Thursday, April 23, 2015

KAFE GAJAH-TAMAN MALURI KL














ADRIHAZIM (duduk kanan) dibantu 10 orang kakitangan bagi melancarkan operasi harian kafe Gajah Tiga.

TIDAK sukar untuk mencari kafe Gajah Tiga biarpun ini merupakan kali pertama kru Jurnal ke premis yang terletak di Jalan Perkasa 9, Kompleks Maluri, Taman Maluri, Kuala Lumpur itu.
Dari luar, lukisan seorang wanita menyerahkan makanan yang diisi dalam mangkuk tingkat kepada seorang penghantar makanan yang hanya menggunakan basikal pasti menarik perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya.
Ditambah dengan perincian jendela rumah kayu tradisional, lukisan tersebut pasti mengembalikan nostalgia zaman dahulukala yang semakin dilupakan hari ini.
Menariknya, jika diteliti dengan mata kasar, lukisan basikal penghantar makanan itu kelihatan bersambung dengan sebuah lagi basikal yang diletakkan di dalam sebuah ruang khas di dalam kafe.
Basikal jenama Piranha itu dibeli semata-mata untuk dijadikan hiasan selain menampilkan keunikan kerana tempat duduk belakang kenderaan beroda dua itu dijadikan tapak kepada bekas sinki.
Dinding luar kafe juga tidak dilupakan apabila turut dihias dengan lukisan mural bermotifkan gajah bagi menceriakan suasana.
“Saya suka aktiviti berbasikal. Jadi lukisan gajah menunggang basikal ini bagi menonjolkan salah satu daripada hobi saya sebagai si empunya premis ini,” kata pemilik kafe itu, Adrihazim Abdul Rashid.
Menjengah masuk ke dalam ruang makan utama kafe itu, kru Jurnal disambut pula dengan lukisan tiga ekor gajah yang menjadi simbolik kepada premis berkenaan.
Penataan lukisan pada papan hitam menggunakan warna-warna terang seperti merah jambu, hijau dan jingga itu ternyata memberi aura ceria dan bertenaga kepada premis yang berkonsepkan santai tersebut.
“Sebenarnya tiga ekor gajah itu melambangkan kami tiga adik-beradik yang menguruskan perniagaan ini. Kami sekeluarga memang meminati gajah kerana haiwan itu melambangkan persahabatan dan kebijaksanaan,” tambah Adrihazim yang turut dibantu dua orang kakaknya, Adrihana, 26, dan Adrihani, 21.




Tingkap terbuang
Tambah jejaka berusia 19 tahun itu, lukisan berkenaan dihasilkan oleh rakan kakaknya, Emmalyn Yam yang juga merupakan artis mural.
Selain lukisan itu, Adrihazim memberitahu, Emmalyn juga turut menghasilkan hiasan dekoratif berasaskan biskut.
Uniknya, hiasan yang diperbuat daripada gula fondant itu bukan sahaja tahan lama, malah tidak dihurungi semut.
Mula beroperasi sejak bulan Jun tahun lalu, premis tersebut diinspirasikan daripada kafe-kafe di sekitar Melbourne, Australia yang mengetengahkan konsep kejiranan dalam dekorasinya.
“Banyak barang yang memberikan nilai sentimental kepada kami antaranya, koleksi cenderamata yang dibeli ketika berkunjung ke luar negara.
“Namun, barang perhiasan yang paling berharga adalah perabot yang dibawa dari rumah datuk saya yang terletak di Melaka,” katanya.
Perabot berupa sofa kulit itu diletakkan di satu sudut yang direka khas untuk pelanggan yang mahukan privasi.
Sudut santai tersebut dipisahkan dengan ruang lain dalam kafe menerusi penggunaan pembahagi dinding daripada kayu palet.
Menurut Adrihazim, dari segi penataan perabot, kerusi dan meja makan daripada material kayu dipilih bagi menyuntik elemen rustik secara minimum.
“Kami cuba untuk menjadikan premis ini sebagai lokasi yang selesa untuk bersantai. Penggunaan perabot kayu ini akan membuatkan pengunjung mengimbau kembali nostalgia makan di rumah kampung,” katanya sambil memberitahu, pinggan mangkuk serta item seperti botol-botol dan tin kopi lama digunakan bagi menonjolkan lagi elemen vintaj yang diketengahkan.
Di satu sudut makan lain, tingkap kayu terbuang yang telah diperbaiki dan diberi kemasan cat biru itu turut dijadikan pengadang bagi membantu memisahkan ruang hadapan dengan bahagian dalam kafe.
Penggunaan jendela itu juga sekali gus memberi segmen berbeza mengikut kehendak pelanggan.
“Sebenarnya, tingkap ini dijumpai di sebuah tempat pembuangan sampah. Memandangkan ia kelihatan masih elok, saya ambil dan baiki untuk dijadikan item dekorasi di kafe ini,” jelas Adrihazim.


Kreativiti pemilik terus dapat dilihat apabila dia bijak mengubah suai roda basikal terpakai dengan meletakkan gantungan mentol untuk dijadikan lampu ala candelier.
Pencahayaan lampu kuning di keseluruhan ruang kafe itu juga membangkitkan mood yang tersendiri.
Koleksi buku
Di satu sudut lain, sebuah rak buku yang menempatkan himpunan majalah, buku-buku ilmiah serta bahan bacaan santai disediakan buat pelanggan.
“Sebahagian bahan bacaan di sini adalah buku-buku pengurusan perniagaan. Memandangkan rata-rata pelanggan kami terdiri daripada pelajar kolej di sekitar kawasan ini, mereka dapat menjadikannya sebagai bahan rujukan.
“Selain itu, ia secara tidak langsung menjadi bahan dekorasi kerana ia juga memberikan nilai estetika tersendiri,” jelas Adrihazim lagi sambil memberitahu, idea dan konsep di kafe Gajah Tiga dibuat menerusi teknik Do-It-Yourself tanpa menggunakan sebarang khidmat perunding hiasan dalaman.
Dalam pada itu, Adrihazim memberitahu, kafe itu turut menyediakan ruang untuk mengadakan acara-acara ringkas seperti majlis hari jadi dan sambutan ulang tahun perkahwinan.
“Para pelanggan boleh mengadakan majlis ringkas sambil menikmati pelbagai jenis hidangan makanan enak yang disediakan di sini,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment