DEKORASINYA ringkas namun hidangan yang disediakan mampu membuatkan pelanggan datang untuk kali kedua.
Itulah tarikan yang cuba ditampilkan Kafe Komuniti 1Malaysia yang terletak di Kampung Penanti dekat Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Kafe itu menjanjikan kelainan dengan menyediakan hidangan berasaskan udang galah.
Lebih mengujakan, udang galah yang dipesan itu ditangkap terus dari kolam memancing udang galah yang dibuka 24 jam setiap hari di kafe itu. Justeru, para pelanggan akan menikmati hidangan yang menggunakan udang galah segar.
Menurut Pengerusi Komuniti 1 Malaysia Kampung Penanti, Ibrahim Ahmad, kolam memancing udang di belakang rumahnya itu dibuka hampir lima tahun lalu dan menjadi pilihan penduduk kampung untuk mengisi masa lapang mereka.
“Pada awalnya, saya hanya menjual makanan ringan, namun berubah kepada kafe yang menyediakan masakan panas yang dipesan oleh pemancing bagi mengisi perut mereka.
“Selepas itu, saya mula memikirkan idea untuk menyediakan hidangan berasaskan udang galah untuk dinikmati pelanggan, bukan sahaja pemancing tetapi juga orang luar yang mencari tempat makan yang santai,” katanya.
Antara menu yang disediakan di kafe itu adalah maggie kuah udang galah, maggie goreng udang galah, nasi goreng udang galah dan tom yam udang galah.
Selain itu, antara menu yang turut menjadi pilihan utama pelanggan adalah udang galah stim limau dan udang galah goreng kunyit yang disediakan dengan menggunakan resipi sendiri.
Ibrahim menambah, dalam masa terdekat ini, beliau merancang untuk menambah kepelbagaian menu dengan menyediakan udang galah bakar, kari udang galah dan ikan bakar.
“Pada masa ini, hidangan asas seperti nasi goreng dan maggie goreng udang galah sering disediakan untuk pelanggan, manakala bagi mereka yang mahukan kelainan, pastinya memilih menu udang galah stim limau.
“Istimewanya, resipi masakan stim limau ini disediakan sendiri oleh saya dan ia memiliki rasa yang agak unik dengan kombinasi rasa masam dan pedas,” ujarnya.
Ditanya mengenai bekalan udang galah, Ibrahim berkata, beliau memperoleh udang galah bersaiz besar daripada nelayan sungai di Sungai Dua dan Sungai Kerian dekat Nibong Tebal.
Harga yang ditawarkan bagi setiap hidangan pula mengikut timbangan berat udang tersebut.
Selain itu, pelanggan yang memancing di kolamnya juga boleh meminta kakitangannya memasak udang yang dipancing mereka.
Jelas Ibrahim, pelanggan yang menjamu selera di situ bukan sahaja dari kawasan sekitar, malah ada yang sanggup datang dari Sintok dan Changlun, Kedah serta Pangkalan Hulu di Perak.
“Ada pelanggan yang datang ke sini pada mulanya hanya untuk memancing, namun mereka kembali ke sini untuk menikmati hidangan udang galah yang disediakan.
“Terdapat juga sebahagian pelanggan yang datang ke sini untuk mencuba hidangan yang disediakan selepas mendengar cerita daripada rakan-rakan mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment