahaja membuat kopi, malah berinteraksi bersama pelanggan. Dari sini, menjadikan ia satu proses pembelajaran yang baik bagi mereka yang ingin bekerja dalam bidang perkhidmatan.
Bagi mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang ini, paling utama adalah kemahuan untuk belajar dan perlu cepat belajar dalam menghasilkan kopi yang terbaik.
Setiap kopi yang dihasilkan oleh barista akan mempunyai rasa, bau dan karektor berbeza. Jika tepat penghasilannya, maka keenakan kopi pasti akan terasa. 

Berlatih guna sabun
Pernah satu ketika, semasa ingin belajar untuk menghasilkan susu stim yang terbaik, Fatin Nabihah Mohd Rozdi, 21, menggunakan sabun untuk berlatih agar tidak membazirkan susu segar yang ada.
“Susu tidak boleh dicampurkan begitu sahaja pada kopi kerana dalam menghasilkan kopi terbaik, susu perlu distimkan dengan betul dan mempunyai buih yang betul bagi memberi rasa pada kopi itu.
“Dengan menggunakan sabun, saya dapat melihat keadaan buih itu setakat mana yang diperlukan bagi menjadikan ia sempurna untuk secawan kopi. Jadi, setiap perincian itu perlu tepat,” katanya.
Walaupun baru enam bulan berkecimpung dalam dunia barista ini, baginya kita perlu minat dan ada kemahuan ingin belajar serta sabar kerana semua itu adalah satu proses pembelajaran.
“Saya pada awalnya agak susah untuk belajar, walaupun langkah-langkahnya tidak banyak tetapi setiap langkah itu perlu dihasilkan dengan baik sebelum menghidangkan kopi yang baik.
“Paling sukar adalah untuk saya menghasilkan susu stim yang tepat dan kerana itulah, saya gunakan sabun untuk berlatih,” jelasnya.

Dulu benci kini cinta
Jika dahulu, Nur Farah Affika Karim, 20, tidak berapa gemar kopi, namun kini dia sudah menanam cita-cita untuk membuka kafe berasaskan kopi sendiri satu hari nanti.
Berbeza dengan kopi kampung, dengan hanya meletakkan serbuk kopi, gula atau susu dan air panas, sudah siap untuk diminum. Kopi jenis moden ini mempunyai teknik dan kemahiran berbeza.
Mengambil masa lebih kurang sebulan untuk belajar membuat kopi yang baik dan masih lagi belajar membuat kopi, Farah merasakan pembuatan kopi dan bekerja sebagai barista merupakan satu proses pembelajaran yang tiada penghujungnya.
“Mungkin pada peringkat awal, kita memerlukan orang untuk mengajar kita teknik penggunaan mesin. Namun sebenarnya ia memerlukan minat yang mendalam untuk belajar sendiri melalui pengalaman membuat secawan kopi yang terbaik.
“Setiap langkah iaitu mengisar, menekan, stim, mencampurkan susu dengan nisbah yang betul dan membentuk buih memerlukan pembelajaran yang betul-betul tepat sebelum menjadikannya sempurna,” jelasnya.
Itu belum lagi kemahiran membuat seni kopi seperti corak-corak yang kita sering lihat di atas permukaan air kopi dalam cawan yang dihidangkan. Teknik ini juga perlu dipelajari dengan betul.
“Pada mulanya, agak sukar namun lama kelamaan ia menjadi satu minat. Ia menyeronokkan apabila kita berjaya menghasilkan kopi serta seni kopi yang menarik,” jelasnya.

Kopi sebenarnya sensitif
Pengalaman lebih setahun menjadi barista sudah mula mengajar Muhammad Azuan Norazam,22, dalam mengenal karektor kopi yang dilihatnya sebagai agak sensitif dan perlu ketepatan dalam menghasilkan minuman yang terbaik.
Mana tidaknya, jika salah tekan (temping) serbuk kopi pada acuannya, ia akan membezakan rasa kopi. Jika terlalu kuat, kopi akan jadi kurang sedap, kurang tekan pula menyebabkan rasa kopi tidak dapat dihasilkan dengan baik.
Setelah proses menekan, barista akan meletakkan acuan pada tempat menghasilkan air kopi atau dikenali sebagai expresso dan di sini, lain pula halnya kerana di sinilah bermulanya rasa kopi yang enak dihasilkan.
“Melalui pengalaman yang ada, untuk proses ini sahaja, ada tiga tahap air kopi yang akan keluar 
dari mesin tersebut dan setiap proses itu akan mengambil masa lebih kurang tujuh saat pada setiapnya.
“Tujuh saat pertama air kopi yang keluar berwarna hitam yang boleh dikatakan sebagai karektor bagi kopi itu, dan tujuh saat berikutnya, air kopi yang keluar berwarna coklat yang menentukan manis kopi itu, manakala tujuh saat terakhir, air kopi akan berwarna keperangan yang menentukan kepahitan kopi itu,” jelasnya yang kini boleh dikatakan sedang jatuh cinta dengan kopi.
Selama 21 saat masa diambil untuk menghasilkan kopi yang betul-betul sedap kerana expresso inilah yang menjadi identiti pada kopi tersebut, tidak kira dalam menghasilkan apa jua menu kopi yang lain.
Dalam menyediakan susu pula, hanya susu segar sahaja yang akan digunakan bagi menghasilkan menu kopi lain seperti latte, kopi putih, cappucino dan sebagainya.
“Suhu yang terbaik untuk menghasilkan stim pada susu adalah 70 hingga 80 darjah selsius. Bukan itu sahaja, barista perlu tahu melihat, mendengar dan mencium bau kopi mahupun susu yang distim bagi menghasilkan kopi yang enak.
Walaupun nampak mudah, tugas seorang barista dalam menghasilkan kopi yang terbaik memerlukan pengalaman dan skil agar kopi yang dihasilkan mempunyai rasa yang enak.

Rahsia kopi terletak pada expresso
Bagi mereka yang bekerja di belakang mesin kopi, pasti mengetahui untuk menghasilkan kopi yang sedap terletak pada kekuatan expresso kerana di situlah bermulanya penghasilan menu-menu lain bagi kopi.
Bermula dari mengisar biji kopi terpilih sebelum dimampatkan pada acuan dan melihat warnanya, semua itu mempunyai perincian yang perlu dipatuhi.
Setiap daripada itu memerlukan ketepatan yang betul dalam menyediakan kopi yang sedap. Untuk menghasilkan minuman lain selain expresso seperti cappucino atau latte pula, memerlukan barista mahir bermain dengan buih dan susu.
Nisbah susu, kopi dan buih perlu seimbang kerana ia adalah ramuan untuk menghasilkan kopi. Justeru itu, jika barista mahir kesemuanya, sudah pasti kopi yang dihasilkan dapat memenuhi keinginan yang dikehendaki.
Bagi penggemar kopi tegar atau pengusaha kopi seperti saya, saya lebih suka kopi itu tidak dicampur gula bagi merasai sendiri tekstur rasa kopi sebenar kerana kopi mempunyai karektor tersendiri.
Kopi sebenarnya ada rasa manis, pahit dan karaktor mengikut biji kopi yang digunakan. Oleh sebab itu, di Ahmad & Co. kami menggunakan biji kopi terbaik dari jenis arabica yang khaskan untuk kafe ini.
Walaupun dari biji kopi yang sama, namun rasa kopi dari setiap kedai akan berbeza kerana elemen-elemen seperti campuran biji kopi, barista dan teknik membuat kopi membezakannya.
Tidak kira apa jua kopi yang digemari, ia sudah menjadi trend sekarang serta mempunyai kebaikan dalam pelbagai segi seperti menghilangkan stres, mencegah kanser serta antara minuman sunnah

Wednesday, January 27, 2016

RESTORAN NASI JJ-TTDI JAYA


SHAH ALAM 18 Jan. – Bagi mereka yang tidak biasa datang ke Restoran Nasi JJ di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) Jaya di sini, pasti akan terkejut melihat ramai pelanggan beratur panjang untuk membeli makanan.
Pasti ramai juga yang tertanya-tanya menu istimewa yang dijual sehingga membuatkan pelanggan sanggup bersabar dan tidak beralih ke premis makanan lain.
Kedai Nasi JJ tidak menyediakan menu istimewa atau pelbagai aneka hidangan seperti kebanyakan restoran lain yang sering mendapat perhatian.
HIdangan yang dijual adalah menu yang kini menjadi fenomena dalam kalangan masyarakat di Lembah Klang iaitu Nasi Kak Wok.
Nasi Kak Wok ialah nasi putih berlaukkan gulai ayam, ayam goreng dipotong kecil dan sambal yang dimakan beralaskan kertas, bukannya pinggan.
Apa yang membuat kedai tersebut menjadi tumpuan ialah rasanya yang enak dan unik terutama sambal.
Harga serendah RM5 sebungkus merupakan nilai yang sukar diperolehi di Lembah Klang, sekali gus menjadikannya menu pilihan orang ramai.
Pemilik restoran, Rosliza Junoh, 36, berkata, Nasi Kak Wok yang turut dikenali sebagai nasi ekspres menjadi popular kerana ringkas, murah dan sedap.
Menurutnya, sajian itu asalnya bermula daripada Mek Wok Hassan atau Kak Wok yang menyajikan hidangan tersebut di Kampung Lundang, Kota Bharu, Kelantan, kira-kira 35 tahun dahulu.
Mengulas lanjut, Rosliza memberitahu, kedai makan tersebut diusahakan bersama suaminya sejak dua tahun lalu dan merupakan cawangan kepada restoran milik ibunya di Kota Bharu.
Jelasnya, kesemua makanan di kedainya itu juga dimasak sendiri kerana ia adalah amanat ibunya untuk menjaga resipi keluarga mereka.
“Bagi memastikan makanan yang dihidangkan sentiasa dalam keadaan panas, saya akan masak dalam kuantiti yang kecil dan bagi saya apa yang penting, kita kena ikhlas dengan pelanggan dan setiap sajian perlu dimasak dengan terbaik serta tidak kedekut,” ujarnya.
Kedai Nasi JJ terletak di No. 50, Jalan Opera J U2/J, Taman TTDI Jaya, di sini selain sebuah lagicawangan iaitu di Seksyen 24 di sini.

Monday, January 25, 2016

FOODTRUCKITA KANDAR KAW-KL SENTRAL


Semasa diberi pilihan antara beriani ayam atau beriani kambing, saya senyap tetapi tuan punya FoodTrucKita Kandar Kaw, Syahril A Kadir telah siap mengisi nasi briani kambing ke dalam pinggan saya dan jurugambar. Nampak memang menyelerakan.
“Saya nak awak berdua rasa nasi beriani kambing sebab menu ini yang digemari di sini,” katanya sambil meletakkan pinggan berisi nasi beriani di meja kami.
Hanya dengan sudu dan garpu plastik, dengan mudah daging kambing terlerai daripada tulang. Memang lembut. Ditambah dengan ramuan rempah-ratus yang sebati dengan kuah secukup rasa.
Setiap pagi bermula jam 7 pagi, FoodTrucKita Kandar Kaw akan berada di belakang bangunan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhampiran KL Sentral. Bagaimanapun untuk sarapan, Syahril berkata, mereka hanya menyediakan makanan bungkus sahaja.
“Kami sediakan makanan bungkus kerana masa itu agak sibuk dengan pekerja masuk pejabat tentu tidak sempat untuk makan,” katanya yang mengusahakan perniagaan makanan dengan rakan kongsi Shuhib Ghazali.
Kira-kira jam 11 pagi, sebuah van yang bertindak sebagai runner berhenti di berhampiran FoodTrucKita Kandar Kaw menurunkan makanan yang telah siap dimasak di dapur berpusat di Damansara.
Menurut Syahril, biasanya semua makanan dimasak sekitar pukul 9.00 pagi bagi memastikan makanan yang sampai masih panas semasa dihidangkan kepada pelanggan yang mula datang sekitar pukul 12.00 tengahari.
“Di sini pelanggan boleh memilih pelbagai menu yang bertukar setiap hari seperti kari ikan, ayam masala, ayam masak kicap, kambing masala, acar sayuran dan paling istimewa nasi beriani ayam dan beriani kambing yang menjadi menu kegemaran di sini.
“Saya akan memastikan makanan yang dihidangkan mencukupi, jika tidak cukup kami akan menghubungi dapur berpusat untuk menyediakan makanan dan van runner mengangkut makanan.
“Tetapi biasanya selepas pukul 2.00 petang nasi sudah habis, disambung dengan menu minum petang sehingga pukul 4.30 petang,” katanya.
Walaupun baru sebulan menapak, FoodTrucKita Kandar Kaw telah mempunyai pelanggan setia yang terdiri bukan sahaja daripada masyarakat Melayu, tetapi juga Cina dan India yang menggemari nasi beriani.
Syahril berkata, beliau amat berterima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Fenner yang bukan saja memberikan galakan dan tapak untuk memulakan perniagaan makanan tetapi peluang bekerjasama dengan pihak Koperasi SSM. Buat masa ini Syahril menggunakan facebook peribadi dan sokongan kawan-kawan sebagai kaedah pemasaran.
“Trak makanan hanya beroperasi hari Isnin hingga Jumaat manakala pada hujung minggu diluangkan untuk menerima tempahan katering dari sekitar Lembah Klang dan Selangor,” kata bekas wartawan media cetak dan elektronik ini.