Monday, October 28, 2013

CASA CRYSTAL-TAMAN SRI RAMPAI, KL


ANTARA makanan laut yang boleh dipilih pelanggan seperti kerang , lala, ketam, kupang dan siput buluh.

BAGI mereka yang gemar menikmati hidangan sihat dan enak, pastinya Casa Crystal, Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur merupakan pilihan yang tepat.
Restoran yang berkonsepkan Buffet Steamboat ini sangat istimewa kerana menggunakan batu kristal bagi menggantikan kuali dan periuk.
Pemiliknya, Nur Zameera Zabir, 28, berkata, apabila menggunakan batu kristal, pelanggan tidak perlu menggunakan mentega untuk memanggang makanan.
"Mereka hanya perlu letak makanan di atas batu kristal dan pelanggan tidak perlu menunggu lama kerana batu tersebut akan panas dalam masa 30 saat.
"Jus dalam daging akan keluar dengan sendirinya apabila menggunakan batu kristal, selain turut mengekalkan rasa asli makanan yang dipanggang," ujarnya.
Menurut Nur Zameera yang juga penggemar makanan stimbot, penggunaan batu kristal yang diimport khas dari China itu juga mampu menyegarkan daging yang dipanggang dan membunuh kuman di dalam makanan.
Selain menawarkan hidangan sihat, harga yang ditawarkan amat berpatutan iaitu RM29.90 bagi dewasa, RM15.90 kanak-kanak dan RM24.90 pelajar.
Malah terdapat pelbagai jenis makanan laut yang disediakan di restoran tersebut yang pastinya menambat selera pengunjung.
Antaranya lokan, kupang, siput buluh, kepah, ketam, udang dan bermacam lagi. Tidak cukup dengan itu, pelbagai jenis bebola daging dan ayam yang telah diperap sedia untuk dipanggang atau dikukus.
Pilihan sayuran pula adalah pelbagai seperti sayur berdaun hijau, cendawan butang, bunga kubis, brokoli, lobak merah dan banyak lagi.
Lebih mengenyangkan sekiranya sajian pilihan anda itu dicampur dengan mi, bihun atau kuey tiaw yang direbus di dalam periuk berisi kuah tom yam, sup ayam atau sup Thai.
Tambahnya, terdapat empat jenis sos yang disediakan iaitu sos pedas, manis, lada hitam dan Thai.
Manakala, bagi yang mahu makan makanan berat, pilihan nasi lemak, nasi goreng, mi goreng dan spageti sedia menanti.
Pemanis mulut yang menjadi pelengkap hidangan tidak dilupakan. Terdapat aneka pilihan antaranya cendol, ABC dan ais krim.
Menurut Nur Zameera, santan yang digunakan bagi pemanis mulut adalah santan sawit.
"Jarang pengusaha restoran menggunakan santan ini dalam hidangan mereka. Selain rasanya yang sedap, ia juga kurang kolestrol.
"Pengunjung boleh menikmati sepuasnya makanan di sini tanpa perlu risau akan kesihatan mereka," katanya yang merupakan bekas guru bahasa Inggeris.
Bagi mereka yang mahu mengadakan majlis tertutup, Casa Crystal turut menyediakan bilik khas yang memuatkan 20 orang tanpa caj tambahan.
Restoran yang terletak di Tingkat 1, Jalan Rampai Maju, Taman Sri Rampai itu dibuka setiap hari bermula pukul 5 petang sehingga 11 malam.
Untuk maklumat lanjut mengenai restoran tersebut, layari laman Facebook Casa Crystal.
Bagi sebarang tempahan, bolehlah hubungi Nur Zameera di talian 010-9068849.

No comments:

Post a Comment