Tuesday, May 8, 2012

KEENAKAN UMBUT BAYAS


Tumbuhan hutan boleh dieksploitasi bagi tujuan komersial serta mampu menjana pendapatan lumayan asalkan seseorang itu sanggup meredah duri dan ranjau untuk memperolehnya.
Ketinggian nilai hasil hutan itu pula terletak pada kemahiran seseorang selain bijak memanfaatkannya.
Antara hasil hutan yang tinggi nilainya ialah pokok bayas atau nama saintifiknya Oncosperma horridayang banyak ditemui di hutan Taman Negara, Kuala Tahan dan Hulu Tembeling dekat sini.
Masyarakat Melayu di pedalaman Hulu Tembeling memanfaatkan umbut pokok bayas untuk dicampurkan dalam masakan tradisional bagi menghasilkan rasa yang enak dan menyelerakan.
Umbut (bahagian dalam batang atau mayang pokok bayas) merupakan sejenis bahan lembut dan sedap jika dimasak secara resipi kampung.
Seorang penduduk Kampung Pengau, Hulu Tembeling, Ahmad Omar, 47 berkata, umbut itu diperoleh daripada pokok bayas di hutan tebal Taman Negara, Kuala Tahan dan Hulu Tembeling.
Menurutnya, rupa dan saiz pokok bayas seakan-akan pokok nibong dan pokok pinang yang mempunyai batang tinggi dan keras, berduri serta sukar ditebang menggunakan pisau atau parang biasa.
''Saya bersama rakan mengambil masa seminggu meredah hutan mencari pokok ini kerana ia tidak tumbuh berdekatan kampung bahkan sukar pula ditemui.
''Kerja-kerja menebang pokok bayas agak sukar dan terpaksa menggunakan kapak dan beliung yang tajam untuk menetak lapisan luar batangnya," katanya ketika ditemui di Kampung Pengau, Tembeling baru-baru ini.
Setelah pokok ditebang, menurut Ahmad, tugas membuang kulit keras pokok bayas dilakukan untuk mendapatkan umbutnya dengan menggunakan peralatan beliung.
Jelasnya, kerja menebang pokok itu juga mengambil masa agak lama semata-mata untuk mengambil lapisan umbutnya sahaja manakala bahagian batangnya perlu dibuang.
Lapisan umbut dalam batang bayas, katanya, dipotong pendek-pendek sepanjang kira-kira satu meter untuk mudah dipikul atau diangkut ke dalam bot di Sungai Tembeling untuk dibawa pulang atau dijual.
Ahmad yang menjual umbut bayas sejak 10 tahun lalu seterusnya memberitahu, setiap batang pokok tersebut boleh menghasilkan 12 meter umbut.
''Keratan umbut ini dijual dengan harga RM8 dan kami memperoleh antara RM80 hingga RM100 setiap kali dijual kepada pemborong di pasar tani di bandar Jerantut," katanya.
Adakalanya, menurutnya, umbut bayas digunakan untuk masakan kenduri-kendara majlis perkahwinan atau menyambut kedatangan pelawat luar yang singgah di kampung berkenaan.
Sementara itu, rakannya, Mustaffa Ahmad, 56, berkata, bukan mudah mencari umbut bayas kerana tumbuhan itu terdapat jauh di dalam hutan tebal dan mengambil masa lama untuk mencarinya di samping berdepan dengan ancaman tertentu.
Katanya, umbut bayas memang popular sejak zaman dahulu lagi di kalangan orang Melayu di Jerantut dan Kuala Lipis kerana ia sinonim dengan masakan lemak yang dihidangkan bersama gulai tempoyak ikan air tawar daripada Sungai Tembeling, Sungai Jelai dan Sungai Pahang.

''Untuk menikmati keenakan masakan ini, umbut bayas yang siap ditebang perlu segera disiang atau dipotong seterusnya dimasak tanpa membiarkan ia terlalu lama," katanya.
Masakan lemak umbut bayas, katanya, sesuai dihidangkan semasa jamuan kenduri-kendara, gotong-royong dan menyambut pembesar dan pelawat yang singgah di kampung yang terletak di persisiran sungai itu.
Mustaffa menambah, sebahagian besar generasi kini tidak mengenali lagi pokok bayas.
''Ramai di kalangan golongan muda tidak tahu keenakan masakan lemak umbutnya, malah tidak mahir memasak berasaskan campuran tumbuhan itu," katanya.

2 comments:

  1. selalu ada hidangan masak lemak bayas di daerah kg kg di Slim River...sedap!

    ReplyDelete
  2. Kat restoran atau orang kampung masak di rumah sendiri ?

    ReplyDelete