Namun, apabila merasa sendiri ciptaan makanan unik itu, hilang rasa seram pada awalnya memikirkan gabungan pelik tersebut, sebaliknya timbul rasa ‘jatuh cinta’ kepada burger tersebut kerana memberi dimensi lain dalam menikmati burger selain rasanya yang ternyata sedap.
Cerita pemilik Bob Republic Burger Bakar, Mohd. Najib Halimi, burger ramen mungkin sesuatu yang baru di sini tetapi ia sebenarnya sudah terkenal di Korea dan Amerika Syarikat.
Mi ramen dicelur terlebih dahulu sehingga lembut sebelum ditapis dan disejukkan. Ramen yang sudah lembut itu kemudian digaul sekali dengan telur bersama-sama lada hitam dan garam serta sedikit rempah dan kemudian dibentukkan sebelum digoreng.
Seterusnya, menjadi kepakaran Bob Republic Burger Bakar mencipta resipi yang lain daripada yang lain bagi menonjolkan rasa burger ramen tersebut.
Daging burger bakar yang dibuat sendiri menggunakan daging premium dilapiskan bersama potongan epal hijau yang dimasak secara saute sehingga menjadi karamel, menggabungkan rasa manis dan masam dengan pedas sos buatan sendiri yang amat sesuai dengan tekstur roti ramen yang lembut dan kenyal itu.
“Kami memastikan setiap bahan merupakan yang berkualiti selain dari sumber yang halal termasuk mi ramen,” ujarnya ketika ditemui di salah satu cawangan gerainya di Setia Walk, Puchong.
Selain burger ramen, ujar Mohd. Najib, Bob Republic Burger Bakar turut menyediakan hidangan terbaru, Ultras Burger, inspirasi daripada semangat Ultras Malaya yang tidak pernah jemu memberi sokongan kepada pasukan bola sepak Malaysia.
Daging lembu bahagian rusuk dimasak dengan api perlahan selama enam jam sehingga ia benar-benar lembut. Ia kemudian dicarik-carik halus dan kemudian dicelup dengan sos barbeku yang dibancuh sendiri, membuatkan rasanya menyerap dengan sempurna ke dalam daging.
Bagi memberi kelainan, roti bamboo charcoal digunakan yang kemudian dicelorengkan dengan serbuk jagung memberi ilusi belang kuning hitam yang menggambarkan pasukan Harimau Malaya dan disapu pula dengan jem kranberi sebelum diletakkan carikan daging yang diproses sebelum itu.
Rasa manis jem kranberi yang bersaing dengan rasa sos barbeku itu cukup-cukup memberi ‘kick’ kepada hidangan Ultras Burger ini.
Roti buatan sendiri iaitu roti herba yang beraroma foccacia turut berada dalam pilihan roti gerai tersebut yang menyuntik kelainan berbanding gerai burger bakar lain.
Selain burger, hidangan yang menjadi buruan ramai di Bob Republic Burger Bakar semestinya Killer Ribs yang rasanya setanding yang disediakan restoran lima bintang.
Daging tulang rusuk dimasak perlahan selama empat jam terlebih dahulu bagi memberikan tekstur yang lembut sebelum diperap bersama serbuk cili, madu, oregano, daun parsli dan herba-herba lain selama semalam dan menariknya ia hanya berharga RM16 sahaja.
Sesuai dengan moto mereka iaitu rasa lima bintang, harga tepi jalan, dengan harga yang rendah, anda dapat menikmati hidangan setaraf restoran terkemuka.
Bagi penggemar burger atau mereka yang sudah bosan dengan menu harian, apa kata terus ke Bob Republic Burger Bakar dan mencuba hidangan unik dan terbaru mereka.