BAGI Faizah Aziz-Wells, 66, resipi turun-temurun keluarganya merupakan satu khazanah yang sangat bernilai dan tiada galang gantinya.
Dia amat mengagumi usaha datuknya, Allahyarham Ahmad Yaakub Al-Johori yang merupakan seorang cef terkenal Istana Besar, Johor Bahru, Johor sekitar tahun 1950-an.
Selain menyandang jawatan sebagai Pemeriksa Sekolah-Sekolah Agama, Ahmad juga merupakan seorang penulis buku agama ketika itu dan tulisannya cenderung kepada bidang masakan. Walaupun sibuk dengan tugasan hakiki, Ahmad sempat menulis buku resipi hidangan tradisional Johor.
“Pada tahun 1958, datuk saya menerbitkan dua buah buku resipi bertajuk Medan Selera dan
Hidangan Terpilih. Resipi dalam buku itu diterbitkan untuk dijadikan panduan kepada katerer. Ketika itu, tidak ramai masyarakat Melayu yang menceburi bidang penyediaan makanan. Datuk saya mahu berkongsi kemahirannya dalam bidang masakan agar masyarakat Melayu terdedah dalam perniagaan itu,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Jelas Faizah, sebanyak 160 resipi terpilih dimuatkan dalam naskhah hasil nukilan dalam bahasa jawi itu.
Resipi Ahmad popular dalam kalangan penggemar masakan tradisional Johor, Arab, Jawa, Cina, India, Peranakan dan orang Inggeris sejak awal tahun 1950-an.
Buku Medan Selera melalui fasa perubahan sejak ia diterbitkan 57 tahun lalu. Buku tersebut diulang cetak sebanyak enam edisi dengan muka depan berbeza dan sedikit penambahan tajuk. Namun, resipi dalam setiap edisi tidak berubah dan keaslian kandungannya masih terpelihara.
Buku Medan Selera edisi kedua, ketiga dan keempat ditulis dalam bahasa Melayu oleh anak Ahmad iaitu Allahyarham Khadijah Ahmad sekitar tahun 1970-an dan 1980-an. Khadijah menggabungkan kedua-dua buku terdahulu iaitu Medan Selera dan Hidangan Terpilih menjadi satu dan ditulis dalam bahasa Melayu sepenuhnya.
Generasi kelapan
Faizah bersama Mariam Ashaari Becker, Halimah Ashari, Faridah Abdul Aziz, Hamidah Ashari, Habibah Ashari dan Mohd. Zakir Mohd. Zahir merupakan waris
generasi kelapan keluarga Muhammad Muin Al-Johori memikul tanggungjawab menerbitkan edisi keenam buku itu. Tampil dengan judul Nostalgia Medan Selera, resipi-resipi asal kebanyakannya dikekalkan. Naskhah tersebut mula dijual di pasaran sejak tahun 2012.
Menurut Faizah, Al-Johori pada hujung nama moyangnya itu bermaksud berasal dari Johor.
Terbaharu, Faizah bersama adik dan empat sepupunya menerbitkan edisi ketujuh buku itu dengan judul Medan Selera Odyssey: The Al-Johori Culinary Legacy (Medan Selera Odyssey). Naskhah tersebut mula dijual di pasaran pada bulan hadapan.
“Kami berenam telah menterjemah resipi daripada buku Medan Selera kepada bahasa Inggeris. Ia merupakan strategi kami sekeluarga untuk memasarkan buku ini ke luar negara. Walaupun tiga daripada penulis berada di luar negara sewaktu proses penulisan, jaringan internet memudahkan kami untuk berkomunikasi dan menyiapkan buku ini.
“Daripada 160 resipi dalam buku edisi asal, kami hanya mengambil 85 resipi untuk dimuatkan dalam Medan Selera Odyssey. Keluarga kami mempunyai ikatan kekeluargaan yang erat. Setakat ini, 11 generasi Muhammad Muin Al-Johori yang terdiri daripada kira-kira 500 ahli keluarga telah mengadakan perjumpaan sebanyak dua kali sejak dua tahun lalu,” ujar pesara pustakawan Institut Jantung Negara itu.
Muhammad Muin merupakan generasi keempat keluarga Faizah dari Sulawesi, Indonesia dan menetap di Kampung Sungai Durian, Johor pada tahun 1880-an.
Resipi-resipi tradisional dari Johor yang dimuatkan dalam buku edisi baharu itu antaranya beriani gam, laksa Johor, soto ayam, botok-botok dan telur pindang.
Menariknya mengenai buku Medan Selera Odyssey, setiap resipi yang dipaparkan mempunyai kisah tersendiri berdasarkan pengalaman Ahmad ketika bergelar seorang cef suatu ketika dahulu.
Ujar Faizah, sebagai contoh, resipi laksa Johor menceritakan mengenai idea moyangnya itu untuk menggunakan spageti berbanding laksa beras.
“Mengikut cerita datuk saya, spageti lebih mudah digunakan untuk hidangan istana. Ia merupakan alternatif pilihan kerana pembuatan laksa daripada beras mengambil masa yang lama. Secara kebetulan, datuk bekerja di Istana Besar dan spageti merupakan bahan yang mudah didapati,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment