Monday, May 28, 2012

WASPADA SINDIKET CUCI BARANG KEMAS

Mohamad Nasir (tengah) menunjukkan barangan kemas dan peralatan digunakan
suspek yang berjaya dirampas.
MUAR – Sindiket mencuri emas dengan menggunakan kaedah cucian tumpas apabila 21 suspek ditahan polis dalam serbuan di sebuah hotel pada 25 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, kumpulan terbabit menawarkan khidmat mencuci barangan kemas dengan harga serendah RM3 hingga RM5, sebelum memperdayakan mangsanya.
Menurutnya, tawaran tersebut diberikan apabila usaha memujuk mangsa untuk membeli barangan kemas tiruan yang dijual dengan harga belasan ringgit hingga ratusan ringgit tidak berjaya.
“Suspek akan pergi ke rumah- rumah di sekitar Muar untuk menawar perkhidmatan cucian dan juga menjual barang kemas tiruan.
“Tanda disedari mangsa, kaedah cucian yang dilakukan suspek dengan menggunakan cecair kimia itu, telah menyusutkan sebanyak 20 peratus emas asal milik mangsa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, semalam.
Mohamad Nasir berkata, suspek kemudiannya akan memproses untuk membentuk semula emas yang susut ketika cucian dilakukan menggunakan cecair kimia.
Katanya, kumpulan yang didalangi tujuh warga tempatan dan melibatkan 14 warga China itu menyewa lima bilik salah sebuah hotel di bandar ini yang dijadikan lokasi memproses emas bertujuan untuk mengaburi pihak berkuasa.
Kegiatan yang mula beroperasi pada 23 Mei lalu katanya, terbongkar apabila pekerja hotel terbabit terhidu bau kuat kimia dari bilik berkenaan dan akhirnya membawa penemuan kegiatan tersebut.
Beliau berkata, Sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Muar yang diketuai oleh Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor, menyerbu hotel itu dan menahan 21 suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun pada jam 10.30 malam.
Dalam serbuan tersebut mendapati suspek baru selesai memproses dan membentuk semula emas yang susut itu.
“Siasatan awal mendapati, suspek berjaya memperdayakan 20 mangsa di daerah ini selepas berkunjung ke rumah mereka.
“Sebelum ini, kumpulan ini beroperasi di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka, sebelum berpindah ke Muar,” katanya.
Katanya lagi, polis percaya terdapat saki baki ahli kumpulan terbabit yang masih aktif .
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada sekiranya mereka didatangi sekumpulan individu yang menawarkan khidmat mencuci barang kemas.

No comments:

Post a Comment