Penyakit angin pasang sering dikaitkan dengan golongan lelaki dewasa, namun sebenarnya penyakit ini juga sering berlaku kepada bayi dan kanak-kanak sama ada lelaki atau pun perempuan.
Bayi atau kanak-kanak lelaki lebih cenderung menghidap penyakit angin pasang berbanding bayi dan kanak-kanak perempuan.
Dalam kalangan bayi baru lahir pula, bayi pramatang lebih cenderung menghidap angin pasang berbanding bayi cukup bulan.
Angin pasang atau nama saintifiknya inguinal hernia, mempunyai satu simptom unik iaitu terhasilnya bonjolan di bahagian kelangkang (inguinal)atau kantung zakar (lelaki) atau labia (perempuan) sewaktu pesakit meneran atau menangis.
Bonjolan ini akan hilang apabila pesakit berhenti meneran atau menangis atau ketika sedang tidur. Kejadian bonjolan yang sekejap ada dan sekejap tiada inilah yang dirujuk sebagai ‘angin pasang’.
Sebenarnya terma ini adalah tidak tepat kerana bonjolan tersebut bukanlah seketul angin, sebaliknya adalah sebahagian daripada usus kecil atau besar anak-anak yang keluar dari abdomen dan terperangkap di luar abdomen.
Menurut Ketua Surgeri Pediatrik Hospital Canselor Tuanku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) merangkap Senior Konsultan Pediatrik dan Surgeri UKM, Prof. Madya Dr.Dayang Anita Abdul Aziz, angin pasang berlaku apabila selaput dalaman badan yang dipanggil process vaginalis kekal terbuka selepas bayi dilahirkan.
Selaput process vaginalis ini merupakan selaput yang membentuk lorong laluan testis dari dalam abdomen ke kantung zakar untuk bayi lelaki.
Sebaik bayi dilahirkan, jika testis (buah zakar) telah turun ke dalam kantung zakar, laluan ini sepatutnya hilang dengan sendiri. Sekiranya laluan ini kekal, boleh menjadi tempat laluan usus (maka terjadinya hernia) atau laluan cecair dalam badan (dipanggil sebagai hydrocoele)
“Jika disahkan hydrocoele tidak mengapa, tetapi jika bonjolan itu adalah inguinal hernia, itu yang perlu dibimbangkan,” katanya.
Inguinal hernia boleh membawa komplikasi bahaya jika bonjolan usus tersebut tidak surut.
Dalam hal ini, usus tersebut mungkin telah tersumbat atau berpintal menyebabkan kanak-kanak berkenaan dalam kesakitan serta disusuli muntah hijau dan kembung perut yang semakin teruk.
Jika tidak dirawat, usus yang tersumbat ini boleh pecah dan membahayakan nyawa kanak-kanak tersebut.
Jelas Dr. Dayang Anita lagi, patologi angin pasang orang dewasa dan kanak-kanak adalah berbeza, maka rawatannya juga adalah berbeza.
Tambah beliau, punca angin pasang dewasa disebabkan kekuatan lapisan otot abdomen yang kurang kukuh, manakala punca pada kanak-kanak adalah kejadian selaput processus vaginalis yang tidak boleh mengecut.
“Oleh sebab patologinya tidak sama, kaedah rawatan juga berbeza. Untuk hernia orang dewasa kita kukuhkan semula otot tapi hernia untuk kanak-kanak, laluan selaput perlu ditutup (dibuat secara pembedahan lubang kunci) atau laluan selaput diputuskan terus (dilakukan melalui pembedahan konvensional) seberapa segera.
“Untuk kes hydrocoele kita tidak akan menjalankan pembedahan sehingga kanak-kanak itu berusia dua tahun, itu pun cuma memperbaiki keadaan fizikal supaya bonjolan tidak menjejaskan rupa alat kemaluan
“Dua-dua kaedah pembedahan konvensional dan lubang kunci adalah selamat asalkan pembedahan tersebut dilakukan oleh pakar bedah kanak-kanak yang bertauliah.
“Pada bayi lelaki misalnya, pembedahan perlu dibuat secara berhati-hati agar agar saluran vas deferens lelaki tidak tercedera.
Pakar bedah yang tidak bertauliah untuk pembedahan kanak-kanak boleh menyebabkan kecederaan ke atas struktur ini yang boleh membawa kemandulan bila dewasa atau pun menyebabkan masalah hernia datang semula kerana laluan selaput tidak dipisahkan sepenuhnya.
Ditanya tentang kaedah rawatan tradisional, Dr. Dayang Anita menegaskan, bahawa kejadian angin pasang tidak boleh dirawat dengan urutan di kawasan kantung zakar atau ke atas bonjolan tersebut.
“Sebenarnya, urutan hanya bertujuan menghilangkan bonjolan yang memang akan surut dan pasang, tetapi urutan tidak membawa apa apa kesan ke atas selaput process vaginalis yang menjadi punca hernia.
“Malah, urutan ini akan hanya mengundang lebih banyak komplikasi, risiko bahaya apabila dibimbangkan menyebabkan usus bersimpul dan mematikan salur darah kepada usus tersebut, ini boleh mematikan usus tersebut” katanya
No comments:
Post a Comment