JIKA di Semenanjung terutama Kuala Lumpur, kewujudan restoran Arab umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Keadaan itu berbeza dengan Kuching, Sarawak yang menyaksikan sukar untuk kita menikmati makanan Arab.
Keadaan itu mungkin disebabkan Bumi Kenyalang bukanlah lokasi tumpuan pelancong Arab berbanding ibu negara. Namun, sejak akhir-akhir ini terdapat peningkatan jumlah pelancong dari Asia Barat ke Sarawak dan kehadiran mereka membuka peluang kepada kewujudan restoran Arab di negeri ini.
Menyedari potensi restoran Arab mampu menarik kunjungan pelancong, seorang bekas pegawai bank dari Yemen, Helmi Ali Al-Arashi, 44, bersama isterinya, Hasanah Shaikh Salleh, 41, yang merupakan penduduk tempatan telah membuka Restoran Al-Yemen di Riveredge Commercial Centre, Jalan Merdeka di Kuching pada 1 Mac lalu.
Restoran itu cukup istimewa kerana keenakan rasa asli masakan Arab, di samping menampilkan dekorasi hiasan ibarat sebuah muzium mewakili negara Yemen.
Menurut Helmi, idea membuka sebuah restoran Arab tercetus selepas beliau dan keluarganya sukar menemukan makanan Arab di negeri ini.
“Isteri saya, Hasanah dilahirkan di Miri, Sarawak kerana ibunya merupakan wanita tempatan berketurunan Melanau manakala bapanya berasal dari Yemen.
“Bagaimanapun, Hasanah tidak membesar di Miri kerana keluarganya kemudian berpindah ke Yemen sehingga dia berkahwin dengan saya dan kami kembali berhijrah ke Kuching sejak dua tahun lalu,” katanya kepada S2 di restorannya baru-baru ini.
Helmi berkata, beliau mengambil keputusan membawa isteri dan lima anak perempuannya berpindah ke Sarawak kerana jatuh cinta dengan keunikan negeri itu.
Menurutnya, bagi mendapatkan modal untuk membuka perniagaan dan memulakan kehidupan baharu di Kuching, mereka telah menjual harta di Yemen termasuk rumah.
Beliau kemudian membuka kedai menjual produk Arab termasuk minyak wangi, teh dan rempah-ratus di Bangunan Baitul Mal di Kuching sebelum mengembangkan perniagaan membuka Restoran Al-Yemen.
Bercerita mengenai restorannya, Helmi berkata, perniagaan itu tidak asing bagi dirinya memandangkan bapanya sendiri memiliki sebuah restoran Arab terkenal di Aden City, Yemen.
"Kami adik-beradik memang diajar memasak di restoran milik keluarga. Saya berpeluang menimba pengalaman dan mewarisi pelbagai resipi masakan popular di restoran itu walaupun pernah 16 tahun bekerja sebagai pegawai bank.
"Di Restoran Al-Yemen, saya sendiri menjadi tukang masak dan saya dibantu oleh seorang chef dari Yemen. Apabila memasak sendiri makanan yang dihidangkan kepada pelanggan, secara tidak langsung kita boleh memastikan rasanya benar-benar menepati cita rasa Arab," katanya.
Selain itu, katanya, rempah masakan disediakan sendiri daripada rempah-ratus yang dibawa dari Yemen.
Antara makanan Arab popular di restoran itu adalah nasi mandy, haneeth, kabsa, zurbian, buram dan maqluba dengan pilihan ayam atau kambing.
Turut terdapat dalam menu adalah hidangan makanan laut iaitu ikan dan udang sanona; barbeku ayam, kebab, fatah (pencuci mulut iaitu manisan diperbuat daripada kurma dan pisang) serta minuman teh istimewa kerana dicampur rempah Arab (teh Adeni, teh Hadrami dan teh merah perisa pudina).
Restoran yang menawarkan harga berpatutan ini dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam dan hanya ditutup dua kali sebulan untuk kerja-kerja pembersihan.
No comments:
Post a Comment