Ingin memesan chicken roulade, ayam disumbat keju serta cendawan dengan kentang putar dan brokoli? Atau lebih tertarik pada minuman istimewa ‘air drebar lori’, air jahak, iron man, candy crush, android kitkat, di samping black box.
Dengan berkunjung ke Rahsia Kitchen, anda mungkin boleh melupakan restoran barat lain yang terdapat di Kuala Terengganu. Ini kerana restoran berkenaan menyediakan sehingga 30 hidangan untuk dicuba dan dinikmati oleh para pengunjung.
Terbukti, pilihan yang dibuat untuk menjamu selera di restoran ini adalah tepat, apatah lagi setiap menu yang disajikan begitu membangkitkan selera.
Kelainan dirasai sebaik sahaja sajian dihidang dengan susun atur menarik sehinggakan ada yang berpendapat berada di lokasi ini bagaikan menikmati makan malam di hotel terkemuka.
Diusahakan oleh Hadi Che Abdullah sejak Mei 2011, restoran di Jalan Budiman, Batu Buruk ini dibuka dari pukul 5 petang hingga 11 malam dan merupakan antara destinasi makanan barat paling popular di bandar raya ini.
Menurut Chef Eksekutifnya, Taufiq Maryuti, semasa awal operasi, Rahsia Kitchen yang boleh memuatkan sehingga 70 pelanggan pada satu-satu masa itu hanya menyediakan empat hidangan iaitu mi bandung Muar, nasi ayam mentega, bebola daging Swedish dan spageti carbonara yang dinamakan ‘mi jahak’.
Bagaimanapun, katanya, bermula 2013 dengan imej baharu, jumlah senarai menu dipertingkat dengan penambahan pelbagai pilihan set salad; pasta termasuk spageti bolognaise, aglio olio, dan carbonara; hidangan utama seperti chicken chop, fish & chip, Chilean salmon fillet, Australian sirloin steak, braised lamb shank dan boneless lamb chop; kentang putar, sheperd pie bagi kudapan diikuti burger serta sandwic.
“Sambutan yang diterima amat menggalakkan terutama daripada mereka yang mementingkan suasana selesa dan layanan mesra. Dengan sistem pengurusan yang cekap serta latihan kepada setiap pekerja, kami yakin pelanggan berpuas hati setiap kali berkunjung ke sini.
“Boleh dikatakan kesemua hidangan digemari pelanggan kerana rasanya yang berbeza apabila dihasilkan mengikut cita rasa tempatan oleh lima chef berpengalaman. Selain makanan, tarikan lain di Rahsia Kitchen adalah nama minumannya yang pelik,” katanya kepada S2.
Taufiq berkata, kepuasan pelanggan merupakan keutamaan di Rahsia Kitchen dengan memastikan mutu hidangan pada tahap terbaik,menggunakan bahan-bahan mentah segar, ‘persembahan’ sajian yang menarik, di samping harga berpatutan iaitu antara RM4 hingga RM25 bagi makanan, manakala air pula dari RM1 hingga RM6.
Katanya, bermula bulan lalu, konsep ‘menu hari ini’ diperkenalkan yang terdiri daripada makaroni keju, kepala ikan salmon panggang dan lain-lain bagi memberi kelainan kepada pelanggan, di samping bercadang untuk menawarkan makanan laut pada tahun depan.
“Bagi satu-satu hidangan, chef mengambil masa antara 10 hingga 15 minit untuk memasak. Bagaimanapun, tempoh itu bertambah sedikit terutama pada waktu puncak dari pukul 8 malam hingga 10 malam kerana jumlah pelanggan yang ramai.
“Bagi yang pertama kali berkunjung ke sini, adakala tidak mengetahui operasi kami direhatkan seketika selama satu jam, dari pukul 7 malam hingga 8 malam. Rasionalnya adalah untuk menghormati waktu solat Maghrib,” katanya.
Taufiq memberitahu, Rahsia Kitchen turut menerima tempahan majlis-majlis keraian dan untuk maklumat lanjut, bolehlah hubungi talian 011-11880801.