Monday, October 28, 2013

KAW KAW BURGER BAKAR-SEKSYEN 2 WANGSA MAJU


Pencetus fenomena burger bakar Zul dan Nita.

BERMULA hanya dengan gerai kecil yang begitu popular dengan burger bakar di Seksyen 2, Wangsa Maju, kini Kaw Kaw Burger telah mempunyai tujuh cawangan di sekitar Lembah Klang.
Cetusan idea dua sahabat Mohd. Faizul Baharudin dan Nini Haznita Muhammad yang mencetuskan fenomena burger bakar membuatkan pelanggan sanggup beratur sehingga tiga jam hanya untuk merasainya.
Kini dua sahabat ini tidak berhenti di situ saja tetapi terus merevolusikan menu burger yang pelbagai.
Terdapat pelbagai jenis burger antaranya menu tempatan Burger Permaisuri dengan serunding dan sos serai istimewa.
Pelanggan juga boleh merasa Smokynizer iaitu daging segar dengan kombinasi mayonis salai dengan jeruk cili yang membangkitkan selera.
Mereka yang gemarkan kambing boleh memesan Lambernizer yang menggunakan 100 peratus patty kambing Australia yang dibakar secukup rasa dan ditambah dengan sos salsa segar.
"Selain itu kami memberikan peluang kepada pelanggan untuk memilih jenis pattytopping, keju dan sayuran yang dinamakan mengikut kesukaan masing-masing.
"Ini memberikan kelainan kepada pelanggan yang mungkin tidak makan daging, gemar makan sayur atau mempunyai pilihan keju masing-masing," kata Nita.
Jelas Zul, untuk pelanggan mereka menawarkan patty ayam, lembu, kambing dan cendawan dengan lebih 15 jenis sos, pelbagai jenis roti, keju dan sayuran untuk dipilih.
"Kami berharap pelanggan akan menggunakan kesempatan ini untuk datang dan mencuba burger bakar yang mereka reka sendiri di sini," katanya.
Jelas Zul, mereka juga menyediakan perkhidmatan katering bagi pelanggan mengadakan jamuan di rumah.
"Kami juga menyediakan khidmat nasihat dan bekalan produk bagi usahawan yang berminat untuk membuka perniagaan burger bakar," katanya.

No comments:

Post a Comment