Tuesday, November 19, 2013

KURANG 1% KOPITIAM ADA SIJIL HALAL

Tidak dinafikan, industri kopitiam begitu popular kerana perniagaan itu dianggap unik dengan hiasan dalaman dan keenakan hidangan untuk pelanggan.

Berdasarkan maklumat daripada Bahagian penyelidikan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij), jumlah kopitiam di negeri ini yang mempunyai sijil halal adalah tidak sampai satu peratus .

Ia diakui Penolong Pengarah, Hal Ehwal Islam, Unit Pengurusan Halal Jaij, Mohd Mahzan Ibrahim, kepada wartawan Sinar Harian, melalui satu sesi temu bual, baru-baru ini mengupas isu halal membabitkan kopitiam di negeri ini.

Isu halal sensitif kepada umat Islam, pemantauan dan penguatkuasaan bukan sahaja dilakukan bagi memastikan pemilik sijil halal mematuhi peraturan ditetapkan malah Jaij turut menjalankan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan bagi perbahasan halal.


Apakah takrifan bagi aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan halal?

MOHD MAHZAN: Semua kilang produk atau restoran termasuk premis makanan atau rumah sembelihan yang telah mendapat sijil halal daripada pihak berautoriti atau yang meletakkan label atau logo halal selain perbahasan halal perlu dibuat pemantauan supaya tiada sebarang keraguan timbul daripada pihak pengguna dan nasihat serta teguran dapat diberikan kepada pihak pengusaha.

Selain itu, pemantauan yang dijalankan juga dapat memberi keyakinan kepada pengguna tentang status halal dan kesucian tersesuatu produk dikeluarkan atau sajian makanan disediakan.

Pemeriksaan dan pemantauan dijalankan terikat dari segi undang-undang kepada Akta Perihal Dagangan 2011 membolehkan tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan dilakukan apabila perlu dan berkaitan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasan Halal) 2011.


Bagaimana percambahan kopitiam di Johor?

MOHD MAHZAN: Berdasarkan perkembangan dilihat, kebanyakan kopitiam  beroperasi secara turun temurun, selain kewujudan kopitiam moden yang telah dikomersialkan secara francais.

Berdasarkan pertemuan kami dengan pengusaha kopitiam di negeri ini, mereka mengakui menjual kopi yang dibuat sendiri, roti bakar yang dihidangkan bersama kaya yang dimasak sendiri, selain telur separuh masak.


Berapa banyak kopitiam yang memohon sijil halal, berapa banyak yang telah diluluskan dan berapa yang masih tertangguh?

MOHD MAHZAN: Di negeri ini, hanya 17 kopitiam yang memiliki sijil halal namun ia adalah kopitiam di bawah label yang sama.

Sebanyak 30 permohonan termasuk dikemukakan oleh kopitiam persendirian, namun yang diluluskan adalah 17 sahaja iaitu kopitiam dibuat secara francais.

Kita tidak nafikan jumlah yang memohon untuk memperoleh sijil halal adalah masih rendah dalam kalangan pengusaha kopitiam. Berdasarkan jumlah 17,000 premis makanan hanya 150 premis yang mempunyai sijil halal ia termasuk kopitiam francais.

Bagaimanapun sebagai pengguna Islam kita mempunyai kuasa untuk tidak makan di premis yang tidak mempunyai sijil halal khususnya premis makanan yang diusahakan oleh orang Islam.

Berdasarkan pemantauan yang kita lakukan, pengusaha kopitiam tidak dapat dedahkan bahan yang digunakan khususnya untuk membuat roti dan kaya yang digunakan.

Mereka mengakui kaya dimasak di rumah sekaligus pemantauan bahan-bahan digunakan tidak dapat dilaksanakan.

Untuk pengetahuan, telur yang digunakan perlu dibasuh terlebih dahulu, kita juga perlu memastikan adakah mereka membasuhnya terlebih dahulu apatah lagi ia disediakan di rumah oleh orang bukan Islam.

Selain itu, dapur digunakan untuk menghasilkan kaya  mestilah tidak bercampur ketika memasak  makanan tidak halal selain peralatan digunakan. Disebabkan ianya tidak jelas maka sijil halal tidak dapat dikeluarkan.


Walaupun masih banyak kopitiam milik pengusaha bukan Islam namun masih banyak pelanggan dari kalangan orang Islam masih menjadi pelanggan mereka.

MOHD MAHZAN: Kita akui hidangan dijual di kopitiam mempunyai penggemar mereka sendiri daripada kalangan pelanggan Islam. Melalui pemantauan yang dilaksanakan terdapat pengusaha yang menggunakan taktik tertentu untuk menarik pelanggan.

Terdapat juga pengusaha kopitiam yang mendapatkan khidmat pekerja Islam untuk bekerja di premis mereka. Secara psikologinya sudah tentu ia dapat menghilangkan rasa syak pelanggan untuk singgah ke kedai mereka apabila terlihat pekerja Islam turut bekerja di situ termasuk menyediakan minuman dan sebagainya.

Walaupun mengajikan pekerja Islam ia tidak menjamin kesucian makanan yang ditawarkan.


Apakah Istilah digunakan oleh premis termasuk perbahasan halal untuk menarik pelanggan Muslim?

MOHD MAHZAN: Taktik ini adalah kebiasaan yang digunakan premis makanan khususnya bagi pemilik bukan Islam iaitu mempamerkan tanda halal atau ditanggung halal selain menyatakan menjual makanan Islam.

Selain itu, terdapat juga yang menggunakan daftar syarikat bercirikan Islam menggunakan nama-nama bercirikan Islam atau menggunakan nama premis diambil daripada bahasa Arab.
Mempamerkan imej yang melambangkan Islam seperti gambar kubah, masjid dan ayat al-Quran adalah tidak dibenarkan oleh pengusaha premis makanan.

Ia seolah-olah cuba mengaburi mata pengguna Islam  melalui penggunaan imej bercirikan Islam.


Bagaimana proses untuk pemilik kopitiam mendapatkan sijil halal?

MOHD MAHZAN: Permohonan hendaklah menyediakan fail khas syarikat ‘Fail Pengesahan Halal Negeri Johor’ bagi menyimpan semua dokumen berkaitan supaya mudah untuk dirujuk apabila pemeriksaan dijalankan ke atas premis tersebut.

Bagi permohonan pembaharuan Sijil Halal hendaklah dikemukakan sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum tarikh tamat sijil sedia ada berserta salinan dokumen yang lengkap.


Adakah pihak Jaij memperoleh kes berkaitan penipuan sijil dan logo halal membabitkan pengusaha kopitiam?

MOHD MAHZAN: Setakat ini kita tidak mempunyai kes berkaitan penipuan logo dan sijil halal oleh pengusaha kopitiam di negeri ini, bagaimanapun kes membabitkan logo halal tidak diiktiraf membabitkkan premis makanan pernah, namun bukan kopitiam.

No comments:

Post a Comment