SENAI - Laluan pejalan kaki 'boardwalk' pesisir pantai di Taman Negara Tanjung Piai ditutup kepada pengguna kerana mengalami kerosakan akibat dilanda ombak besar, malam tadi.
Pengarah Taman Negara Johor, Suhairi Hashim berkata, bagaimanapun operasi taman itu tidak terjejas dan dibuka kepada umum seperti biasa.
"Kita dapat laporan malam tadi air pasang besar dan arus deras berlaku di kawasan terbabit menyebabkan kayu balak hanyut melanggar 'boardwalk' ini, menyebabkan ia tidak berada di landasan yang sepatutnya.
"Kerja-kerja membaiki membabitkan 100 meter laluan yang rosak sedang giat dilakukan yang dijangka siap dalam tempoh seminggu.
"Orang ramai masih boleh berkunjung ke Taman Negara Tanjung Piai dengan melalui laluan alternatif, melalui laluan bakau," katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Suhairi berkata, laluan pejalan kaki sejauh lebih 500 meter di pesisir pantai itu dibuka kepada umum sejak awal Jun lalu.
Taman Negara Johor Tanjung Piai popular sebagai lokasi pelancongan kerana lokasinya yang terletak paling selatan di benua Asia.
No comments:
Post a Comment