JOHOR BAHRU 22 Nov. - Jabatan Agama Johor (JAJ) dengan kerjasama Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri akan menganjurkan Karnival Kepenggunaan dan Transformasi Halal Johor 2011 selama tiga hari mulai 2 Disember ini.
Timbalan Pengarah JAJ, Ramly Jusoh berkata, karnival itu yang berlangsung di Dataran Tanjung Emas, Muar turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan Pejabat Daerah Muar (PDM) dan dijangka menarik 20,000 pengunjung.
Menurutnya, acara tersebut adalah bersempena sambutan Maal Hijrah 1433 dan diuruskan oleh Institut Pembangunan Pengurusan Johor Sdn. BHd. (IPPJ) dan Convenue Marketing Sdn. Bhd., syarikat di dalam kumpulan Johor Corporation (JCorp).
"Tujuan kita menganjurkan karnival ini untuk mendedahkan kepentingan dan keperluan halal serta memaksimumkan standard serta pensijilan halal yang dibangunkan oleh kerajaan bagi dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengguna, pengeluar, usahawan dan masyarakat.
"Selain itu, ia juga untuk memastikan lebih banyak produk dan premis halal dapat diguna pakai oleh pengguna dan orang ramai. Secara tidak langsung kerajaan telah menjalankan tanggungjawab dalam memenuhi keperluan asasi rakyat dan pengguna," katanya di sini hari ini.
Menurut Ramly, karnival itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang aspek halal kepada setiap peringkat umur masyarakat serta mengetengahkan perkhidmatan sokongan yang disediakan oleh agensi kerajaan dalam sektor halal.
Katanya, ia juga memberi peluang kepada pengunjung memperolehi maklumat terkini berkaitan produk dan peluang perniagaan halal melalui kaunter pameran serta menyediakan platform kepada usahawan untuk mempromosi produk mereka dan meneroka peluang pasaran.
Beliau berkata, pelbagai pengisian dirancang sepanjang karnival merangkumi pameran dan jualan produk, Forum Perdana, Konsert Hijrah Bersama: Rahmat Ekamatra & Kumpulan Almawlid, seminar kepenggunaan halal, klinik usahawan dan pertandingan mewarna bersama Upin dan Ipin.
Selain itu, turut diadakan pertandingan karaoke nasyid, pertandingan kompang berirama, demonstrasi produk, cabutan bertuah, pertunjukan fesyen busana Muslim serta pelbagai lagi aktiviti menarik.
Mereka yang berminat untuk membuat tempahan ruang pameran, jualan dan menyertai aktiviti di tapak karnival boleh menghubungi Azuan Ahmad di talian 07-2221767/70, 012-9554550 atau emel azuan@ippj.com.my atau melawat http://www.facebook.com/ halal.johor.
No comments:
Post a Comment