Wednesday, November 23, 2011

EDL BEROPERASI JANUARI 2012

JOHOR BAHRU 23 Nov. – Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) sepanjang 8.1 kilometer di bandar raya ini yang sedang dibina dengan kos hampir RM1 bilion dijangka beroperasi Januari depan.
Pengarah Projek Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB), Shaharuddin Mohamed berkata, projek itu kini siap 95 peratus dan hanya bahagian di kawasan Bakar Batu dan persimpangan Pandan masih dalam pembinaan.
“Semua kerja tersebut akan siap hujung tahun ini walaupun MRCB mengalami masalah sebelum ini antaranya pemindahan penempatan setinggan dan rekaan yang diubah semula.
“Apabila dibuka Januari ini 55,000 hingga 70,000 kenderaan akan menggunakan lebuh raya ini termasuk dari Singapura,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang Tokoh Murid dan Projek Pemimpin Muda MRCB 2011 di Sekolah Kebangsaan (SK) Tebrau, Bakar Batu, hari ini.
Projek yang dimulakan pada 2007 itu masing-masing tiga lorong bagi sehala bakal menyelesai masalah trafik terutama di Jalan Tebrau dan Jalan Pandan.
EDL akan menjadi laluan penting antara Jalan Lingkaran Dalam, Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Jalan Tebrau, Jalan Pandan dan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).
Projek yang mempunyai empat laluan bertingkat sepanjang 4.4 kilometer itu akan dilengkapi 12 kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau pergerakan dan memastikan keselamatan kenderaan di sepanjang lebuh raya tersebut.
Lebuh raya itu juga dilengkapi Sistem Pengenalan Nombor Pendaftaran Kenderaan Automatik untuk membolehkan ia dipantau dari segi pergerakan dan had laju ketika menggunakan EDL.
Shaharuddin berkata, apabila beroperasi Januari ini pengguna tidak akan dikenakan tol di CIQ bagi mempromosikannya dan bayaran hanya dikenakan bermula Februari ini.
Beliau berkata, tol hanya dikenakan untuk kenderaan yang keluar masuk dari Singapura dan sempena pembinaan EDL, MRCB turut menaik taraf Jalan Stulang Darat dan Jalan Pasir Pelangi.
Mengenai masalah banjir kilat di kawasan Stulang Luat dan Stulang Darat dikatakan berpunca daripada projek EDL, beliau berkata, masalah itu akan diatasi dengan mengepam air keluar.

No comments:

Post a Comment