MASAKAN Melayu atau masakan kampung sering menjadi pilihan utama ramai orang semasa makan tengah hari.
Bagaimanapun, tidak banyak restoran yang benar-benar menyediakan masakan kampung tulen. Mungkin ada yang telah diubah suai atau tidak memenuhi selera seseorang lebih-lebih lagi jika seseorang itu sememangnya seorang yang pandai memasak.
Jika anda seorang yang rajin untuk mencuba masakan kampung dan teringin menikmati masakan kampung yang sebenar, penulis menyarankan supaya berkunjung ke Restoran dan Kafe Pinang Masak yang terletak di Jalan Tun Mohd Fuad 1, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Di sini anda akan rambang mata untuk memilih bermacam-macam masakan kampung yang disediakan dan pastinya membuatkan anda tidak tahu hendak memilih yang mana.
Gulai daging salai lemak cili api dengan hirisan mangga muda, gulai cili api ikan sembilang salai dengan pucuk paku, gulai nangka muda, ikan goreng bercili, pelbagai pilihan sayur-sayuran, ulam-ulaman, sambal dan banyak lagi.
Namun jangan tidak dicuba masakan istimewa dan menjadi signatur restoran ini, iaitu asam pedas Melaka yang dimasak di dalam periuk tanah dan dimasak sejurus selepas mendapat pesanan pelanggan.
Pelbagai jenis ikan boleh dipilih seperti ikan merah, kepala ikan merah, ikan jenahak, tenggiri, terubuk, parang dan kembung.
Pelanggan boleh memilih sendiri ikan yang dikehendaki dan tukang masak akan terus memasak dan pelanggan boleh melihat sendiri proses memasak asam pedas tersebut.
Dalam masa tujuh minit sahaja, asam pedas panas-panas boleh dinikmati bersama nasi putih dan pilihan lauk lain.
Menurut pemilik Restoran dan Kafe Pinang Masak, Hamzanah Makrof atau ringkas dengan panggilan Ana, gulai asam pedas yang disediakan di restoran ini merupakan resipi tradisi yang diwarisi daripada ibunya sendiri.
“Bahan-bahan yang digunakan diproses sendiri menggunakan bahan-bahan seperti cili kering kisar, bawang ros kecil, belacan bakar, kelapa bakar, bunga kantan, daun kesum, air asam jawa dan sebagainya.
“Tukang masak menyediakan bahan-bahan ini segar setiap hari dan tidak disimpan untuk beberapa hari. Ikan-ikan segar menambah lagi rasa ‘manis’ kuah asam pedas ini. Selain ikan, saya turut menyediakan asam pedas daging tetel yang turut menjadi kegemaran ramai.
“Pelanggan boleh meminta untuk dimasak lama atau sekejap sahaja. Biasanya ikan yang menjadi kegemaran pelanggan ialah ikan merah, kepala ikan merah, anak ikan pari dari Sabah yang lembut dan manis. Harga untuk satu periuk tanah asam pedas ini di antara RM12 hingga RM18 mengikut saiz dan jenis ikan,” kata Ana yang baru tiga bulan membuka restoran ini.
Tambahnya, satu lagi hidangan lazat dan menjadi pilihan ramai pelanggan di restoran ini ialah laksa Johor, yang dikatakan terbaik di Kuala Lumpur.
Laksa Johor ini mendapat pujian daripada ramai pelanggan sehingga pernah disiarkan di dalam majalah makanan Time Out.
Ujar Ana lagi, selepas menikmati hidangan nasi dan lauk-pauk, pelanggan boleh pula menikmati hidangan pencuci mulut seperti kuih-muih Melayu, ubi rebus kelapa, ubi rebus bersira gula Melaka, goreng pisang dan aneka bubur. Semuanya disediakan benar-benar mengikut cara penyediaan ibu di rumah.
Dibuka daripada pukul 7 pagi hingga 11 malam setiap hari, apa yang menariknya sambil menikmati hidangan, pelanggan juga boleh menjamu mata dengan lukisan-lukisan yang tergantung di dinding.
“Semua lukisan ini adalah untuk dijual. Saya menggalakkan pelukis-pelukis yang mempunyai bakat melukis untuk meletakkan lukisan mereka di sini dan secara langsung dapat menjual lukisan mereka,” kata Ana.
Sempena bulan puasa ini, jelasnya, Restoran dan Kafe Pinang Masak turut menyediakan hidangan bufet berbuka puasa selama sebulan dengan menyediakan lebih 200 sajian Melayu yang akan ditukar setiap hari.
Harga untuk dewasa ialah RM39.90++ sementara untuk kanak-kanak RM15.90++ manakala pelanggan yang ingin membeli lauk-pauk untuk dibawa pulang ke rumah boleh membelinya bermula pukul dua petang. Jika ingin membuat tempahan, hubungi 03-77334030
No comments:
Post a Comment