Begitulah rutin Pak Tam atau nama sebenarnya, Mohd. Asri Ismail di gerainya yang telah dibuka sejak enam tahun lalu.
Nasi ayam Hainan dan bihun sup kalut merupakan menu utama di gerai yang dikunjungi oleh pelanggan-pelanggan tetapnya terdiri daripada pekerja kilang berdekatan, pekerja pejabat dan penduduk di taman-taman perumahan berdekatan.
Menurut Pak Tam yang membuka gerai bersama isterinya, Mieza Ismail, terdapat pelanggan yang tidak jemu-jemu makan nasi ayam dan bihun sup kalutnya setiap hari. Hari-hari apabila mereka datang ke gerainya, makanan itu jugalah yang dipesan sehingga Pak Tam sendiri naik risau dengan keadaan tersebut.
Apa yang saya risaukan, kalau sudah setiap hari makan makanan yang sama, suatu hari kalau dia jemu, dia tak akan datang langsung ke sini, ujar Pak Tam yang ditemui di gerainya baru-baru ini.
Kebiasaannya nasi ayam Hainan dihidangkan bersama ayam yang direbus dan berwarna putih.
Namun ayam di gerai Pak Tam digoreng kekuningan bagi memenuhi selera pelanggan Melayu yang merupakan golongan terbesar.
Ayam yang dihidangkan bersaiz besar dan isinya lembut. Paling istimewa ialah sambal yang disediakan bagi pelanggan yang sukakan pedas.
Rasa nasi dan ayam serta sup yang kekal lazat tidak berubah, merupakan antara sebab pelanggan terus datang ke situ.
Sebelum digoreng, ayam akan direbus dahulu supaya darahnya tidak kelihatan ketika memotong ayam. Ini juga bagi memastikan tulang ayam lembut dan benar-benar masak.
Sup ayam juga berbeza daripada orang lain kerana saya tidak menggunakan kiub ayam sebaliknya menggunakan kaki-kaki ayam dan tulang supaya rasa sup lebih manis.
Nasi ayam pula saya gunakan beras wangi yang dicampur dengan beras biasa. Bagi sepinggan nasi ayam, harganya cuma RM5 sahaja, kata Pak Tam yang membuka gerainya dari pukul 12 tengah hari hingga 1 pagi setiap hari.
Selain nasi ayam, bihun sup Pak Tam yang dinamakannya Sup Kalut antara tarikan utama.
Mempopularkan bihun sup utara, rencahnya ialah daging, tulang, perut dan ayam. Tambah menambat selera untuk hidangan ini ialah sambal merah yang dibuat daripada serbuk cili yang dicampur gula merah dan bawang merah.
Sengaja saya beri nama tersebut kerana apabila pelanggan datang, memang nampak jelas mereka kalut nak makan dan pekerja pula kalut nak siapkan, tapi melihat mereka sedang makan memang seronok kerana mereka begitu bersungguh-sungguh.Satu mangkuk cuma RM4.50 dengan satu rencah tetapi kalau ingin rasa semua rencah harganya lain pula,â katanya.
Pak Tam yang juga bekas pegawai perhubungan awam sebuah syarikat rekaman dan pernah menguruskan beberapa artis terkenal seperti Awie, Ziana Zain, Ning Baizura, Exist, Search, Slam dan ramai lagi, berkata, jika pada sebelah siang dia berniaga nasi ayam dan sup kalut, pada waktu malam pula menu berubah kepada masakan Thai.
Hidangan disediakan oleh seorang tukang masak yang didatangkan dari Pattani, Thailand, iaitu Husin Ismail.
Makanan yang dimasak adalah masakan Thai tulen dengan menggunakan banyak cili api dan limau nipis.
Antara yang istimewa ialah tom yam Songkla, kerabu mangga, ikan siakap laprik, ikan sam sing tiga rasa dan tomyam kelapa.
Pak Tam Sri Corner turut mempunyai cawangan di Universiti Malaya dan gerai baru yang dibuka November ini di SS13, Petaling Jaya.
Kepada anda yang ingin menikmati makanan atau menempah untuk sesuatu majlis atau kenduri tahlil dan sebagainya di Pak Tam Sri Corner, bolehlah berkunjung ke Lot 58213, Jalan Samudera Utama, Taman Samudera, Batu Caves.
No comments:
Post a Comment