Saturday, December 27, 2014

DOPE ALLEY BOAT NOODLE-SUBANG JAYA

Jika di sini nasi lemak menjadi hidangan penting ketika sarapan, di Thailand pula hidangan Kuetiau Reua atau boat noodle menjadi makanan ruji mereka.
Selain boleh menikmatinya di pinggir-pinggir jalan, bagi mereka yang biasa mengunjungi pasar terapung di sana, pastinya warung boat noodle menjadi pilihan untuk menjamu selera.
Tidak perlu pergi jauh sehingga ke Thailand untuk menikmatinya kerana di Dope Alley, anda boleh menikmati hidangan boat noodle yang tidak perlu diragui status halalnya kerana pemiliknya adalah seorang Muslim.
Walaupun baru beroperasi selama sebulan, restoran ini semakin dikenali dalam kalangan penduduk SS15, Subang Jaya, Selangor, kerana kepakaran mereka yang terletak pada menu makanan jalanan ala Thai yang cuba diketengahkan.
Menampilkan konsep yang agak berbeza dengan restoran Thai yang lain, menjadi sebab mengapa menjadi pilihan anak-anak muda menjamu makan malam mereka bersama teman-teman selepas habis waktu bekerja.
Baru berusia 23 tahun, pemiliknya, Muhammad Syamim Abd Rahman ternyata bijak menarik perhatian pelanggan melalui kepelbagaian menu asli jalanan dari Thailand seperti boat noodle, somtam, dan barbeku makanan laut.
Mula tertarik dengan perniagaan makanan jalanan Thai ketika masih di zaman belajarnya yang ketika itu pernah dibawa melawat ke Thailand untuk melihat cara kerja dan perniagaan masyarakat di sana memandangkan dia pelajar pentadbiran perniagaan.
“Saya lihat di warung-warung tepi jalan sentiasa dipenuhi pelanggan walaupun menu makanan yang ditawarkan sangat ringkas dan saya mula terfikir untuk membawa stail tersebut ke pasaran Malaysia.
“Tapi masa itu masih lagi belajar, kewangan pun tak kukuh lagi. Bila tamat sahaja belajar, saya membuat keputusan untuk membuka sebuah restoran dan saya bernasib baik kerana saya mengurusnya bersama rakan yang mempunyai sedikit pengalaman dalam perniagaan makanan Thailand,” katanya ketika ditemui di Dope Alley, baru-baru ini.
Bagi memenuhi konsep jalanannya, sengaja Muhammad Syamim mencari meja dan kerusi kayu seolah-olah pelanggan dapat menikmati hidangan dalam suasana hiruk-pikuk jalanan di tengah-tengah kota.
Turut membuka bahagian belakang restoran, lorong yang dahulunya gelap dimanfaatkan Syamim untuk menyediakan bahagian barbeku dan tempat makanan terbuka untuk pelanggan yang merokok.
Sementara itu, melihat keadaan dapur terbuka, pelanggan dapat melihat makanan mereka disiapkan seterusnya dapat memastikan kebersihan yang diterapkan ketika memasak.
Ketika memesan makanan, terlihat hampir kesemua meja pelanggan dipenuhi dengan mangkuk yang tersusun bertingkat-tingkat.
Bermain pelbagai persoalan bagaimana mereka mampu menghabiskan setiap mangkuk yang dipesan.
Apabila hidangan boat noodle yang dipesan sudah tiba, makanan yang dihidangkan di dalam mangkuk seramik yang kecil hanyalah memenuhi dua suapan barulah saya faham mengapa pelanggan-pelanggan lain memesan jumlah yang banyak.
Dengan harga RM1.90 setiap mangkuk, pelanggan pastinya tidak kisah mengeluarkan wang untuk menikmati hidangan negara jiran tersebut kerana harganya juga sangat murah.
Kata Syamim, mangkuk tersusun bertingkat-tingkat adalah pemandangan biasa bagi mereka yang menikmati hidangan boat noodle dan merupakan signatur setiap restoran yang menawarkan boat noodle sebagai hidangan utama.
“Tiada jumlah minimum yang perlu dipesan dan semuanya terserah kepada pelanggan. Bagi pelanggan yang baru mahu mencuba hidangan boat noodle, biasanya kami akan mencadangkan mereka memesan lima mangkuk dahulu dan kami yakin selepas itu pasti mereka mahu menambah pesanan lagi,” katanya.
Memberi dua pilihan kepada pelanggan sama ada memilih mi jernih bersama hirisan dan bebola ayam ataupun mi jernih bersama hirisan serta bebola daging, dengan empat penambah perasa seperti serbuk cili, sos bawang putih masam, sos ikan, dan gula pastinya membangkitkan selera masing-masing.
Selain boat noodle, hidangan yang wajib dicuba adalah salad betik Thai iaitu somtam yang dihidangkan bersama telur masin, kekacang, dan ketam. Bagi mereka yang gemarkan sesuatu yang pedas, somtam adalah pilihan terbaik mereka.
Menggunakan bahan-bahan asli dari Thailand, dia akan memastikan status halal dan kualiti dalam setiap bahan yang digunakan. Syamim juga mengambil kepakaran memasak dari sana untuk mengekalkan keaslian rasa.
“Kami juga menawarkan seksyen barbeku makanan laut untuk pelanggan, Hidangan sotong bakar dan kerang bakar akan disertakan dengan sos pedas yang berbeza tiap satu tetapi kedua-duanya masih mengekalkan rasa asli Thai,” katanya,
Menu minuman juga mengetengahkan rasa sebenar Thailand dan anda perlu mencuba Teh Ais kerana mereka menggunakan teh dari sana yang berlainan rasanya, Warnanya juga lebih pekat. Turut mencuba air campuran buah-buahan daripada rambutan, nenas dan asam boi, anda hanya boleh mendapatkannya di Dope Alley.
Terletak di AG-5, Jalan SS15/4D, Subang Jaya, Selangor, Dope Alley memulakan waktu perniagaannya bermula pukul 12 tengah hari sehingga 11 malam.

POT'S INDUSTRIES-JB

MELIHAT rekaan restoran dan lokasinya, pasti pengunjung akan tertanya-tanya adakah makanan yang dihidangkan di kedai tersebut halal dan harganya terlalu mahal? Namun setelah berkunjung ke sana, pasti seseorang itu mahu kembali menjamu selera di restoran yang sama, selain turut terpanggil untuk mempromosikannya kepada rakan-rakan dan ahli keluarga.
Ini kerana Pot's Industries yang beralamat di No. 29C, Jalan Skudai, Johor Bahru bukan sahaja menyajikan pelbagai masakan barat dengan harga berpatutan, malah turut menghidangkan menu dengan cita rasa tempatan.
Restoran yang beroperasi tidak jauh dari pusat bandar raya Johor Bahru itu berhadapan dengan kawasan komersial Danga Bay. Ia mula dibuka pada 16 Ogos lalu dan kini menjadi salah sebuah restoran popular di Johor Bahru.
Menyajikan lebih 30 menu makanan barat serta lebih 30 pilihan minuman, restoran ini beroperasi dari pukul 3 petang hingga 11 malam setiap hari kecuali Isnin. Antara menu yang mendapat sambutan di Pot's Industries adalah chicken breast stuffed with creamy mushroom ragout, seafood fiesta, pots beef burger, eggs benedicts, chicken wings, buffalo wings dan smoked salmon and apple salad.
Harga makanan juga tidak semahal jika dibandingkan dengan restoran lain yang menyajikan menu yang sama. Malah lebih mengujakan, restoran ini menghidangkan makanan dalam kuantiti besar yang boleh dikongsi bersama, selain memberi lebih peluang kepada pengunjung untuk menikmati menu berbeza.
Selain itu, pengunjung yang meminati dunia retro dan vintaj pasti teruja melihat hiasan dan perabot di Pot’s Industries. Ini kerana hampir kesemuanya dihasilkan daripada bahan terpakai.
Restoran yang diasaskan oleh tiga sahabat iaitu Nurizzat Abu Talip, 28, Khaleena Khalid, 33 dan Mohd. Yusry Bacok, 29, itu turut menerima sambutan baik daripada warga bandar raya ini, malah turut dikunjungi pelanggan dari Singapura.
Nurizzat yang mesra dengan panggilan Izzat berkata, restoran itu berkonsepkan gaya hidup generasi muda yang mempamerkan rekaan tersendiri.
“Kami juga menawarkan beberapa perkhidmatan lain seperti memulih dan mengubah suai motosikal, butik pakaian serta kedai peralatan luncur air.
“Makanan yang disajikan di restoran ini menggunakan bahan-bahan asas berkualiti bagi mengekalkan cita rasa yang tersendiri demi kepuasan pelanggan. Walaupun masih baharu, namun restoran ini mendapat sambutan menggalakkan khususnya dari pukul 6 petang sehingga 11 malam,” katanya yang merancang untuk menambah kapasiti restoran tersebut dalam waktu terdekat kerana kini ia hanya mampu memuatkan 60 pelanggan dalam satu masa.

RAHSIA MINUM AIR LEMON SETIAP PAGI

kecantikan
Umum tahu buah lemon dapat membantu mengurangkan masalah kulit seperti jerawat jika anda mengamalkan menyapu perahan air lemon pada wajah. Selain itu, meminum air lemon suam pula dapat menjadikan kulit yang kusam kelihatan lebih bersinar dan dapat berfungsi sebagai antioksida untuk mencegah penuaan.
Air lemon merupakan diuretik semula jadi yang dapat membantu tubuh untuk menyingkirkan cecair bersama-sama dengan toksin. Asid sitrik yang terkandung dalam buah lemon dapat memaksimumkan enzim yang merangsang hati untuk melakukan detoksifikasi.
Seperti yang kita tahu, buah-buahan sitrus sememangnya kaya dengan vitamin C dan asid askorbik yang dapat membantu mengurangkan gejala selesema dan penyerapan zat besi yang turut memainkan peranan dalam fungsi sistem imun.
Kebanyakan orang mengamalkan minum air suam sejurus bangun dari tidur bagi merangsang saluran penghadaman. Air suam yang dicampur dengan lemon dipercayai dapat mengaktifkan dan membersihkan hati.
Lemon merupakan sejenis buah yang bersifat asid, justeru ia mempunyai keupayaan untuk mengurangkan alkali yang tinggi dan menyeimbangkan paras pH terutama kepada mereka yang gemar memakan keju, daging atau alkohol.
Setiap orang mempunyai rutin harian yang tersendiri pada setiap pagi untuk memulakan hari. Ada yang melakukan yoga sejurus selepas bangun tidur, ada yang mengamalkan meminum air kosong dan sebagainya.
Walau apa jua rutin yang diamalkan, sudah pasti ia mempunyai keberkesanan dan kebaikan yang tersendiri terutama untuk tujuan kesihatan dan kecantikan.

Wednesday, December 24, 2014

NASI DAGANG PAK MALAU-LANGKAWI

‘KAJANG Pak Malau kajang berlipat, kajang hamba mengkuang layu, dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang hamba menumpang lalu'. Demikian dialog klasik dari filem popular tahun 60-an, Sri Mersing yang terpampang di atas sekeping papan tanda berlatar belakangkan lukisan kedai makan Pak Malau Nasi Dagang di Jalan Makam Mahsuri, Pulau Langkawi, Kedah.
Bagi penduduk Langkawi, kedai makan Pak Malau Nasi Dagang sudah tidak asing lagi dengan masakan popular Pantai Timur. Malah setiap kali berkunjung ke situ, mereka bukan sahaja dihidangkan dengan keenakan sajian tersebut, tetapi juga pemandangan sekitarnya yang indah dan penuh kehijauan.
Melihat keindahan pemandangan dari kedai makan itu sambil menikmati sepinggan nasi dagang yang sedap, tentulah suasana itu dapat menenangkan fikiran terutamanya dalam kalangan pelancong yang berkunjung ke pulau peranginan terkenal itu.
Pemiliknya yang terkenal dengan jolokan nama Pak Malau dalam kalangan orang kampung, Jamaludin Hashim, 61, serta isteri yang mesra disapa Mak Malau, Zuhariyah Daud, 56, memulakan perniagaan itu sejak dua tahun lalu. Mereka sentiasa memberi layanan istimewa kepada setiap pelanggan yang datang menjamu selera seperti ahli keluarga sendiri.
Antara masakan tradisional Melayu di kedai itu adalah nasi dagang yang disediakan daripada air tangan isterinya yang berasal dari Kelantan dan dibesarkan di Terengganu.
Kata Jamaludin, dia mahu memperkenalkan masakan tradisional dari Pantai Timur itu kepada penduduk tempatan dengan membuka gerai tersebut. Antara lauk pauk yang disajikan adalah gulai ikan, gulai daging, gulai ayam dan acar sayur.
“Saya juga menawarkan harga berpatutan iaitu M5 hingga RM8 bagi setiap seorang dan makanan yang tidak terlalu pedas pula amat bersesuaian untuk kanak-kanak,” ujarnya kepada S2.
Melihat telatah Jamaludin yang sibuk melayan pelanggan dengan beberapa aksinya membuat silap mata, ia sangat menarik perhatian dan sememangnya menjadi kebiasaan baginya untuk memberi layanan istimewa seperti itu kepada pelanggan terutama kanak-kanak.
Dalam pada itu, sentuhan unik dengan menggunakan barangan antik sebagai hiasan dalaman menjadi salah satu tarikan di kedai makan tersebut dan Jamaludin juga berjaya menerapkan nilai-nilai asli Melayu Langkawi di kedai makannya.
Jamaludin yang berasal dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur serta isteri berhijrah ke Langkawi pada 2008 dan sebagai seorang yang gemar berkebun pada waktu lapang, dia mula mendapat idea untuk membuka kedai makan yang mempunyai hiasan bertemakan Melayu asli.
Berbekalkan pengalaman sebagai Pegawai Perhubungan Awam di syarikat Malaysia Airlines (MAS) pada 1976 sehingga 1995, tidak hairanlah dia sangat ramah melayan pelanggan.
Dengan modal sendiri sebanyak RM20,000, Jamaludin berjaya menjadikan kedainya sebagai salah satu tarikan pelancong dan warga tempatan untuk mencuba masakan isterinya yang mahir menyediakan nasi dagang.
Sesuatu yang menarik mengenai kedai itu adalah ia sudah menjadi perbualan hangat di sekitar Langkawi dan juga pelancong luar terutama mereka yang melawat kawasan sekitar seperti Makam Mahsuri yang terletak berdekatan dengan kedai Pak Malau.
Kedai makan yang dibuka dari pukul 8 pagi sehingga 2 petang itu sentiasa menerima kunjungan ramai dan ekoran itu, Jamaludin merancang untuk membuka cawangan keduanya di Kampung Bayas yang terletak lapan kilometer dari pekan Kuah tidak lama lagi.
Salah seorang pelanggan tetapnya, Mahamad Johari Hashim, 45, berkata, dia tidak akan melepaskan peluang untuk menjamah nasi dagang yang rasanya berbeza berbanding dengan nasi dagang lain yang terdapat di Langkawi.
“Masakan ini menepati cita rasa saya, selain kawasan kedai yang tidak sibuk dan pemandangan yang begitu cantik,” katanya.
Begitu juga dengan pelanggan lain, Ameerul Abd. Latif, 30. Baginya harga yang berpatutan dan layanan yang diberi membuatkan dia tidak kekok untuk menjadikan gerai ini sebagai salah satu tempat kegemarannya untuk bersarapan dan juga makan tengah hari.

Tuesday, December 16, 2014

KEDAI SEBELAH-KELANA JAYA

NAMA kedai ini sahaja sudah cukup unik dan menarik, Kedai Sebelah, menimbulkan rasa ingin tahu kepada mereka yang pernah terlihat atau mendengarnya.
Rupanya, cerita pemilik kafe yang baru dibuka Mei tahun ini, Fadzillah Deen, kafe yang lain dari yang lain itu merupakan kesinambungan daripada galeri milik anaknya di lot sebelahnya itu yang dipanggil Kedai.
“Setiap kali ada majlis di Kedai, kami perlu memanggil katering dan ia memakan kos yang kadang-kadang tidak munasabah dengan pilihan dan kualiti makanan.
“Lalu timbul idea untuk membuka kafe di sebelah Kedai dan konsep seperti di rumah merupakan pilihan saya dengan dekorasi yang santai dan menenangkan seperti di rumah serta pilihan makanan yang boleh saya jamin sama seperti ibu-ibu masak untuk anaknya,” ujarnya yang turut menguruskan sebuah agensi pelancongan dalam dan luar negara.
Cerita Fadzillah, Hidangan di dalam menu Kedai Sebelah juga pada mulanya lebih kepada masakan yang sering disediakan di rumah seperti sandwic dan pasta tetapi permintaan semakin bertambah untuk mereka menambah menu mereka.
Tarikan utama sebenarnya bagi Kedai Sebelah ialah harga makanannya yang `mesra rakyat’ di sebalik lokasinya di tengah-tengah bandar Kelana Jaya.
Bayangkan, di Kedai Sebelah, air sirap masih dijual dengan harga 80 sen sahaja, sama seperti harga di luar bandar dan kopi dengan the turut dijual dengan harga RM1 sahaja!
Harga paling mahal dalam menu Kedai Sebelah hanyalah RM12 iaitu Club Sandwich Cheese And Beef PAstrami, Tuna or Eggmayo yang menggunakan daging import dari New Zealand. Tegas Fadzillah, tidak perlu lokek dalam berniaga kerana dia mengamalkan konsep pelanggan dilayan seperti ahli keluarga atau tetamu sendiri.
Penulis tertarik dengan set makan tengah hari yang berharga RM8.50. Setiap set akan dihidangkan nasi dari beras Basmathi, satu jenis lauk ayam, daging atau ikan dengan cara masakan yang berubah-ubah setiap hari dan dihidang bersama sayur, buah dan air.
“Sama seperti ibu-ibu di rumah, mereka akan ke pasar pada waktu pagi dan akan memasak lauk mengikut apa yang menarik didapati dari pasar untuk anak-anak tanpa menu yang khusus. Saya terapkan konsep sedemikian di Kedai Sebelah dan ia merupakan hidangan kegemaran ramai,” ujarnya yang turut mementingkan kesegaran sesuatu bahan masakan yang hanya dibeli setiap pagi.
Bagi yang menggemari pasta, boleh memesan PAsta Aglio Olio resipi Fadzillah sendiri yang dimasak bersama miyak zaitun dan digaulkan bersama bawang putih, serbuk cili dan beberapa herba istimewa bagi membangkitkan rasanya.
Chilli Cheese Fries juga menggoda perut dengan lelehan keju mozarella yang cair di atas kentang goreng yang panas ditambah pula sos daging bolognese melengkapkan rasa dan ia amat sesuai dinikmati ketika sedang bersantai dengan rakan-rakan.
Bagi mereka yang merindui nasi goreng yang dimasak ibu di waktu pagi, boleh memesan Nasi Goreng Embah, resipi istimewa dari ibu mertua Fadzillah untuk cucu-cucnya setiap kali mereka berkumpul di kampung.
Kentang yang dipotong dadu dan digoreng terlebih dahulu sebelum ditambah dalam nasi yang digoreng bersama ikan bilis, bawang, cili api dan telur itu begitu mengenyangkan dengan harga RM4 sahaja!
Melihat dekorasi kedai pula, difahamkan ia merupakan konsep anaknya, Izat Arif, yang membuat sendiri perabot-perabot di dalamnya menggunakan kayu palet yang diimport.

RESTORAN GREASE-SEKSYEN 13 SHAH ALAM

Cheesesteak bukan hidangan yang baharu di negara kita kerana ia sudah terdapat dalam menu masakan Barat di restoran-restoran tempatan, namun selalunya ia hanya dijadikan sebagai menu sampingan.
Jarang sekali pelanggan mahu mencuba rasa hidangan authentic asal dari Philadelphia, Amerika Syarikat, itu kerana merasakan lebih baik mencuba hidangan popular yang dicadangkan oleh pihak restoran berbanding memesan cheesesteak.
Namun, ada segelintir pihak yang mahu mempopularkanya kerana ingin mempelbagaikan hidangan ringan yang menjadi kegemaran anak-anak muda selain piza, burger atau kentang goreng.
Berpeluang merasai sendiri hidangan cheesesteak di Restoran Grease, Presint Alami, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor, ternyata ia bukanlah lokasi buat mereka yang menjaga badan.
Ini kerana di restoran tersebut pengunjung tidak akan dapat mengawal nafsu selera daripada menikmati pelbagai hidangan Barat yang dilimpahi oleh keju yang dicipta sendiri khas dari dapur Grease.
Pemiliknya, Hafiz Asbi, 30, berkata, idea penubuhan restoran tersebut timbul daripada rakan-rakan kongsinya yang gemarkan dengan hidangan ruji Amerika Syarikat itu ketika melanjutkan pengajian di sana.
Mereka lalu mencadangkan untuk membawa hidangan jalanan cheesesteak ke pasaran tempatan.
“Cheesesteak adalah hidangan ringan sama seperti burger tetapi menggunakan roti roll yang panjang, kepingan daging stik yang dicincang segar, serta digaul bersama campuran bawang karamel, garam, lada benggala dan dilimpahi dengan hirisan keju serta sos keju istimewa.
“Cita rasa rakyat Malaysia tidak terlepas daripada mahukan sesuatu yang berempah dan pedas, jadi kami mengolah sedikit resepi asal supaya ia tidak terlalu kering dan membangkitkan lagi rasa supaya sesuai dengan lidah orang kita,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Baru lima bulan beroperasi, menu paling popular di sini tentulah hidangan Texas Chili Cheesesteak, yang disertakan dengan hidangan sampingan jejari kentang dibuat sendiri.
Tidak terlalu berat rasanya, ia sesuai dinikmati oleh semua peringkat umur dan boleh memilih tahap kepedasan yang dimahukan.
Menggunakan perapan daging lembu cincang yang diadun bersama serbuk lada, lada benggala dan ramuan lain yang dimasak bersama cili dan tomato, kemudian dituang ke atas hidangan cheesesteak bersama dengan hirisan keju di atasnya.
Sajian ini enak dimakan dalam keadaan panas kerana mencetuskan rasa unik dan tersendiri.
Memang ada yang mengira kandungan kalorinya, namun nama Grease sendiri membawa maksud berminyak dan berlemak, jadi ia mungkin bukan tempat bagi mereka yang sedang berusaha menurunkan berat badan.
“Terserah kepada mereka, pelanggan-pelanggan tetap di sini pun tahu menilai apa yang kami hidangkan.
“Apa yang penting, kebersihan di dapur amat dititiberatkan selain turut memastikan status halal daging serta ramuan-ramuan lain. Pelanggan tidak perlu gusar tentang perkara ini,” kata Hafiz.
Turut menggunakan konsep sama, mereka yang lebih gemar menikmati kepingan daging yang tebal boleh mencuba Greasy Messy Burger yang menggunakan daging lembu Australia seberat 200 gram.
Menghasilkan sendiri patty, gabungan sos keju istimewa yang sebati dalam roti burger akan mengingatkan anda uuntuk kembali lagi ke Grease Cheesteak.
Sekadar mahu melepak bersama teman-teman tanpa hidangan yang berat, Nachos Chilli Cheese merupakan pilihan yang tepat.
Kepingan jagung tortilla yang dibuat sendiri dan daging cincang yang digaul bersama, cukup menyelerakan.
Kebiasaannya nachos dihidangkan bersama sos tomato yang masam tetapi tidak di Grease kerana mereka mengutamakan rasa Malaysia iaitu berempah dan pedas dalam hidangan tersebut.
“Selain hidangan utama Texas Chili Cheesesteak, pengunjung juga memilih Hot Chicken Wing yang disalut dengan campuran minyak zaitun, paprika dan ramuan istimewa bersama sos mayonis pedas yang dicipta sendiri oleh tukang masak,” kata Hafiz.
Hidangan jalanan ini berharga antara RM10 hingga RM25 dan kenikmatan setiap hidangan yang ditawarkan di Grease pastinya membuatkan anda seakan-akan berada di negara asal hidangan itu.

KAJI SEMULA PENUTUPAN HUTAN LIPUR GUNUNG PULAI

  • Ahli-ahli Kelab Kembara dan Rekreasi Daerah Pontian Kelab Alami Tanjung Kupang bekerjasama mengadakan gotong-royong di Hutan Lipur Gunung Pulai, semalam.Ahli-ahli Kelab Kembara dan Rekreasi Daerah Pontian Kelab Alami Tanjung Kupang bekerjasama mengadakan gotong-royong di Hutan Lipur Gunung Pulai, semalam.
 1 / 1 
PONTIAN - Kerajaan negeri digesa mengkaji semula penutupan Hutan Lipur Gunung Pulai (1) berikutan kawasan rekreasi air terjun itu masih menjadi tumpuan orang ramai berjoging pada awal pagi.

Walaupun masih ditutup kepada orang ramai, namun dianggarkan 1,000 orang datang mengunjungi kawasan tersebut untuk beriadah.

Pengerusi Kelab Kembara dan Rekreasi Daerah Pontian, Md Hudairi Saing, 42, berkata, kawasan yang terletak berhampiran Kampung Gunung Pulai itu mempunyai tarikan meskipun sudah ditutup sejak tujuh tahun lalu.

Menurutnya, kehadiran ramai pelawat pada hujung minggu menyebabkan kawasan tersebut tercemar dengan sampah sarap.

Justeru, Kelab Kembara dan Rekreasi Daerah Pontian serta Kelab Alami Tanjung Kupang  mengadakan gotong-royong mengutip sampah sarap di kawasan tersebut, semalam.

Seramai 50 peserta menyertai program tersebut yang turut mendapat  sokongan Majlis Perbandaran Kulaijaya (MPKu).

Md Hudairi berkata, kawasan kerja-kerja pembersihan melibatkan jarak 5.5 km meliputi kawasan sungai dan laluan ke air terjun.

“Kami bersama ahli mengambil peluang cuti sekolah untuk berganding bahu membersihkan kawasan Hutan Lipur Gunung Pulai (1).

“Kami merancang mengadakan gotong–royong membersihkan Hutan Lipur Gunung Pulai (1) sebagai program tetap kelab,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Kelab Alami Tanjung Kupang Johor Bahru, Shalan Jumat, 28, berkata, pihaknya gembira kerana diberi peluang bersama-sama menjayakan gotong-royong bagi memberi pendedahan kepada ahli kepentingan menjaga alam sekitar.

Katanya, sebelum ini pihaknya melakukan kerja pembersihan di kawasan pantai dan tempat rekreasi  lain sesuai dengan konsep penubuhan Alami yang menyayangi alam sekitar.

TERMINAL PENGANGKUTAN AWAM PONTIAN KOTOR

  • Omar (kanan) menunjukkan keadaan lantai yang dipenuhi najis burung.Omar (kanan) menunjukkan keadaan lantai yang dipenuhi najis burung.
 1 / 1 
PONTIAN - Bau busuk dan pemandangan kurang menyenangkan menghantui pengunjung Terminal Pengangkutan Awam, di sini.

Ini berikutan, terminal tersebut dicemari najis burung sehingga mengundang kehadiran lalat.

Pemandu teksi, S Samy, 45, berkata, pengguna sering merungut mengenai tangga itu kerana terdapat tompokan najis burung di merata tempat.

“Orang ramai yang hendak ke tingkat atas bangunan terminal yang menempatkan medan selera sering merungut dengan keadaan lantai penuh najis burung.

“Lebih teruk ketika hujan, kerana air bertakung bercampur najis burung,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu sepatutnya tidak berlaku memandangkan terminal terbabit merupakan pintu utama ke daerah ini.

Bagi Omar Musbah, pemandangan menjijikkan itu boleh dilihat sebaik memasuki pintu utama sekali gus memberi imej negatif terhadap kemudahan terminal itu.

“Kehadiran burung memang sukar dihalang tetapi tindakan pembersihan perlu dilakukan bagi mengelak terminal menjadi kotor dengan najis burung.

“Jika tidak dibersihkan dalam jangka masa panjang, najis burung akan dihurung lalat dan penyakit mudah tersebar,” katanya.

Katanya, terdapat banyak rungutan daripada orang ramai mengenai masalah itu yang menjejaskan imej terminal terutama dalam kalangan pelancong asing.

“Selain penumpang tempatan, setiap hari pelancong dari luar negara seperti Indonesia dan Singapura turut menggunakan terminal ini untuk ke Kukup dan Terminal Feri Kukup bagi ke Tanjung Balai Indonesia,” katanya.

Justeru, dia berharap agar masalah najis burung tersebut dapat diselesaikan dan tindakan jangka panjang dapat diambil bagi mengelak kawasan terminal dipenuhi najis burung.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian (MDP), Suhairi Hashim ketika dihubungi menyatakan MDP dalam proses melantik kontraktor bagi menguruskan Terminal Pengangkutan Awam Pontian.

AKAR POKOK SUMBER REZEKI

  • Pak Salleh menunjukkan kerusi dan meja yang dihasilkan daripada akar pokok.Pak Salleh menunjukkan kerusi dan meja yang dihasilkan daripada akar pokok.
 1 / 1 
PONTIAN - Siapa sangka akar pokok yang sering dibiarkan mereput, mampu mendatangkan hasil lumayan.

Bagi Mohd Salleh Adam, 39, atau lebih dikenali sebagai Pak Salleh, dia membuktikan bahan terbuang itu mampu menjadi kerusi dan meja jika dibersihkan dan diukir semula.

Bapa 10 anak ini tidak menyangka, hasil ukiran tangan dihasilkan secara suka-suka mendatangkan hasil lumayan apabila ditawarkan RM15,000 untuk menjual kerusi ukiran akar pokok miliknya.

Menurutnya, tidak ramai pengusaha ukiran kayu mahu menghasilkan produk akar pokok kerana prosesnya rumit.

“Hanya pokok tertentu sahaja boleh diambil akarnya untuk dijadikan kerusi dan meja. Antara jenis pokok ialah kempas, balau, cengal dan leban.

“Selepas akar pokok dikenal pasti, proses menggali akan dimulakan. Biasanya memakan masa tiga minggu bergantung saiz akar,” katanya ketika ditemui di Kampung Permas Besar, semalam.

Menurutnya, bagi memastikan akar pokok yang akan diukir nampak 'hidup', ia perlu digilap menggunakan kulit pari.

“Selepas dibersihkan dan dijemur, akar pokok akan dibentuk menjadi kerusi dan meja mengikut bentuk tersendiri.

“Tiada peralatan moden digunakan, hanya guna tukul besi, pahat dan gergaji. Selepas mendapat bentuk diinginkan, akar pokok digilap meratakan dan melicinkan permukaannya,” katanya.

Katanya, dia gembira kerana hasil kerja tangan sejak tiga tahun lalu mula mendapat perhatian penduduk setempat dan luar daerah.

“Sebab bilangan pengusaha berkurangan, kerusi dan meja daripada akar pokok semakin sukar didapati.

“Proses pembuatan rumit selain sukar dapatkan akar pokok sesuai juga menjadi faktor harga tinggi,” katanya.

Thursday, December 11, 2014

MALAYSIA OBES PALING TINGGI DI ASIA TENGGARA


KUALA LUMPUR 10 Dis. - Kajian ke atas kanak-kanak di empat buah negara Asia Tenggara menunjukkan bahawa darjah kecerdasan otak (IQ) golongan itu banyak dipengaruhi oleh tahap pengambilan nutrisi.
Kajian oleh Southeast Asian Nutrition Surveys (SEANUTS) mengenai tahap pemakanan kanak-kanak di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam menunjukkan bahawa nutrisi yang tidak mencukupi akan menyebabkan prestasi kognitif kanak-kanak rendah.
Dr. Alvin Ng Lai Oon dari Jabatan Psikologi Universiti Sunway berkata, kanak-kanak yang tidak mendapat nutrien dengan secukupnya juga kemungkinan besar tidak mampu belajar secara aktif.
"Mereka juga mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk mendapat skor bawah daripada purata IQ," kata Dr. Lai Oon dalam previu bengkel ‘Tahap Kebijaksanaan-Kebaikan Nutrisi untuk Perkembangan Bijak Si Manja’ yang akan diadakan Januari 2015.
Dr. Lai Oon yang juga Penyelidik Perkembangan Kognitif untuk kajian Seanuts berkata, hasil kajian di Malaysia menunjukkan bahawa ramai kanak-kanak negara ini mengalami kekurangan nutrisi.
"Ia boleh menyebabkan tubuh yang kurus, kurang berat badan dan ketinggian yang terbantut. Mereka yang mengalami masalah nutrisi berlebihan mengakibatkan berat badan berlebihan, obes dan terlalu obes,” katanya.
Di antara keempat-empat negara berkenaan, Malaysia bernasib baik kerana berada di tahap terendah untuk kategori kurus, kurang berat badan dan ketinggian yang terbantut.
Malaysia kini mencatatkan jumlah orang obes paling tinggi di Asia Tenggara.
Kajian ke atas kanak-kanak yang berusia 6-12 tahun di negara berkenaan juga menunjukkan bahawa pengambilan nutrisi mempengaruhi keupayaan kanak-kanak untuk berfikir, memberi pendapat, memahami, mengingati perkara-perkara yang berlaku di persekitaran masing-masing.
Dalam erti kata lain, kanak-kanak belajar dan memperoleh kepintaran dan kecerdikan semasa mental mereka sedang berkembang.
Jelas Dr. Lai Oon , khasiat yang betul membantu membina otak, rangsangan daripada ibu bapa dan penjaga membantu memperkembangkan sifat ingin tahu, mahu meneroka, kreativiti dan pembelajaran.

Wednesday, December 10, 2014

BENZOIL PEROKSIDA DALAM MAKANAN TAK BAHAYA



KUALA LUMPUR 10 Dis. - Penggunaan benzoil peroksida dalam makanan tidak mendatangkan bahaya kerana ia bukan karsinogenik yang boleh menyebabkan barah, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya hari ini.
Beliau memberitahu persidangan Dewan Negara di sini bahawa kajian keselamatan oleh badan penilai antarabangsa mendapati semasa pemprosesan makanan, hampir keseluruhan benzoil peroksida bertukar kepada asid benzoik, sejenis bahan pengawet yang dibenarkan dalam pelbagai makanan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Aditif makanan yang dibenarkan termasuk benzoil peroksida telah dinilai dan disahkan selamat untuk digunakan dalam makanan dalam jumlah tertentu oleh badan penilai antarabangsa bersama terdiri daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa Bersatu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Jawatankuasa Pakar mengenai Aditif Makanan (JECFA),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Datuk Muhammad Olian Abdullah yang bertanya mengenai kesan penggunaan benzoil peroksida kepada kesihatan dan kaedah pemantauan terhadap penggunaan bahan itu oleh pengeluar tepung gandum.
Dr. Hilmi berkata, penggunaan Benzoil Peroksida dalam tepung gandum adalah dibenarkan, namun pada kadar tidak melebihi 60 miligram.
“Tepung gandum mempunyai pigmen karotenoid yang hadir secara semulajadi dan ia memberikan warna kekuningan kepada tepung itu.
“Benzoil peroksida, apabila ditambah, akan mengoksidakan karotenoid semulajadi dalam tepung dan menghasilkan warna putih. Peraturan 42 (2) membenarkan penggunaan benzoil peroksida sebagai aditif makanan,” katanya.
Dr. Hilmi bagaimanapun berkata, Kementerian Kesihatan sedia mengkaji penggunaan benzoil peroksida jika badan antarabangsa membuktikan penggunaannya dalam tepung gandum adalah berbahaya.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan sentiasa melakukan pemantauan berkala ke atas tujuh kilang tepung gandum di negara ini.

ELAK SENTUH RUMPUT MIANG MEXICO



KUALA LUMPUR 10 Dis. - Orang awam dinasihatkan untuk mengelak daripada terdedah atau tersentuh 'rumpai miang Mexico' atau 'parthenium hysterophorus' kerana boleh menyebabkan alahan, terutamanya kepada kanak-kanak dan orang tua.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata rumpai miang Mexico mempunyai bahan kimia pada debunga, bahagian akar, daun dan batang iaitu parthenin, hymenin dan ambrosin yang dikenal pasti boleh memberi kesan ke atas kesihatan manusia.
"Namun tidak semua yang terdedah mengalami reaksi alahan atau alergi. Sesetengah orang mengalami gejala (alahan) apabila pendedahan berterusan dan berulang kali.
"Gejala tindak balas alahan adalah seperti ruam kulit, kulit mengelupas, gatal-gatal pada kulit, mata bengkak, rinitis alergi serta gangguan kepada sistem pernafasan seperti selsema dan asma," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dr Noor Hisham mengulas laporan sebuah akhbar tempatan semalam, mengenai kejadian alahan pada kulit dan gejala gangguan pada sistem pernafasan dalam kalangan pekerja ladang kelapa sawit di Sidam, Kedah dipercayai berkaitan dengan rumpai miang Mexico.
Rumpai miang Mexico merupakan sejenis tumbuhan liar berasal dari beberapa negara di Amerika Selatan dan Utara sebelum tersebar ke Asia dan dikatakan berbahaya kerana boleh memberi kesan teruk kepada ekosistem semula jadi, sektor pertanian dan ternakan selain kesihatan manusia