Friday, August 16, 2013

NASI AYAM BAKAR-SEKSYEN 15 SHAH ALAM

Mohd. Fadzil Mohd. Halime (kanan) bersama rakan kongsinya, Hasnuddin Ahmad.

TIDAK hanya setakat itu, limpahan kicap cair dan juga pes cili menjadikan sajian nasi ayam bertambah enak apabila terasa kepedasan dan kemasinannya seimbang.
Hari ini kita boleh melihat di merata-rata tempat terdapatnya restoran yang menjual nasi ayam tidak kira nasi ayam biasa mahupun nasi ayam Hainan.
Jika kedua-dua sajian nasi ayam ini dapat dilihat perbezaan daripada cara masakan ayamnya iaitu goreng dan kukus, yang terbaharu kini berada di pasaran ialah nasi ayam bakar.
Yang membezakan hanyalah cara masakan ayamnya dan ia juga dilihat satu hidangan sihat apabila ia dimasak secara bakar.
Namun begitu, nasi yang disajikan masih lagi rasanya sama seperti nasi-nasi ayam lain yang dijual.
Menurut pemilik Restoran Rawang Nasi Ayam Bakar, Mohd. Fadzil Mohd. Halime, 45, idea untuk menghasilkan nasi ayam di mana ayamnya dibakar tercetus apabila terfikir bagaimana hendak menyajikan satu hidangan sihat kepada masyarakat.
Ini kerana menurutnya lagi, dengan keadaan sekeliling yang dilihat ‘semakin tidak sihat’, dia sebagai seorang pengusaha makanan ingin tampil sesuatu yang mampu memberi kebaikan kepada pelanggannya.
Berbicara lanjut mengenai nasi ayam yang dijual di restorannya, ulas Mohd. Fadzil, kedainya hanya menyajikan ayam segar setiap hari untuk dinikmati para pelanggannya.
Selain ingin menjaga kualiti, pihaknya juga percaya makanan yang dihasilkan daripada bahan-bahan segar rasanya sangat enak.
“Kami di sini sememangnya menyajikan sajian segar di mana ayam-ayam untuk nasi ayam ini dibeli setiap hari untuk menjamin kesegarannya.
“Ini secara tidak langsung nasi ayam di sini berkualiti dan pada masa yang sama kami turut menjaga setiap pelanggan yang hadir untuk menikmati hidangan di sini," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di No. 12G, Jalan Pahat 15/J, Kompleks Otomobil, Seksyen 15, Shah Alam.
Dibuka setiap hari bermula 11 pagi hingga 12 tengah malam, Mohd. Fadzil menyatakan pihaknya membakar ayam dengan menggunakan periuk khas yang bernama Apollo.
Dengan periuk ini, ia mampu mengekalkan bau aroma ayam tersebut selain ayam tersebut akan dimasak sekata.
Bukan itu sahaja malah Mohd. Fadzil turut memberitahu keenakan pes cili yang disajikan di restorannya turut menggamit kehadiran pelanggan untuk menikmati nasi ayam bakar di situ.
Dihasilkan daripada resipi ibunya sendiri secara tidak langsung menjadikan gabungan ayam bakar dan juga pes cili tersebut satu hidangan yang lazat.
Pada masa yang sama keenakan rasa nasi itu sendiri, ayam serta pes cili yang dihidangkan bersama turut memainkan peranan penting dalam menentukan hidangan tersebut sedap ataupun tidak.
Nasi ayam yang disediakan di restoran ini juga lembut dan keenakannya ditambah pula dengan keranggupan timun jepun yang dihidangkan bersama ayam bakar.
Turut disajikan bersama semangkuk sup, Rawang Nasi Ayam Bakar juga boleh dinikmati bersama hidangan sampingan lain seperti kerabu mangga, taugeh celur, dan tauhu Jepun.
Hanya RM5.50 bagi sepinggan nasi ayam, ia dilihat satu harga yang amat berbaloi dan hidangan ini juga boleh didapati dalam bentuk set.
Untuk sepanjang bulan Ramadan ini, Restoran Rawang Nasi Ayam Bakar akan dibuka setiap hari tetapi hanya memulakan operasi pada pukul 5 petang hingga 12 tengah malam.
Jelas Mohd. Fadzil, pihaknya menyediakan hidangan dalam bentuk set yang berharga RM10, terdiri daripada nasi ayam, air (bandung cincau, sirap limau atau air panas), kuih-muih, dan bubur.

No comments:

Post a Comment