SYED Qutub berkata: "Orang mukmin menerima penjelasan mengenai bilangan pengawal neraka Allah dengan penuh yakin tanpa mempertikaikannya. Tetapi orang musyrikin menerima penjelasan bilangan pengawal tersebut dengan hati yang sunyi daripada iman, sunyi daripada rasa hormat kepada Allah dan sunyi daripada sikap yang serius dalam menerima penjelasan mengenai perkara yang besar ini."
Mereka mempermainkan dan mengejek dan berkata: "Tidakkah setiap 10 orang daripada kamu sanggup membunuh seorang pengawal daripada 19 pengawal neraka itu? Ada pula yang berkata: Kamu boleh membunuh dua orang daripada pengawal itu dan bakinya serahkan kepadaku untuk menguruskannya. Mereka menerima perkara yang amat besar ini dengan jiwa dan hati yang tertutup."
Firman Allah SWT: Dan tiada kami jadikan penjaga neraka itu melainkan daripada malaikat: dan tidaklah kami menjadikan bilangan mereka itu melainkan untuk jadi cubaan bagi orang-orang kafir, supaya orang-orang yang diberi al-Kitab menjadi yakin dan supaya orang yang beriman bertambah imannya dan supaya orang-orang yang diberi al-Kitab dan orang-orang mukmin itu tidak ragu-ragu dan supaya orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit dan orang-orang kafir (mengatakan): Apakah yang dikehendaki Allah dengan bilangan ini sebagai suatu perumpamaan? Demikianlah Allah membiarkan sesat orang-orang yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan tidak ada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia sendiri. Dan Saqar itu tiada lain hanyalah peringatan bagi manusia. (al-Mudassir: 31)
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu malaikat Zabaniah yang tampak bengis lagi kasar. Ini kerana Abu Jahal pernah berkata: Hai orang Quraisy! Tidak mampukah kamu 10 orang di kalangan kamu melawan satu malaikat?"
BAHAYA BESAR
Ada pendapat menyatakan yang berkata itu adalah Kildah bin Khalaf.
Al-Maraghi berkata: "Penjaga neraka adalah malaikat kerana malaikat adalah makhluk terkuat dan terhebat serta makhluk yang amat patuh dalam menunaikan hak Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT menjadikan penjaga Neraka Jahannam itu dalam bilangan sebanyak itu, adalah untuk menimbulkan keyakinan kepada orang Yahudi dan Nasrani terhadap kenabian Muhammad SAW. Ini disebabkan persamaan yang terdapat di antara al-Quran dengan kitab-kitab mereka."
Sesungguhnya penjaga neraka itu walaupun bilangan hanya 19 malaikat, tetapi mereka ini mempunyai pembantu-pembantu yang tidak diketahui jumlahnya kecuali Allah SWT yang mengetahuinya dan neraka Saqar yang digambarkan oleh Allah SWT hanyalah sebagai peringatan kepada manusia.
Firman Allah SWT: Sekali-kali tidak, demi bulan. Dan malam ketika telah berlalu. Dan Subuh apabila mulai terang. Sesungguhnya Saqar itu adalah salah satu bencana yang amat besar. Sebagai ancaman bagi manusia. (al-Mudassir: 32-36)
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu sangat besar neraka Saqar tersebut seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Abbas dan ramai ulama salaf."
Al-Maraghi berkata: "Allah SWT bersumpah dengan bulan yang bersinar, malam yang bertukar ganti dan Subuh yang terang bahawa neraka Jahannam itu adalah salah satu bencana dan bahaya besar sebagai peringatan kepada manusia."
Syed Qutub berkata: "Jarang hati manusia yang segar kerana melihat bulan yang sedang naik atau sedang turun, menghilang kemudian tidak teringat kepada rahsia alam yang dibisikkan oleh bulan. Kadang-kadang berdiri di bawah cahaya bulan boleh menyucikan hati seseorang."
Jarang hati manusia segar melihat malam berlalu dalam saat yang tenang menjelang naiknya matahari dan ketika alam mula sedar dan membuka matanya kemudian tidak terlekat kesan pemandangan dalam hatinya serta tidak berdenyut dalam lubuk jiwanya.
Jarang hati manusia segar kerana melihat waktu pagi yang terserlah dengan sinarnya yang terang kemudian tiada perasaan gembira dan riang menghasilkan fikiran terbuka dan perasaan yang berubah untuk bersedia menerima hidayah yang memancar dalam hati nurani bersama cahaya pagi.
Allah telah menciptakan hati manusia itu tahu pemandangan alam kadang-kadang boleh membawa kepada perubahan yang menakjubkan dengan penghasilan insan yang baru.
Terserlahnya pancaran dan sambutan yang wujud pada bulan, malam dan waktu pagi, terdapat hakikat besar yang menarik yang dijadikan objek oleh al-Quran supaya difikir oleh akal. Ia juga terdapat bukti yang menunjukkan kudrat Allah SWT yang amat kreatif dan pentadbiran-Nya yang bijaksana dalam mengaturkan alam buana dengan cara yang begitu rapi dan halus yang mengkagumkan akal kita.
Semoga kita sentiasa mendapat petunjuk daripada-Nya dan seterusnya melayakkan kita mencapai mardhatillah yang dapat menghuni syurga-Nya.
No comments:
Post a Comment